Saturday, January 9, 2010

Pati Demokrasi

Tidak lama lagi Pilihan Raya Kampus akan berlangsung. Seperti sifat pengundinya sendiri, pilihanraya tersebut menjanjikan kebosanan yang berada pada tahap dewa. Mungkin sekali kebosanan bertahap dewa Zeus, siapa tahu.

Seperti pengalaman sebelum ini, pilihanraya majlis perwakilan pelajar KMS (kolej persediaan pelajar ‘elit’ keluar negara) mensajikan manifesto hambar seperti janji payau untuk menambah bilangan mesin basuh, menambah bilangan kerusi dan meja, dan tidak ketinggalan, memperbaiki pendingin hawa yang usang. Nah, itu dia manifesto sekumpulan wakil pelajar ‘elit’!

Saya tidak memandang rendah potensi pelajar di sini, tetapi apa akan daya, melalui survey yang telah dilakukan, keputusannya seperti menyuruh saya untuk berjaga-jaga, jangan sampai saya sekali ditarik masuk dalam kancah ketidak pedulian yang membusuk. Oleh itu, saya jangkakan, manifesto (jika ada) sebelum pilihan raya kampus ini bakal menjanjikan perkara lebih hambar dan bosan.

Apabila sebut tentang pilihanraya (baca; pungutan suara/pendapat), di Malaysia khususnya, tentu sahaja dikaitkan dengan demokrasi, termasuklah pilihanraya kampus murahan seperti ini. Tidak dapat tidak, ia memang berkait antara keduanya. Perkaitan ini mungkin sekali boleh disemak melalui pensejarahan dari segi saat terciptanya sistem demokrasi itu sendiri.

Selepas Solon, salah seorang daripada tujuh cendiakawan paling agung dalam cerita Yunani kuno dilantik sebagai ketua arkon, beliau dengan berani dan berstrategi menyisipkan idea demokrasi dalam pemeritahan negara Athens. Hal ini muncul dengan pembahagaian warganegara kepada empat golongan, dan masing-masing diletakkan dalam ‘dewan’ mengikut kedudukan. Dengan mengikut hieraki, dari yang paling tinggi, dewan yang wujud pada ketika itu ialah Areopagus, Boule (Dewan Empat Ratus) dan Ekklesia.

Secara langsung, keempat-empat golongan tersebut terlibat dalam pemerintahan negara, dan antara jasa terbesar Solon adalah ‘berhasil membentuk suatu perwakilan rakyat yang memperoleh hak dan kuasa untuk mengangkat penjabat-penjabat negara, membuat undang-undang dan mengambil keputusan untuk berperang atau berdamai’ (Falasafah Politik Plato, J.H Rapar). Dan selepas itu, secara ringkasnya, di Athens, selepas Solon meninggalkan jabatannya dan merantau ke luar negara, idea beliau terus dikembangkan oleh Cleisthenes dan seterusnya, Pericles.

Dan jelas, idea asal beliau sehingga kini masih bertahan. Tahniah buat Solon, dari seorang yang anti-demokrasi seperti saya.

Persoalannya, adakah bakal-bakal calon yang akan bertanding pada PRK (baca; Pilihan Raya Kampus) tidak lama lagi tahu benar tentang sistem yang mereka sedang tiduri? Bagaimana mampu mereka untuk lihat kehodohan atau kecantikan sistem tersebut, jika mereka tidak menelanjangi sistem tersebut sehingga ke tahap dewa?

Telanjang sampai tahap dewa Aphrodite mungkin, siapa tahu.