Wednesday, July 22, 2009

Dia Islam [a(ii)]

Ya, Tuhan masih selamatkan dia, 3 minggu, 11 hari kemudian. Dan hari ini – hari kejadian 9/11.

Itu letupan, bukan kapal terbang yang rempuh. Dia pasti pihak berita terutama FOX News, mengada-adakan cerita, itu propaganda, mesti ada yang tidak kena. Dia sedang duduk di kerusi empuk sambil menonton televisyen,di kedutaan Malaysia, Putra, melapor diri, dia antara yang terselamat. Mana mungkin, dia tidak dengar bunyi enjin kapal terbang pun ketika itu. Dia bukan bodoh, dia penasihat undang-undang, yang kalah judi!

Pulang ke rumahnya, tingkat 11, dia baru sahaja bercakap dengan ayahnya, guna telefon bimbit, ayah nampak lega, anak kesayangan selamat. Tetapi tidak dia, dia mahu ketenangan dengan pulang benar-benar pada Islam, dia belum rasa benar-benar selamat. Dia ingin pulang ke kampung, mencari tenang, mencari harmoni, belajar semula. Dia buka pintu rumahnya, dalam keadaan sedar, dia terus berfikir dan mempertimbang.

Dia kemas barang, jam di telefon bimbitnya, 1730, hati tidak tenang, masih. Terus masukkan siap-siap, beg hampir penuh, dibawa semua barang wajibnya, baju Hawaii, baju hijau terang satu poket hitam, boxer biru, minyak wangi, buku-buku (buku catatan kecil, My Private Journal dan buku Fidel Castro,My Life), dan lain-lain barang, yang perlu sahaja. Dia benar-benar ingin pulang, bersama barang kesayangan, barang kenangan, 3 minggu 11 hari lagi dari sekarang.

Dia buang kotak rokok, kerana sudah habis, kosong, juga botol arak. Dia baru sahaja tempah tiket penerbangan pulang, 3 minggu 11 hari lagi, guna lebih-lebih duit bank, walaupun beribu harga tiket, dia tekad. Dia rasa tidak selamat, sungguh. Dia gelisah, dia pasang televisyen, ingin juga tahu angkara siapa semua itu – tragedi 11 September. Berita, dari CNN, WTC7 pula roboh, katanya kerana tunjang bangunan, campuran besi mencair, haba terlampau panas. Panas akibat, letupan dan kebakaran minyak kapal terbang. Keningnya berkerut.

Waktu yang dijanjikan.

Dia naik teksi, warna kuning, dia teringat dia kalah judi, dia pemabuk, dia perokok. Dia gemar baca buku, tetapi dia kalah judi. Mungkin belum dia baca buku teknik berjudi, atau memang bukan nasibnya, kerana dosa. Tujuan, ke lapangan terbang, mahu terbang pulang, ingin pulang dan belajar. Banyak perkara dalam minda, dia payah untuk susun yang mana perlu, pemandu teksi tidak berhenti bertanya pendapat, tentang tragedi itu. Dia tahu, dia mahu pulang, dan sampai, di lapangan terbang.

Soalnya, dia mahu pulang bukan takut ada letupan lagi, dia takut dia meletup sebelum sempat bertaubat, dia takut dia meletup sebelum dia berjumpa dengan isterinya. Walaupun semua orang takut, naik kapal terbang ketika itu. Tetapi tidak dia, dia percaya itu semua acah-acahan, dari syaitan, juga dari Bush.

Dia sampai langsung, di Cangi Airport, banyak benar kenangan di sana. Sangat banyak. Dia tenang, cuba menghayati kenangan tersebut, dan bergembira bukan bersedih, semua kenangan manis. Adiknya sudah menunggu, dengan kereta baru, nampak dia sudah bekerjaya, itu adik isterinya. Adik dan dia, terus berlalu pergi, pulang ke kampung, di sebelah selatan, Semanjung Malaysia.

Sunday, July 19, 2009

51

Kita menghampiri tahun 2012. Dan mata, kita boleh melihat sendiri, kehidupan di muka bumi semakin hari semakin mendesak, dalam lain kata, hidup kita tidak selesa, terlampau banyak kematian – perang, jenayah, sibuk cuba meneruskan kelangsungan hidup, sebaran penyakit berbahaya, politik tanpa hala tuju, dan sebagainya. Terlampau banyak kebejatan yang berlaku, saya nampak, dan itu guna mata saya, bukan mata kita, saya tarik balik kata-kata, saya nampak, tidak semestinya kita.

Terlampau banyak punca kepada ketidak-pedulian, jadinya, ramai yang berpendapat bahawa hidup ini semakin hari semakin cantik dan aman damai. Tidakkah mahu kita menikmatinya? – ada juga yang bertanya. Sampai begitu sekali tahap ketidak-pedulian mereka, jadi tidak mengapalah, saya tidak menyalahkan para perempit, para penghisap ganja, para akedemik yang mengejar pangkat, para anti rasuah yang makan rasuah, untuk ketidak-pedulian mereka. Tentu ada yang kalah dalam rempuhan, pelanggaran keras yang telah berlaku dalam diri, memang sukar, saya faham.

Jadi, di sini, saya cuma ingin mengingatkan diri saya, kerana saya yakin, saya peduli pada sesetengah topik. Antara topiknya ialah tentang Dajjal, propaganda kumpulan rahsia, perang dunia ke-3, tahun 2012 dan yang berkaitan. Saya yakin saya peduli yang itu, jadi saya ingatkan diri saya, sesuatu akan berlaku antara tahun 2012 dan 2014. Saya cukup yakin, sehingga saya berkata pada seorang rakan, dari saya 75% yakin.

Jadinya, saya sangat komited dalam memahami apa yang bakal terjadi, dan hanya satu kesimpulan yang datang dalam diri, saya perlu menghafal dan memahami al-Quran. Saya yakin dan percaya, itu sahaja kesimpulannya, yang sesuai untuk saya. Yang sesuai untuk badan saya bagi merempuh atau melakukan tindak balas (sekurang-kurangnya) kepada apa yang akan berlaku antara tahun 2012 – 2014. Saya juga menyokong penuh, dia.

Hal ini tiada kena mengena dengan cerita ‘2012’ yang bakal ditayangkan di pawagam pada 13 November 2009 ini (selepas tarikh itu hanya ada 48 hari lagi untuk satu tahun yang lengkap dan hari itu juga jatuh pada hari Jumaat untuk tahun ini) tetapi tragedi 2012 – 2014 yang saya katakan lebih merujuk kepada bahan-bahan bacaan yang meragukan saya pada awalnya. Antaranya termasuklah tentang Anunnaki, sejarah kerajaan Mesopotamia, revolusi warna, kod nombor 11, himpunan kejadian dunia sejak permulaan perang dunia pertama, perkembangan perfileman Hollywood dan lain-lain.

Semua itu meragukan saya pada awalnya, adakah mungkin kerana halusinasi? Saya yakin tidak. Ini kenyataan pada saya, apabila melihat rentak politik dunia semakin laju, selepas sahaja naiknya saudara kepada Bush (baca; laknat), Presiden Obama, presiden yang katanya bakal membawa perubahan, keamanan, anti-peperangan, watak bersih dan permulaan jambatan dunia Islam – barat (semua positif ?). Sebaik sahaja Obama memegang tampuk pemerintahan pada 20 Januari 2009, pelbagai kejadian yang memberi kesan secara global berlaku, dan turutan kepada semua kejadian itu juga turut menarik perhatian saya, seolah-olah terancang.

Ini jangkaan liar daripada saya, pada pilihan raya Malaysia yang akan datang, antara tahun 2012 – 2013, kerajaan Barisan Nasional akan mempertahankan majoriti mudah untuk memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan. Juga, pada pilihan raya 4 November 2012 bagi pemilihan presiden Amerika Syarikat yang baru, ia bakal dimenangi oleh seorang wanita. Ini jangkaan liar saya, dari saya 51% yakin.

Friday, July 17, 2009

Dia Islam [a(i)]

Dalam mabuk, dia tutup pintu rumahnya, ingin tidur terus, tidak muntah, tidak meracau, tidak bersama, dia cuma tidak sedarkan diri. Dia nampak samar-samar, tilam di lantai rumahnya, jauh. Dia berjalan, cuba, cuba pergi, ke tilamnya, untuk merebahkan badan. Dia jatuh, lalu, tidak sedar akan diri, terus tertidur. Dia tidur, hampir benar dengan pintu rumah.

Dia kalah berjudi, mungkin dia silap meneka, nombor itu. Sambil merokok, dia cuba-cuba meneka, nombor mana yang mungkin buat dia kaya. Dia kalah, selepas keputusan diumumkan, ternyata dia tiada bakat, juga nasib. Dia pulang dengan wang hampir kosong, dan, di celah jari-jarinya, ada rokok. Dia merokok.

Sedut sedalam mungkin, cuba menikmati asap ditekak, sedut dan nikmati benar-benar asap dari batang rokok Dunhill, dari kotak 20 berwarna hijau itu. Tekaknya segar, rasa pedih juga kadangnya, kalau dia sedut terlampau banyak. Habis, terbakar semua, dia sedut lagi sampai bibir rasa panas, dia buang. Habis. Dia kalah judi.

Dia ditipu kawanan, mereka kata, judi tidak buat orang ketagih. Mereka tipu, dia pun mula berjudi, menang, dia suka. Dia ingin menang lagi, dia berjudi lagi. Dia kalah, dia ingin menang, dia berjudi lagi. Tetapi kali ini, dia benar-benar, kalah dan kalah dan kalah. Dia tertekan, dia ingin mabuk, tidak mahu ingat lagi dan tidak mahu mengaku, dia kalah. Kalah.

Dia buka mata, nampak pintu rumah. Dia tertidur rupanya, dia bangun, apa yang terjadi semalam? Ahh, dia tidak mahu ingat, dibiarkan. Masuk tandas, buka paip air, takung air. Dia lihat telefon bimbit, tiada mesej atau panggilan tidak berjawab. Dia berpaling, mula rasa diri tidak sudah-sudah berharap, pada benda yang tiada. Dia kecewa dengan diri.

Dia perlu bergegas, pergi kerja. Sudah jam 0805, dia terlambat lagi nanti, dia perlu cepat. Dia buka telefon bimbit hitamnya, hari ini hari Selasa, 11 September 2001. Dia perlu cepat, mandi, basuh mulut busuknya, basuh cuci. Siap. Dia buka pintu rumahnya, ingin bertugas lagi, di WTC, seberang jambatan.

Jalan, jalan laju-laju, cuba tidak terlepas kereta api kelabu. Tidak, dia tidak tertinggal, lihat orang ramai, seperti hari sebelumnya. Dia teringat kehidupan di kampungnya, dahulu. Ibu bapanya bangga benar, anaknya berjaya, dapat kerja terjamin. Dialah anak yang terbaik, dialah anak kebanggaan, dapat kerja terjamin. Lagi pula, dia seorang sahaja dari kampungnya, berkerja di Amerika!

Dia tiba, tepat, jam 0846, lihat jam di telefon bimbitnya. Tiba-tiba, dia rasa, panas benar, dan telinganya, pekak benar. Bunyi itu, cukup kuat, pada dia. Orang ramai, tidak sepeti biasa, mula lari lintang pukang, tetapi ada juga yang seperti dia, ternganga, terpinga-pinga. Ya Tuhan, kau masih selamatkan dia. Dia lihat atas, dia pasti, ada letupan!

Ya Tuhan, kau masih selamatkan dia.

Wednesday, July 15, 2009

rehat

Saya juga ingin berehat dari asyik berfikir perkara-perkara seperti politik dunia, ekonomi dan sosial yang tidak sudah-sudah dengan kebejatan dengan kurangnya keharmonian. Saya selalu berehat dengan mendengar muzik, dan antara kumpulan muzikal yang diminati ialah One Republic dan Coldplay. Walaupun kadangnya, lirik-lirik lagu yang dibuat mereka agak bahaya, kerana mungkin ada diselitkan dengan propaganda, tetapi rasanya lebih baik tahu, daripada terpinga-pinga bila disebut tentang hal propaganda dunia. Jadi, hari ini cuaca mendung dan cukup syahdu, saya teringat akan dia. Tidak salah bukan, jika teringat? Dan lirik ini, saya benar-benar ingin berkongsi, dengan dia.

‘Won’t Stop’ dari One Republic.

Now i stared at you
From across the room
Until both my eyes were faded
I was in a rush
I was out of luck
Now I'm so glad that I waited
Well you were almost there
Almost mine...
They say love ain't fair
But I'm doing fine...

Cause i swear it's you
I swear it's you
I swear it's you that I've waited for
I swear it's you
I swear it's you
I swear it's you that my heart beats for
And it isn't gonna stop
No it just won't stop

Now you were fine by night
But when the morning light comes
Comfortable as rain on Sunday
And I'm a lucky soul
That holds your hand so tight
Hope you hear this one day
Don't fool yourself
This is my truth

I swear it's you
I swear it's you
I swear it's you that i waited for
I swear it's you
I swear it's you
I swear it's you that my heart beats for
And it ain't gonna stop
It just won't stop

You take this hand
You take this heart
Steal my bones
From 1000 miles apart
Feels so cold
Felt just like its ten shades of winter
And i need the sun

jangan main-main

Sekarang ini banyak sekali golongan yang memperjuangkan hak kesama-rataan dalam perlbagai institusi. Hal ini termasuk juga hak sama rata antara lelaki dan perempuan. Femisme antara fahaman yang keras dalam memperjuangkan perkara ini, dan juga meletakkan beberapa hujah dalam menyokong perjuangan mereka. Antaranya, hujah berkaitan kepercayaan umat Islam dalam proses penciptaan Adam dan Hawa’ itu sendiri yang mereka lihat seperti tidak adil. Kepercayaan umat Islam ialah, Hawa’ dilahirkan dari tulang rusuk Nabi Adam, dan oleh yang demikian, mereka menuduh umat Islam ada yang menggunakan kepercayaan ini sebagai modal untuk memandang rendah golongan wanita, berlaku zalim, diskriminasi dan sebagainya.

Saya juga turut tertarik dengan hal ini. Dalam buku terbaru seorang penulis muda Malaysia, Faisal Tehrani, iaitu Saasatul Ibad ada sedikit sebanyak menyentuh hal ini. Dalam bukunya itu ada menyebut;

“Dalam Surah An Nisa’ ayat mula-mula ada dinyatakan :

“Wahai sekalian manusia bertakwalah kepada tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari ‘nafs’ yang satu. Dan darinya Allah menciptakan pasangannya, dan dari kedunya Allah memperkembang biakkan lelaki dan, perempuan yang banyak.

“Hendaklah anakanda ketahui sesungguhnya nafs itu sebenarnya membawa ia kepada makna diri, atau jiwanya sendiri yakni ashl dzat atau zat asal. Maka itulah tiada beza antara kejadian perempuan, dan lelaki. Bahawa perempuan itu diciptakan ia dari jenis yang sama dengan Adam, tiadalah di mana-mana pun petunjuk pada ayat tersebut kononnya perempuan itu diciptakan dari tulang rusuk Adam alaihissalam. Yakni, penegasan kita adalah tidak ada ayat Tuhan yang menunjukkan bahawa perempuan itu diciptakan ia dari tulang rusuk, atau maksudnya ia itu diciptakan berbeza dengan lelaki. Hanyalah ia semua sangkaan sahaja. Adapun agama ini bukan ia berdiri atas sangkaan. Adapun sangkaan itu ia sesuatu yang ghalat.”

Sesuatu yang menghairankan, jikalau benar, ayat Quran tidak langsung menyebut tentangnya, bagaimanakah kita mendapat idea/mitos kepada cerita Hawa’ itu diciptakan daripada tulang rusuk Nabi Adam? Siapa pula yang membina idea/mitos tersebut dan dari mana pula sumbernya?

Mungkin dengan mengkaji kitab Perjanjian Lama (Torah), Buku Kejadian (Genesis), kita bakal mengetahui dari mana punca idea/mitos tersebut.

"So The Lord God caused the man to fall into a deep sleep; and while he was sleeping, He took one of the man's ribs (also translated took part of the man's side) and closed up the place with flesh. Then The Lord God made a woman from the rib He had taken out of the man, and He brought her to the man. The man said, "This is now bone of my bones and flesh of my flesh; she shall be called 'woman,' for she was taken out of man." For this reason a man will leave his father and mother and be united to his wife, and they will become one flesh." (Genesis 2:21-24)

Jadi bagaimana? Saya sungguh yakin dan percaya, hanya al-Quran itu yang benar dan sebenar, dan juga berbentuk sempurna lagi kamil. Dan juga, ayat-ayat al-Quran itu tidak akan ada percanggahan antaranya, itu jelas dan terang. Bairpun, kita umat Islam dituntut untuk mempercayai kitab Zabur, Taurat dan Injil, namum ia hanya boleh dijadikan sebagai sumber selagi ia selari dengan ayat-ayat al-Quran.

Catatan ini tidak menuntut kepada kesimpulan, tetapi memohon kepada cetusan rasa pada akal dan jiwa.

Sunday, July 12, 2009


Entah kenapa, sejak kebelakangan ini, saya asyik teringat akan kenangan lepas. Entah kenapa.

Saya bekas pelajar SBP Integrasi Jempol, nasib tidak menyebelahi, hampir benar dengan rumah, tetapi saya tetap bersyukur. Dulunya, saya ini seperti pelajar lain, biasa sahaja, cikgu suruh belajar, saya pun belajar, jika peperiksaan hampir tiba, macam pelajar lain juga, hati berdebar tidak tentu arah. Biasa sahaja, jadinya, tiada yang menarik.

Tetapi, entah kenapa. Sejak kebelakangan ini, saya asyik teringat akan kenangan lepas.

Saya takut cikgu marah. Setiap hari Isnin, ada perhimpunan rasmi di dewan besar, berpakaian siap dengan kasut hitam, stokin, seluar hijau, tali pinggang hitam, baju putih kemas bergosok, leher pula diikat dengan tali sekolah. Tidak lupa, songkok di kepala. Saya seperti pelajar lain, pakai pakaian, seragam.

Saya takut cikgu marah, jadi saya ambil kesempatan perhimpunan berjam itu untuk menyiapkan kerja sekolah yang bertimbun, saya tidak membuang masa. Memandangkan ketika perhimpunan, kami disediakan oleh pengawas, tempat duduk yang selesa, jikalau kerja sekolah sudah usai, mata mula rasa kantuk dan akhirnya, tidur. Terima kasih kepada kerusi plastik kuning, banyak jasamu.

Ketika tingkatan empat, perhimpunan dijalankan juga pada hari Isnin. Tetapi kali itu, lain sedikit. Entah apa tujuannya, saya kurang pasti, sedang sibuk menumpukan perhatian pada kerja sekolah, tiba-tiba pelajar lain bertepuk tangan, gemuruh benar. Kepala mula terdongak, melihat seekor demi seekor burung merpati dilepaskan, tiga semuanya, oleh pengetua diiringi angkatannya, dengan senyuman. Saya mati kutu, terkejut melihat, apabila seekor demi seekor tumbang, terlanggar dinding dewan ketika terbang. Hati pilu, mula rasa kelakar. Kerja sia-sia.

Disebabkan saya ini gemar menyibuk, saya pun bertanya pada rakan sebelah. Dia beritahu, itu lah tandanya merdeka, bebas, aman dan damai, kami ingin memulakan bulan Ogos. Barulah saya faham, mungkin pengetua dan angkatannya ingin meniru aksi di televisyen, namun, saya ini orangnya gemar juga mempersoalkan. Mungkin disebabkan sifat gemar memberontak, itulah, saya mempersoalkan apa tujuan sesuatu itu diadakan di sekolah, termasuklah dipaksa memakai kasut hitam dan tali leher. Setahu saya, Islam tidak pula mewajibkan, juga, ‘kemas’ itu, bukankah suatu yang amat subjektif? Isu merpati itu, saya turut persoalkan.

Apa kaitan merpati dengan kebebasan? Adakah Islam ada pernah menganjurkan aksi seperti itu? Saya mula bertanya pada diri, tetapi tidak pernah bertemu jawapannya. Sehinggalah saya terbaca karya David Icke dalam bukunya ‘The Biggest Secret’, dalam bab ‘The Babylonian Brotherhood’ ada menyebut tentang Namrud dan isterinya, Semiramis.

‘Nimrod and Semiramis have remained the key deities of the Brotherhood to this day under many different names and symbols. Nimrod was symbolised as a fish and Queen Semiramis as a fish and a dove……A fish and a dove are two symbols still widely used in religious ritual and national ceremony, although most of the people involved have no idea of the true meaning.’

Saya juga turut merayau-merayau di laman sesawang, manalah tahu, bertemu dengan contoh lain. Dan ini, dari sebuah karangan bertajuk ‘The Age of Semiramis’ dari ‘Myths of Babylon and Assyria, Chapter XVIII’.

‘In her character as the legendary Semiramis of Greek literature, the Assyrian queen was reputed to have been the daughter of Derceto, the dove and fish goddess of Askalon, and to have departed from earth in bird form……….Semiramis was similarly deserted at birth by her Celestial mother. She was protected by doves, and her Assyrian name, Sammu-rammat, is believed to be derived from "Summat"--"dove", and to signify "the dove goddess loveth her".’

Semiramis inilah, dia yang memulakan penyembahan manusia terhadap manusia. Semiramis inilah yang memulakan, manusia sembah manusia, dan pelbagai fiksyen lain tentang ketuhanan, termasuklah konsep ‘anak tuhan’. Sama ertinya dengan lambang Swastika, jika diikutkan maksud sebenarnya ialah berakar dari perkataan ‘svasti’,yang maksudnya, keadaan baik, sihat sejahtera. Tetapi mereka menggunakannya sebagai simbolik terbalik.

Jika kita menganggap itu simbol kebebasan, makanya, maksudnya……..

Wednesday, July 8, 2009

Canaanites

Sakit dan pedih pada mata, wajah, hidung, mulut, lidah, anak tekak, paru-paru serta jiwa ternyata berbaloi. Apakala mereka sang peludah sedang sibuk menjilat semula segala kahak yang mereka palitkan pada bahasa ibunda, seperti biasa, masih ada sisa-sisa yang mereka tinggalkan. Namun, tidak mengapa, selaku rakyat muda, saya akur dan berpuas hati atas usaha pihak kerajaan memansuhkan dasar PPSMI yang berkuat-kuasa tidak serta merta (baca; 2012) itu.

Walaupun sastera bahasa penjajah diperkenalkan bermula dari pelajar sekolah rendah dan langsung melupakan sastera ibunda kita, tidak mengapa, saya masih berpuas hati. Saya ini bukan orangnya yang melawan sahaja, bukan orangnya yang menjunjung sifat Jebat. Biarpun waktu pembelajaran dan pengajaran bahasa penjajah itu ditambah dan langsung mengabaikan bahasa ibunda laras dan ragam tinggi, tidak mengapa, saya masih akur.

Kerana kerja bukan berhenti setakat ini sahaja. Kita perlu pulang ke akar bangsa, bergerak ke arah itu, dengan mengkaji semula pelbagai dasar lain serta meMelayukan segalanya. Bak kata Sasterawan Negara Noordin Hassan, ‘Jika kita salah langkah, kebudayaan melayu mungkin tidak melayu lagi. Kebudayaan Cina tetap kukuh di muka bumi ini selagi ada negara China; begitu juga dengan kebudayaan India’. Jangan nanti kita pula menganga apakala melihat negara jiran Indonesia lebih maju dan membangun. Jangan nanti kita mula terjerit-jerit apabila mereka pula yang mendera anak perempuan Malaysia.

Lihat sahaja perjuangan Fidel Castro dalam menjadikan Cuba sebagai sebuah negara yang cukup merakyat. Walaupun pertumbuhan ekonominya lembap dan pendapatan per kapita rakyatnya cukup rendah, tiga komponen negara sosialis iaitu perubatan,pendidikan dan perumahan sangat diambil berat di sana. Dengan perkhidmatan air, elektrik, sumber makanan dan keperluan asas lain untuk hidup hampir-hampir percuma, tidak hairanlah gaji seorang doktor dan guru di negara tersebut sangat rendah.

Masyarakat Cuba mengamalkan konsep ‘kepercayaan (idea) dan kebudayaan (bangsa) melebihi segala-galanya’. Lihat sahaja semangat orang Yahudi untuk pulang ke ‘tanah yang dijanjikan’, bagaimana mereka menjadikan material hanya sebagai alat, bukan matlamat dan keputusannya, mereka peroleh tanah orang Canaan itu. Ini juga yang cuba diaplikasikan oleh masyarakat Cuba, dengan menjunjung akar bangsa dan idea, seluruh rakyat di sana mula berasa selesa dan boleh menjalankan aktiviti harian sebagai seorang manusia yang sebenar.

Di Malaysia, pada masyarakat orang Melayu contohnya, adakah kita benar-benar selesa berada di Malaysia? Bolehkah kita mendapat hak yang sebenar benarnya untuk beribadat kepada Tuhan (untuk menjadi manusia yang tulen)? Contoh paling mudah, pada televisyen atau surat khabar, mampukah kita beribadat dengan tidak melihat satu pun aurat wanita? Atau pun, bolehkah kita mendapat hak untuk tidak terlibat dengan sistem ekonomi yang berasaskan kepada riba’ dan penganiyaan? Atau bolehkah kita berkarya melalui pekerjaan yang ‘elok-elok’ seperti jurutera, doktor dan ahli ekonomi dengan bertutur dalam bahasa yang benar-benar kita fasih, dalam idea yang benar-benar menjurus kepada agama? Ini antara hak manusia yang dinafikan.

Mungkin dengan cara pulang kepada akar bangsa dan kepercayaan, benar-benar pulang barulah kita dapat merasa menjadi manusia yang benar-benar manusia, benar-benar insan, benar-benar makhluk. Dan dengan pemansuhan PPSMI ini, mungkin ia adalah suatu langkah awal dalam menjadikan kita, saya manusia yang mematuhi tujuan penciptaan-Nya.

Tuesday, July 7, 2009

jalan-jalan jalanan

Ini catatan keanakanakkanku, kebudakbudakkanku.

Sehari selepas saya berdemo 7 Mac yang lalu, membantah dasar PPSMI, puas mencari di akhbar-akhbar, termasuk akhbar Cina dan Tamil, gambar saya bersama abang, yang sedang semangat di tengah jalan raya Kuala Lumpur, menunjuk kasih dan menahan pedih mata dan hati. Manalah tahu jika nasib saya baik kali ini (seperti majlis pelancaran ‘Demo 100 ribu’ di Sogo dahulu), terpacul pula wajah-wajah pejuang bangsa (baca; Orang Kampong) di dada akhbar. Namun, ternyata hampa. Saya beralih arah pula ke blog-blog dan laman sesawang yang menkhabarkan tentang peristiwa bersejarah itu, namun keputusannya tetap sama, tiada gambar mahupun kelibat saya untuk pendokumentasian!

Saya baru pulang dari ‘Malam Seni Rakyat’ yang diadakan di Bandar Kajang, yang pada malam itu penuh sesak dengan kereta dan manusia, bergembira di pasar malam berhampiran. Fokus tidak terganggu, terus menuju ke Dewan Cempaka bagi menonton sendiri persembahan penguat jiwa dari kawanan artis kreatif kiri – Meor, Nik, Black, Mei Chern, penyajak unik – Pyanhabib,Rahmat Haron, manusia pelik – Hishamuddin Rais,otai Kajang/Komunis tegar – Uncle Hee Kai, dan tidak lupa, Sasterawan Rakyat – Pak Samad. Ternyata, malam yang penuh bagi-ku, seronok dan gembira.

Walaupun retorik Hishamuddin Rais kurang mengusik jiwa, namun puisi dari Pak Samad ternyata menggugah rasa. Dengan puisi yang bagi beliau agak kasar, ‘Peludah Bahasa’, ia sudah cukup untuk-ku berasa selesa dan bangga berada di dalam dewan bersama yang lain, kendatipun pada mulanya kurang senang dengan fizikal Rahmat Haron yang duduk benar-benar di sebelah-ku. Lirik lagu yang dinyanyikan juga terang dan mampu menaikkan semangat – lagu Revolusi 48, Burhanuddin Helmi, Syuhada Memali dan ISA antara yang melekat dalam jiwa dan fikiran-ku, cumanya belum mampu untuk keluar dari kotak suara.

Seronok, dan terima kasih buat abang yang tidak sesekali putus asa, sentiasa menyokong dan percaya akan daku dalam perjuangan. Biarpun gambar kami (baca; Orang Kampong dan Separasedar) tidak jelas dan terang pada demo sebelum ini, tetapi terbit juga rasa bangga apabila melihat gambar-gambar di cakaprakyat.blogspot. Haha!

Friday, July 3, 2009

pulang balik

Ini catatan saya, saya yang kesesatan.

Kita berjalan ke belakang. Kita malah bergerak ke belakang. Menuju ke satu titik kembali, setiap hari, setiap waktu, kita kembali. Malah, kita kembali kearah-Nya semula. Sejarah, benda yang telah berlaku, kita terbalikkan, kita terbalikkan juga walaupun sejarah itu buruk, walaupun sejarah itu memberi kesan hina, kita tetap mengulanginya. Tidak percaya? Ahh bukan masanya untuk berdalih. Kita ke belakang, bukan ke hadapan. Malah, walaupun sedetik, walaupun sekelip. Kita menyusun langkah, menyusun strategi baru, bukan untuk menempuh yang baru, tetapi menempuh yang sama, pengalaman yang sama, kejadian yang pernah berlaku dalam dunia ini, kerana kita patah ke belakang!

Kita berpatah ke belakang. Apa yang pernah kita lalui, orang lain juga pernah. Makan, minum, tidur, mendapat hadiah, putus cinta, membunuh, berevolusi dan semuanya. Ia pernah berlaku, dan tiada yang baru. Cuma mungkin perlakunya berbeza-beza, tetapi! Kejadiannya tetap sama, tetap pernah terjadi, dan tetap! Patah ke belakang. Tidakkah pernah kita terfikir, semua ini pernah dilalui, dan bukan kita seorang sahaja yang pernah merasainya. Masakan! Sudah berjuta-juta juta-juta manusia hidup dalam beribu-ribu tahun semenjak Nabi Adam jatuh ke bumi, tidak pernah sama dengan apa yang pernah kita lalui?

Maka, mari kita ke belakang, ke belakang benar-benar ke belakang, dari teori Big Bang (siapa tahu bunyinya 'bang'? Ahh orang putih ini gemar menambah), suatu letupan besar-besaran, secara tiba-tiba dari satu titik, yang berpusatnya segala-gala, termasuklah waktu dan ruang. Teori ini tentunya tidak dipercayai adik-beradik Darwin, mahupun keluarganya yang mati-mati untuk mempertahankan ideologi humanisme dan materialisme yang mengangkat tinggi 'kebetulan'! Ahh pedulikan mereka, mereka gila. Jadi, akhirnya, kita akan patah semula ke titik tersebut, semula kita kepada sub-sub-sub-sub-subatomik tersebut. Kita akan menguncup semula selepas berkembang sepuas-puasnya. Saintis malah sudah membuktikan, alam semesta mula berkembang dengan lembab (halajunya mula berkurang).

Kita cuma berjalan kehadapan, menuju ke belakang. Kita ke belakang, kembali semula pada sejarah asal kita, sejarah asalnya manusia. Selepas kejadian kesilapan Nabi Adam A.S, kehidupan manusia bermulalah, beranak-pinak di muka bumi, penuh cabaran, mencari jalan pulang, bagaimana menuju pada tempat sebelumnya moyang kita berada. Seperti biasa, ada yang menang, dan ada juga yang berangan-angan menang. Masuk ke syurga, dan masuk ke neraka dan di antaranya. Yang berjaya masuk ke syurga, melakukan apa yang dilakukan oleh Nabi Adam dan nabi-nabi selepasnya, manakala yang berjaya masuk ke neraka pula, melakukan apa yang dilakukan Iblis, Syaitan dan Iblis-Iblis selepasnya. Nampak bukan, apa yang dilakukan setiap ketika, sudah dilakukan sebelum itu, cuma perlakunya berbeza.

Kenyataannya adalah, ‘letupan’ itu sama juga dengan 'kesilapan Nabi Adam'. Cuma perlakunya berbeza. Selepas berlakunya letupan, maka bermulalah era ruang dan waktu. Selepas Nabi Adam termakan pujukan Hawa’,maka bermulah era kehidupan manusia di bumi. Dan ruang itu mula mengecil, dan waktu itu mula mencepat, dan maka itu datanglah ia Hari Agama, Hari Penentuan. Dan manusia itu mula berjalan, ke belakang, menuju jalan pulang, mengikut kelakuan masing-masing, menuju kearah-Nya, dan datanglah ia keputusan, Syurga mahupun Neraka mahupun di antaranya.

Saya percaya, Tuhan tahu saya menulis ini, Tuhan tahu apa isi kandungannya, Tuhan tahu sebelum segala ini keluar menyuruh jari-jari bergerak, Tuhan tahu segalanya, Tuhan tahu segalanya. Tuhan tahu! Tuhan tahu! Saya! Percayalah Tuhan tahu segalanya! Segalanya! Setiap saat, dan setiapnya,Tuhan tahu. Dan apa yang benar itu, Tuhan yang tahu, Tuhan yang tahu kebenaran itu. Tuhan ada beri sedikit, untuk manusia itu tahu, dengan menurunkan kalam-Nya, supaya manusia kembali kepadanya, berpatah semula.

Tunjukanlah daku jalan pulang, lurus menuju-Mu. Benarkanlah daku pulang ke tempat asal moyangku bersama-Mu, dengan selamat.

Wednesday, July 1, 2009

Kerat Jari

Ini hanya catatan peribadi, yang mengandung pelbagai cita-cita besar. Selepas menyembah Tuhan 4 rakaat semalam, otak dan hati mula mampu bergerak secara normal, dan mula berjalan dengan lebih tersusun dan lestari.

Selepas presiden Obama dilantik, banyak sekali perbincangan dilakukan berhubung strategi dan tindakan yang sesuai untuk diambil bagi memulihkan kejatuhan ekonomi di seluruh dunia atas akibat kejatuhan ekonomi di Amerika Syarikat. Antara pandangan yang masih segar dalam ingatan saya, ialah pandangan Dr. Abu Hasan Hasbullah, yakni seluruh dunia kini, termasuk Amerika Syarikat sendiri perlu beralih arah dari ekonomi berbentuk lingkaran (yang mematuhi teori domino) kepada ekonomi yang lebih berbentuk persisir, yakni domestik atau berkumpulan skala kecil seperti Kesatuan Eropah. Menurut beliau lagi, sudah tiba masanya kita menggunakan segala kekuatan yang kita ada (kekuatan dalaman) untuk membangunkan ekonomi masing-masing, tanpa ada pergantungan tinggi terhadap kuasa asing (luar).

Semalam juga, Perdana Menteri Malaysia ada memaklumkan beberapa perkara;

  1. menghapuskan garis panduan FIC (yakni mewajibkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO)) yang berkaitan pembelian kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan seperti aktiviti meraih dana dan pembelian tanah
  2. memperkenalkan garis panduan penyenaraian baru; syarikat penyenaraian awam tidak lagi tertakluk kepada syarat pegangan ekuiti Bumiputera, sebaliknya hanya perlu menawarkan 50% daripada 25% saham tebaran awam kepada pelabur Bumiputera
  3. menaikkan had pegangan asing dalam syarikat broker saham dan segmen runcit pengurusan dana saham amanah kepada 70% daripada 49% sebelum ini.
  4. pemilikan asing dalam segmen runcit industri pengurusan dana pula dibuka bagi pegangan sehingga 100 peratus.
  5. kerajaan komited untuk memastikan Program Transformasi GLC terus dilaksanakan
  6. akan menubuhkan Ekuinas dengan modal RM500 juta

Pada April lepas juga, Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta (21 April) tanpa sebarang syarat ekuiti 30% tempatan dikenakan. Antara subsektor adalah dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan.

Ini semua dari akhbar Utusan dan Berita Harian, bukan Harakah mahupun Suara Keadilan. Mungkin kerana Ketua Pembangkangnya minat benar dengan idea ini, maka lidah-lidah pembangkang pun mula jadi kelu, telinga-telinga mereka jadi tuli.

Mengapa dia minat benar? Sebab dia kaya, ada syarikat besar, ada bapa kapitalis nun jauh di sana, yang mampu melabur. Tidak macam orang Melayu, duit dalam bank pun jikalau ada, duit simpanan daripada pinjaman! Mana ada syarikat melayu yang benar-benar kukuh, dapat mengawal lebih 50% ekonomi di Malaysia ini. Jika ada, bak kata ibu saya, kerat jari!

Mahukah kita jadi seperti tahun-tahun 1990-an, yang ada sampai satu ketikanya pertumbuhan BSKL bergantung 70% kepada modal asing dan apabila virus penyangak spekulator bersarang, mula kucar-kacir, mula meminjam sana-sini. Akibatnya nanti? Bukan orang-orang atas sana yang menanggungnya, orang-orang di bawah sini yang memikulnya.

Habis, punah maruah orang bangsa Melayu. Mahu benar mengikut dasar neoliberalisme yang dicanangkan oleh Amerika Syarikat, kesannya? Terimalah kenyataan bahawa orang melayu belum bersedia untuk bersaing dengan pemodal-pemodal luar yang jauh lebih hebat. Sedangkan bagsa Cina pun kita tak terlawankan, inikan pula pemodal-pemodal asing! Ini bukan soal rasisme, ini soal kelansungan hidup. Ini bukan soal bangsa Melayu, ini soal bangsa yang memikul tanggungjawab Tuhan!

Lihat sahaja bagaimana penduduk-penduduk Palestin suatu masa dahulu, dinyahkan dengan cara, ekonomi mereka disekat, dipaksa dan ditekan sehingga mereka terpaksa bermigrasi untuk mencari sumber makanan, sampai begitu! Tidak mustahil suatu hari nanti nasib kita juga begitu, jangan terlampau yakin, jangan terlampau enak ditiduri dengan semangat Perpaduan Kaum 1Malaysia!

Tidakkah kita nampak?