Saturday, December 20, 2008

mengapa 'orang kampong' dipilih

Antara buku yang menjadi kegemaran ku pada tahap yang paling ialah buku Memoir Pak Sako, Putera Gunung Tahan yang ku beli di Pesta Buku Antarabangsa, di PWTC (tidak syak lagi, buku ini bertaraf antarabangsa). Malang bagiku jika aku tidak mampu mengkhatamkannya. Selepas habis selesai buku ini ku kunyah isinya (bak kata Pak Samad), aku mula berangan untuk menjadi orang kampong yang sejati, cuba membuktikan orang kampong lebih terbuka mindanya, tidak jumud, seperti labelan kebanyakan orang bandar di luar sana terhadap orang kampongan seperti saya mungkin. Cukuplah sekadar saya meletakkan kata pendahuluan pada buku ini sebagai bukti bagaimana sifat Pak Sako yang ku kagumi.

“Dalam memoirnya ini dia banyak menceritakan hal kampungnya, tentang kaum keluarganya, tentang kehidupan orang-orang kampung yang dikenalinya dan kerjayanya sebagai seorang pegawai pentadbir di bawah Inggeris....memang Sako sebenarnya tebal dengan nilai-nilai tradisi, masih kuat berpijak kepada nilai-nilai kampung walaupun dia begitu lama berkeliling di bandar dan di kota seluruh Tanah Melayu. Tetapi jiwanya masih terikat di kampung. Hatinya masih bertaut kepada kampung halamannya. Nilai-nilai ini semakin jelas manakala Sako menjangkau umur yang lanjut. Falsafah hidupnya jelas daripada tulisan-tulisannya di Utusan Melayu dan Utusan Zaman serta di Utusan Malaysia. Tulisan-tulisannya ‘Di Simpang-Simpang Jalan’ dengan memakai nama pena ‘Pak Pandir Moden’ dan ruangan ‘Ini, Itu dan lain-lain’ dengan memakai nama penanya ‘Hantu Raya’ membayangkan Sako sebenarnya adalah seorang tradisionalis.....orang-orang melayu sekarang tidak makan pucuk ubi, tidak makan ikan-ikan sungai, anak-anak muda sekarang tidak pernah melihat kijang dan pelanduk melainkan di kebun binatang, Sako selalu merungut.”

Kata pendahuluan oleh Tan Sri A. Samad Ismail, Memoir Pak Sako Putera Gunung Tahan

Dalam buku ini juga terdapat banyak lagi bukti yang menunjukkan kita boleh membangun dengan cara bangsa kita sendiri, dengan cara ‘orang kampongan’(pulang kepada akar bangsa), bukan terikut-ikut rentak Barat yang belum tentu baik buruk mereka.

‘Bangsa membaca, bangsa membangun’

Friday, December 19, 2008

minggu demokrasi

Minggu ini minggu yang sibuk, aku baru selesai menghabiskan tugasan yang diberikan oleh angah-ku. Bukan tugasan mudah tentunya, tetapi ia sangat seronok dan berguna buat aku yang kurang ilmu serta rendah tahap pembacaan ini. Walaupun aku berasa sangat mual untuk menghabiskan buku-buku politik yang sangat tebal dan banyak, ia tetap menyeronokkan. Tugasan yang meminta-ku membuat perbandingan sistem demokrasi di Malaysia dan Amerika Syarikat serta kebaikan dan keburukannya sangat menduga, aku perlu menghabiskan masa yang cukup panjang di perpustakaan dan di hadapan komputer ini untuk mendapatkan hasil yang lengkap dan separa padu. Waima, aku tetap berpuas hati kerana aku mula tahu dan mengerti pelbagai perkara tentang sistem pentadbiran sesebuah negara termasuklah proses pilihan raya serta cara pengiraan undi di Amerika Syarikat yang mungkin sebelum ini aku terlepas pandang.

Kesimpulan ringkas yang boleh diambil daripada kelelahan ini, sistem demokrasi di negara kita ini boleh dipertingkatkan serta dibaik pulih dalam memperoleh sistem demokrasi yang mantap dan telus tanpa ada sebarang penipuan dan manipulasi dari sesetengah pihak. Cara pengiraan undi di negara kita ini juga agak ketinggalan zaman dan pada hemat saya, tidak benar-benar mengambil kira suara ramai walaupun ia bersifat majoriti. Selain itu, aku juga agak kesal apabila melihat koleksi-koleksi buku di perpustakaan dalam bahagian politik yang penuh dengan buku Bahasa Inggeris sahaja.

Aku tidaklah tergugat dan lemah semangat dalam membaca buku bahasa barat itu tetapi persoalan mula timbul, di mana penterjemah-penterjemah bahasa kita, adakah subjek kepolitikan, Matematik dan Sains serta Teknologi hanya untuk orang yang mengerti bahasa Inggeris? Bagaimana pula dengan orang kampong yang mungkin tidak fasih serta kurang koleksi pembendaharaan kata bahasa Inggeris mereka? Mana yang lebih penting untuk dikuasai terlebih dahulu,bahasa atau isi, sedangkan kita sudah memiliki bahasa kita sendiri? Adakah kita ini kaum paleolitik awal yang tidak mempunyai bahasa dan menggunakan bahasa isyarat sahaja? Adakah Bahasa Melayu darjatnya hanya bahasa khayalan semata yang layaknya untuk angan-angan kosong Mat Jenin?

Hal ini semua walaubagaimanapun tidak melemahkan semangat-ku dalam meningkatkan darjat Bahasa Melayu kerana mana aku tahu dan mengerti, untuk mendapatkan negara yang maju dan membangun, kita perlulah melakukannya dengan cara kita, bukan dengan cara bangsa lain. Aku tidaklah anti Bahasa Inggeris, tetapi aku masih berpegang bahawa aku belum cukup menguasai Bahasa Ibunda-ku ini dan aku sama sekali tidak menginginkan apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Kini, aku hanya perlukan kebijakan stretegi yang mampan dan sokongan yang padu.

Thursday, December 18, 2008

Sultan Alauddin negarawan ulung



Aku bersama abang-ku yang sulung dan yang di tengah itu, Faisal Tehrani.



para pelakon bersama pengarah, Dr. Abu Hasan Hasbullah dan penulis skrip, Faisal Tehrani.
Teater 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun sungguh menggamit, menggugah rasa penonton, antara dialog yang menikam dan memakan hati, diluahkan oleh watak Tun Senaja ;
“Banyak perkara tuanku. Yang paling utama, titah tuanku mahu melaksanakan undang-undang Islam yang benar setelah pulang dari haji menakutkan kita semua. Sangat-sangat menakutkan kita. Kerana Islam lebih menakutkan dari Melayu. Kalau tuanku melaksanakan Melayu dalam istana kita semua masih dapat berbahagia, tetapi kalau melaksanakan Islam tiada ruang semua bernafas. Kalau syahid kalimatnya, maka syahidlah baginda sultan. Yang utama dan berkepentingan, tiada Islam mengekang kita dari berbuat apa yang kita suka. (Nada mengejek) Demi Tuhan Kaabah! Ya demi Tuhan penjaga yang makruf dan pencela segala yang mungkar, Tuhan yang mencabut nyawa untuk golongan Tamil kembali bertakhta.Jadi tuanku, izinkan kita melihat tuanku berangkat ke barzakh tanpa rasa bersalah."
Cuplikan dari paripurna.wordpress.com, KATAFILU DI KAKILANGIT.

Perjuangan itu tentunya sukar. Teramat.

nasihat Pak Samad

Aku kerap kali terserempak dengan A. Samad Said, negarawan bagi-ku. Ada juga aku berjumpa dengan tokoh sastera ini di Pasar Seni, KL Sentral dan PWTC (ketika pesta buku). Apakala ternampak akan beliau, pasti jantung berdegup laju, kaki terpaku utuh, mulut terdiam kata, mata terpana bulat, hati bergetar kalut. Adakah aku telah jatuh cinta kepada seorang Sasterawan Rakyat ini? Setiap kali aku terserempak dengan beliau, pasti aku teringat akan nasihatnya yang dimuatkan dalam buku bertajuk Ilham Di Tepi Tasik, esei berjudul Sastera: Wajah Indah,Wajah Hodoh.

Masih segar akan nasihatnya yang berbunyi;

“Setiap karya sastera selalunya dan sepatutnya membimbing ke jalan yang baik, mempertingkatkan kebijaksanaan dan hemah manusia. Dari Hikayat Hang Tuah ke Naratif Ogonshoto unsur itu sentiasa ada. Yang tergelincir tentu saja wajar dinasihati, sementara yang salah dibetuli, semuanya masih secara seni. Walaupun benar dari satu sisi sastera memerlukan “kenyataan” realiti, tapi, ia masih memerlukan kebijaksanaan yang biasanya jarang datang mendadak daripada hanya kenyataan.”

Beliau menyambung lagi,

“Bumi Manusia oleh Pramoedya Ananta Toer dan Tulang-Tulang Berserakan oleh Usman Awang masing-masing sempat melestarikan kehidupan sebenar masyarakat zaman darurat Indonesia dan Malaya dengan pesanan kemanusiannya. Kedua-dua karya itu tidak merakamkan kenyataan semata. Kenyataan di sini adalah realiti yang sudah bertapis daripada kasar kepada halus, menyisipkan ajaran, saranan atau bimbingan secara lembut sehingga falsafah manisnya ialah: yang wajar dijeritkan; yang cemar, dibisikkan.”

Fikir-ku terus disapa oleh tulisan Usman Awang pula,

“Jika menegur, tegur beralas;
Jika memarah, marah yang lembut.”


Terasa di hati kecil-ku ini, teringin menghasilkan karya sastera. Mungkin ‘blog’ ini sebagai titik mulanya.

Bak kata Faisal Tehrani,

“Ini nyanyi rindu,
Kerja tuhan
Siapa tahu”

Tuesday, December 16, 2008

yo yoo yo!

(tiada kena-mengena dengan orang yang masih mati atau yang sudah meninggal dunia)

Gadis bertutup kepala tetapi terdedah dada bertanya balaknya, dengan memek muka paling manja yang mampu dihasilkan, cuba sekadar memulakan perbualan, “Eh u, demokrasi tu ape ek? I wonder la. Actually semalam i terbace blog si tuuuut, entah ape yang dye merepek pon i tak paham.”

Balaknya yang bertubuh kurus teramat tetapi masih berbaju ketat, sama seperti gadis itu dengan kadar yang penuh slamber menjawab dengan muka yang sinis,“U ni pun, ignore je la, dye tu bukan betul sangat, benda-benda ni sume tak masuk exam pun kan, buang mase je pk berat-berat, wasting ur time darling.”

Gadis sunti itu kemerahan malu, bukan sebab ditegur jangan memikirkan hal tersebut, sebaliknya kerana balak kesayangan memanggilnya ‘darling’, ahh romantis habis. Tergugat iman gadis sunti (?) tersebut lalu terus meng’cover’,“Erm betol jugak, tapi liberal tu ape plak? I confuse lah. By the way, u suro i tak yah pk nie sebab tak masuk exam or sebab u tak tau? hihihi,” sambil menutup mulut tanda sopan, orang timur lah katakan.

Teragak-agak, balaknya tak mahu kalah, cuba mencari idea luar dari tajuk, “2-2 la kot. U ni banyak bunyi la, jangan melawan, nanti masuk ISA, u nak? U tak rasa bertuah ke hidup kat negara kite ni, jadi anak tumpah darah daging Malaysia? Cukup la, u ni tak pandai bersyukur tau. Walaupun kolej kite kecik, tapi ok la, dapat 100 hengget sebulan lagi, cube u pergi Somalia, mana nak dapat, lanun je yang kaya kat sana.”

Gadis tersebut mula rasa kagum, balaknya tahu hal-hal semasa, termasuklah isu ISA dan isu lanun di Somalia yang sudah lapuk itu. Baginya, balaknya ialah balak yang terbaik dan terpintar pernah dia ada, up-to-date. Dengan rasa kagum yang bukan kepalang, gadis itu mengambil keputusan untuk memberi balaknya habuan, “Erm iyela-iyela, i tak tanye lagi. Eh u, ada cerita Anak Halal la, ish beznya, jom sayang pergi tengok, i belanje!”

Mereka dengan rasa gumbira meneruskan perjalanan, berpeluk tanda kasih dan sayang tak berbelah bahagi. Pergh!

sudah tiba masanya

“Perkembangan industri moden.......melenyapkan dasar atas mana kaum borjuis berproduksi dan mendapatkan hasil produksi. Oleh kerana itu apa yang terutama dihasilkan kaum borjuis ialah penggali-penggali lubang kuburnya sendiri. Jatuhnya kaum borjuis dan kemenangan kaum proletar, kedua-duanya tidak dapat dihindarkan”

Karl Marx, manifesto komunis

Monday, December 15, 2008

kampong ku malu lagi

“saya minta maaf, saya tau semuanya salah saya,” merah padam muka Ali Ketopi, malu agaknya.

Dengan tenang, coach yang pernah membawa kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan pasukan tersebut membalas, “tak pa, dua tahun lagi kita cuba lagi na,”

“tapi yang tadi tu, kesalahan paling bodoh yang pernah saya buat coach, arghhhh,” dia mula emosi!

“eh Ali, hang jangan lagu ni, aku tau hang bodoh, eh silap-silap, aku tau itu kesalahan bodoh. Barangkali paling bodoh dalam sejarah bola sepak kampong kita, tapi tak pa lah. Benda dah jadi, malu memang malu,”

“saya tau tu coach, patutnya saya lompat tinggi sikit tadi, tak da la bola tu masuk. kita kalah dengan kampong jiran lagi. Dah la taun-taun sebelum ni pun kita kalah. Saya penjaga gol terbaik kampong kita coach, malu saya, saya buat salah bodoh!”

“sapa kata hang penjaga gol terbaik? Tak pa lah. lepas ni pun, aku tak jadi coach team bola sepak kampong ni lagi. I dah give up,hmm” nada sangat meminta simpati, manalah tahu kampong lain ingin mengambilnya pula.

“maaf coach,”

“tak pa lah na,” sambil menepuk bahu bahagian tepi Ali Ketopi, marah agaknya.

Malaysia,2 – Vietnam,3