Friday, May 21, 2010

Masjid; bantah negara Islam?

Seperti kebiasaannya, saya pergi ke masjid hari ini untuk menunaikan kewajipan mendengar khutbah dan solat bersama-sama, rapat satu saf seperti satu keluarga. Harmoni. Khutbah hari ini berkisar tentang guru, adab berguru, guru itu perlu dihormati, seharusnya tidak ada ruang untuk murid langsung berdabik dada dihadapan gurunya walaupun sudah memegang jawatan tinggi, Perdana Menteri sekali pun. Khutbah disampaikan bersempena sambutan hari guru 16 Mei tahun ini, yang bertemakan 'Guru Pembina Negara Bangsa'.

Khatib tidak segan-silu membaca khutbah, bukan memberi khutbah yang mana tanggungjawab sebenar beliau. Beliau baca secara buta-tuli, sehinggalah mungkin terbaca tema hari guru tahun ini iaitu 'Guru Pembina Negara Bangsa' secara terbuka di dalam masjid. Walaupun beliau sedar beliau berada di atas mimbar dan semestinya berada di dalam masjid, Rumah Allah, beliau tetap menyebut idea sesat yang jauh terpesong dari ajaran agama itu.

Pendengaran saya terus tertangkap pada tema tersebut, dan minda saya terus bertanya-tanya, mengapa tema itu tidak ditukar menjadi 'Guru Pembina Negara Islam' atau jika ia mustahil dan tidak relevan dan mungkin tema itu hina dan sungguh jijik di mata rakyat Malaysia sekalipun, sekurang-kurangnya buang terus tema tersebut daripada teks khutbah, tanda hormat kita pada Rumah Allah.

Pada mereka yang mengenali saya, tentunya tahu bahawa saya langsung tidak layak untuk memperjuangkan negara Islam, ataupun mengeluarkan apa-apa pendapat tentang negara Islam mahupun agama Islam itu sendiri. Saya terima segala aggapan dan persepsi tersebut secara terbuka dan rela hati, tetapi sebagai seorang yang masih memeluk agama Islam, saya kira entri ini masih perlu.

Negara bangsa ialah suatu idea hina dan jijik, dari idea inilah tumbuhnya semangat nasionalisme yang saling memecah-belahkan kita orang Islam. Dengan semangat nasionalisme dan idea negara bangsa yang lahir ekoran meletusnya Revolusi Inggeris 1988, Perang Kemerdekaan Amerika 1776 dan Revolusi Perancis 1789 inilah, sedar atau tidak sistem khalifah Islam berjaya dijatuhkan yang mengakibatkan umat Islam hilang punca dan kini berada dalam kegelapan serta penafian masyarakat luar. Malah hasil daripada idea ini juga, Baitulmaqdis berjaya dirampas Yahudi, masyarakat Islam Palestin di hina, anak lelaki mereka dipijak dipenjara, anak perempuan mereka ditelanjang diaibkan. Tidak nampakkah kita, walau pelbagai kerja durjana Yahudi-Zionis Israel diperlaku ke atas orang Islam-Palestin yang berbangsa Arab, negara-negara jiran yang lain tetap tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang. Hal ini tidak lain dan tidak bukan hasil kerja idea hina ini kerana mereka lebih sayangkan kepentingan negara mereka berbangding saudara se-Islam mereka di negara lain.

Idea negara bangsa, idea yang sama terhambur di masjid. Alangkah!

Walaupun kerajaan mungkin akan mengatakan idea ini baik yakni mampu menghasilkan sebuah masyarakat yang bersatu-padu antara pelbagai kaum di Malaysia, ia tetap terhad dalam kepompong Malaysia sahaja. Ia tidak mampu berkembang, idea ini tidak boleh dipegang oleh orang Islam di Malaysia dan orang Islam di Singapura contohnya dalam satu masa yang sama. Ia mustahil sama sekali, kerana modus operandi idea ini hanyalah satu, pecah dan perintah.

Bila menyebut tentang idea negara Islam, sungguh banyak pendapat tentangnya dilontarkan, samada dari yang berkelayakan mahupun tidak. Tetapi di sini saya hanya tertarik pada dua pendapat untuk dimuatkan dalam entri kali ini. Pertama, pendapat Mahathir, kerana pendapat beliau lawak. Ketika berucap di Seminar Kebangsaan “Memahami Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam” di Dewan Jubli, Selangor Darul Ehsan, pada hari Selasa, 17 September 2002, beliau berpendapat bahawa label negara Islam mampu dicapai semudah persepsi dan pandangan majoriti, bukan dicapai melalui perlaksanaan Syariat Tuhan. Beliau menyebut;

"Malaysia diakui oleh dunia, samada Islam atau tidak Islam, sebagai negara Islam. Orang Islam Malaysia adalah orang Sunni atau Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bererti mereka berpegang kpeada Sunnah Nabi dan juga kepad apendapat atau pegangan yang diterima dan diamal oleh jamah Islamiah iaitu masyarakat umum. Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud, 'wajiblah ke atas kamu berpegang dengan al-Jamaah, kerana Allah Ta'ala tidak mentakdirkan al-Jamaah berada dalam kesesatan'......Jamaah di sini bermakna kumpulan yang terbesar atau majoriti"

Beliau menyambung, “ Jumlah yang terbesar daripada umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam. Ini sahaja sudah mencukupi untuk Malaysia diterima oleh orang Islam di Malaysia yang akur kepada pendirian Ahli Sunnah Wal Jamaah, sebagai negara Islam. Alasan lain sebenarnya tidak perlu.”

Lawak bukan? Ia lawak bodoh, yang membodohkan rakyat.

Seterusnya, pendapat kedua daripada Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor, yang pada ketika itu merupakan Yang Dipertua PAS Pusat. Beliau berucap dalam Muktamar Tahunan Pas kali ke-37 di Dewan Besar Markaz Tarbiyyah Pas Pusat, Taman Melewar, menyebut tentang negara Islam yang bagaimana partinya hasratkan dan idam-idamkan selama ini. Beliau berkata;

Saya ingin nyatakan bahawa apabila kita mengajar masyarakat dan umat kembali kepada al-Quran dan Sunnah atau dengan ungkapan yang lain kembali kepada keunggulan zaman Rasulullah s.a.w ertinya kita mengajak supaya ciri-ciri keunggulan zaman itu dihayati dan dilaksanakan; zaman yang menggambarkan suatu tamaddun dan peradaban insani yang tinggi dan sempurna; zaman yang menjadi hasrat dan cita-cita dalam seluruh sejarah peradaban serta falsafah hidup kemanusiaan; zaman masyarakat unggul di mana keadilan menjadi tunggak kehidupan dan mempertahankan perlaksanaan syariat berlaku dengan sempurna dan adil; tidak terdapat percanggahan dalam pembangunan antara kebendaan, dan kerohanian, zaman yang melambangkan satu konsep kehidupan dan pembangunan insan yang sempurna dan padu; zaman yang terbaik dalam sepanjang sejarah kemanusiaan dan peradaban. Zaman yang telah dapat dengan izin Allah melahirkan satu generasi yang unik yang kemudiannya bertindak merubah wajah manusia dan dunia ini; bertindak menegakkan satu peradaban insani yang mengagumkan; zaman yang telah berjaya menukar dunia yang gelap dengan kekufuran dan kebatilan kepada dunia yang terang dan bercahaya dengan keimanan dan kebenaran. Inilah ertinya kita mengajak umat dan masyarakat kembali kepada keunggulan zaman yang mereka cemuh itu.

Terdapatnya percanggahan yang nyata antara kedua-dua idea ini, negara Islam dan negara bangsa mustahil sekali wujud dalam satu masa yang sama. Disebabkan bilangan majoriti rakyat ialah beragama Islam dan agama rasmi persekutuan ialah agama Islam, seharusnya yang menjadi pilihan ialah idea negara Islam, dan penolakan secara keras ke atas idea negara bangsa. Jikalau penolakan ini segan dibuat, atau malu dikatakan keterbelakang dan jumud, sekurang-sekurangnya jangan sampai idea hina ini terhambur di atas mimbar.

Ramai pihak termasuk ketua agama Islam di negara ini mengharamkan cara berpolitik ala Nik Aziz di masjid, tetapi dalam masa yang sama seolah-olah menghalalkan cara berpolitik ala Otto Eduard Von Bismarck dalam khutbah Jumaat. Bravo!

Friday, May 14, 2010

Pecahan Kuasa; masihkah seimbang?

Pilihanraya di Britain telah pun selesai dijalankan, dan perdana menteri baru telah pun diangkat. Kerajaan campuran bakal dibentuk selepas tiada satu parti pun yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Hal ini membawa kepada pelbagai spekulasi dan andaian dari mata-mata yang memerhati di seluruh dunia. Pelbagai pendapat juga diapungkan yang merujuk kepada keputusan pilihanraya tersebut, ada yang mengatakan bahawa melalui analisa ia jelas memaparkan keputusan yang hampir sama berlaku seperti pada pilihanraya presiden Amerika Syarikat 2008, selain mengatakan wujudnya kematangan yang mantap dari rakyat Britain dalam proses penyataan pendapat. Itu semua pendapat yang subjektif, tidak saya katakan itu tepat, kerana apa yang di minda pengundi, tidak siapa kan punyai secara persis.

Perkembangan di Britain ini pada saya mengujakan. Apabila menyebut tentang Britain, bunyinya sangat sinonim dengan Malaysia. Sistem yang dipersetujui di sana juga menjadi anutan di sini. Sistem yang berpaksikan kepada tulisan Montesqieu dalam ‘The Spirit of Law’ dan prinsip Westminster seperti dijadikan cara hidup hakiki kedua buah negara.

Saya katakan sistem itu sama, merujuk kepada sistem pembahagian kuasa atau ‘separation of power’ antara kuasa eksekutif (pemerintahan), legislatif (pembuat undang-undang) dan judisiari (kehakiman). Pembahagian kuasa ini telah diberi didikan kepada rakyat Malaysia sejak dari sekolah menengah lagi, dan sistem ini dipercayai syumul oleh sebab keadilannya. Antara tiga kuasa ini, ia saling mengawal antara satu dengan yang lain agar tidak ada penyelewengan daripada lunas-lunas yang ditetapkan.

Professor Vile, dalam bukunya, ‘Constitutionalism and the Separation of Powers’ ada menyebut tentang definisi sistem pecahan kuasa ini; “A 'pure doctrine' of the separation of powers might be formulated in the following way: It is essential for the establishment and maintenance of political liberty that the government be divided into three branches or departments, the legislature, the executive and the judiciary. To each of these three branches there is a corresponding identifiable function of government, legislative, executive, or judicial. Each branch of the government must be confined to the exercise of its own function and not allowed to encroach upon the functions of the other branches. Furthermore, the persons who compose these three agencies of government must be kept separate and distinct, no individual being allowed to be at the same time a member of more than one branch. In this way each of the branches will be a check to the others and no single group of people will be able to control the machinery of the State.”

Sistem ini yang diasaskan oleh Montesqieu dan pencantuman kuasa antara legislatif dan eksekutif dalam prinsip Westminster diguna pakai dalam pentadbiran negara Malaysia dan Britain, paling kurang secara teorinya ia sama dan serupa. Perkembangan politik di Britain dilihat sangat positif melalui keputusan pilihanrayanya didasarkan kepada beberapa faktor termasuklah sumbangan dari kecantikan sistem yang dibincangkan di atas. Tetapi pada mata saya, ia tidak sama sekali berlaku di Malaysia, sistemnya sama secara teori, tetapi impaknya berbeza malah menghampakan. Mengapa hal ini berlaku dan bagaimana?

Mungkin jawapannya mudah, hal ini berlaku kerana ketidak seriusan, tidak telusnya kerajaan dalam mematuhi segala undang-undang dan hukum yang telah ditetapkan oleh sistem tersebut. Tetapi, di mana titiknya?

Di Malaysia, boleh dikatakan badan eksekutif dan legislatif adalah dua badan yang bergabung, apabila terdapatnya perkaitan antara Parlimen dan Kabinet yang dilantik dari kalangan ahli Parlimen sendiri atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, dalam konsep pecahan kuasa, kuasa yang benar-benar bebas ialah kuasa judisiari.

Kuasa judisiari dan kuasa eksekutif-legislatif ini sama rata, tidak ada yang lebih berkuasa dan sebaliknya. Ini boleh dilihat apabila badan judisiari diberi kuasa untuk mengistiharkan suatu-suatu akta yang diluluskan oleh badan eksekutif sah atau tidak. Dalam masa yang sama, badan eksekutif punyai hak untuk membuat pelantikan dalam Mahkamah Tinggi dan ke atas mengikut hairaki manakala badan legislatif punyai kuasa untuk membuat suatu sistem yang boleh memeriksa keputusan badan judisiari secara tidak langsung.

Secara praktikalnya, sistem ini mula berubah dan ia menjadi tidak seimbang bermula pada tahun 1988, ketika meletusnya isu pengharaman UMNO diikuti pemecatan hakim berjawatan tinggi oleh Mahathir. Walaupun pemecatan itu dilihat melanggar prinsip dalam perlembagaan, Mahathir tetap dengan keputusan itu, sekaligus menunjukkan kuasa legislatif dan eksekutif lebih tinggi dari judisiari.

Berikutan dengan itu, untuk mengukuhkan lagi kedudukan 2 badan tersebut, pindaan ke atas Artikel 121 telah dibuat, bertujuan untuk menyekat kuasa judisiari. Sebelum pindaan dibuat, Artikel 121 adalah seperti berikut;

“the judicial power of the Federation shall be vested in two High Courts of co-ordinate jurisdiction and status....and in such inferior courts as may be provided by federal law”

Selepas pindaan dibuat, Artikel 121 berbunyi;

“There shall be two High Courts of co-ordinate jurisdiction and status.... and such inferior courts as may be provided by federal law; and the High Courts and inferior courts shall have jurisdiction and powers as may be conferred by or under federal law”

Jika diteliti, perkataan 'judicial power' dan 'vested' telah dibuang daripada artikel sebelumnya. Perubahan ini memberi implikasi besar terhadap kuasa judisiari, daripada mempunyai kuasa yang sama rata dengan 2 badan lainnya, ia jauh telah berkurang. Melalui Artikel 121 yang telah dipinda ini, kuasa judisiari hanya akan tertakluk di bawah lingkungan yang ditentukan oleh badan legislatif dan ini jelas bertentangan dengan idea sistem pecahan kuasa yang telah dibincangkan di atas.

Melalui perbincangan ini, boleh disimpulkan bahawa sistem yang dianuti oleh rakyat Malaysia kini adalah suatu sistem yang bobrok, bukan sahaja sistem itu adalah sistem warisan anjing penjajah , tetapi lebih malang diubah menjadi lebih jahanam oleh anak bangsa sendiri. Jika hal ini tidak diberikan perhatian serius serta diubah segera, politik negara tidak akan berkembang, malah akan terus mati. Seperti bangkai, terus membusuk dan menghapus.

Thursday, May 6, 2010

Katak; Ezam; Senator

Ezam berpindah khemah dan diberikan habuan. Dewan Negara telah pun membuka pintu untuk masuknya seorang pengkhianat. Tetapi malang sekali, beliau mengkhianat dengan menyertai Umno kerana jika bukan PKR, Umno apatah lagi busuknya.

Saya tidak berminat untuk mengulas panjang aksi lucah Ezam tersebut, kerana itulah yang disediakan oleh sistem. Kita tidak boleh mengadu bahawa itu ini salah, kerana itulah dia demokrasi. Hari ini saya fikir PAS parti agung, esok saya rasa MIC parti penyelamat. Orang lain tidak punya kuasa untuk mengata saya, kerana itu kebebasan saya dan juga hak mutlak yang telah diberikan oleh sistem.


Saya walau bagaimanapun lebih tertarik untuk mengulas secara ringkas tentang apakah yang bakal berlaku kepada kapasiti tanggungjawab dan fungsi Dewan Negara selepas ini. Adakah ia terkesan lalu berubah atau tidak?


Pada hemat saya, tujuan kepada penciptaan dewan ini adalah murni. Walaupun kuasanya tidaklah sebesar Dewan Rakyat, ia masih mampu berfungsi sebagai badan pengimbang dalam Parlimen. Seperti dalam Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957 ada menyebut, ‘the basis that the powers of the Senate with regard to legislation other that amendment of the Constitution will not be equal to the powers of the House of Representatives but will be revising and delaying powers’.


Selain dari itu, dewan ini juga bertanggungjawab sebagai pemerhati dan pengawal hak-hak yang dimiliki negeri. Setiap Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk melantik dua orang sebagai ahli dewan yang berfungsi sebagai wakil mereka dalam pentadbiran persekutuan, selain perlantikan ahli dewan oleh Yang di-Pertuan Agong kerana sumbangan besar dalam bidang-bidang tertentu termasuklah perindustrian, perniagaan, pertanian dan sebagainya. Fungsi ini hanya berlaku jika wakil yang dilantik dari negeri adalah majoriti dalam dewan.


Malang
sekali, perkara ini hanya relevan pada awal-awal tahun selepas kemerdekaan. Dahulunya, wakil daripada setiap negeri memegang kuasa majoriti dalam dewan tetapi kini, kuasa itu sudah mula bertukar tangan apabila bilangan ahli yang dilantik YDPA melebihi wakil yang dilantik oleh negeri. Komposisinya adalah seperti berikut;


a)
Dua orang wakil daripada setiap Dewan Undangan Negeri seramai 26 orang.

b)
Wakil daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong seramai 4 orang.

c)
Ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong seramai 40 orang.


Berdasarkan komposisi di atas, ternyata bahawa ia bias kepada kerajaan Persekutuan, bukan kepada kerajaan negeri yang berada di bawahnya. Suara majoriti akan tertumpu menyebelahi Yang di-Pertuan Agong, dalam erti kata lain bias kepada kerajaan Persekutuan. Oleh yang demikian, fungsi dan tujuan asal Dewan Negara yakni menjadi suara dari negeri jelas tergugat.

Seperti komentar Tun Mohamed Suffian, bekas 'Lord President', ‘This is contrary to the spirit of the original constitution which established the senate specially as a body to protect in the federal Parliament, state interests against federal encroachments’, sambil memaklumkan jumlah asal ahli dewan ialah 22 senator dari negeri dan 16 senator yang dilantik oleh Persekutuan.


Oleh yang demikian, dengan perlantikan Ezam sebagai senator jelas menunjukkan kerosakkan ini akan terus berlaku, kuasa dewan dalam memelihara hak negeri akan terus menurun dan keputusan dewan secara teorinya bakal bias kepada Persekutuan. Malah, impaknya mungkin akan dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia kerana pengkhianat diletakkan dalam nadi dan urat tunjang sistem negara.


Kesan ini mungkin boleh diimbangi atau dielakkan dengan memerhati dan meneliti secara telus apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Artikel 45 Klaus (4) yang mana menyebut;


“Parliament may by law –


a)
increase to three the number of members to be elected for each State;

b) provide that the members to be elected for each State shall be so elected by the direct vote of the electors of the State;

c) decrease the number of appointed members or abolish appointed members.”