Wednesday, June 10, 2009

Lucifer terbang tinggi




Nampak bukan, adanya himpunan huruf A, S, M, O, dan N, mengikut bentuk bintang David. Cuba dan cuba, padan dan padan, nampak dan nampaklah, satu perkataan. Mason.
Apa itu Mason? Sensitif telinga orang kampong mendengarnya. Gatal juga sekali sekali.
mason 1 a person who builds using stone, or works with stone 2 (Mason) = FREEMASON

Maksud perkataan 'mason' ini diambil dari Oxford Advanced Learner's Dictionary. Cuba juga dicari dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, tetapi ternyata, ia masih belum didaftarkan. Mungkin dunia Melayu masih belum bersedia untuk merempuh NOVUS ORDO SECLORUM (seperti yang tertulis di wang kertas di atas) yakni orde dunia baru.
Keputusannya, inilah jadinya, duhai orang kampong.

Gambar bintang David yang terlukis pada tumpahan darah rakyat Palestin di atas itu diambil dari blog ANADIPLOSIS.

Sungguh tidak indah gambar di bawah ini. Sensitif mata orang kampong melihatnya. Gatal juga sekali sekali.


Monday, June 8, 2009

gas pemedih mata/hati

pada mulanya, berhajat juga memberi sedikit ulasan dan menyampaikan beberapa idea kepada perbincangan di friendster group pelajar-pelajar cemerlang yang ingin meninggalkan negara menuntut ilmu tidak lama lagi, di bawah tajuk PPSMI. tetapi ternyata, semangat menjadi lemah longlai, sungguh, apabila membaca keseluruhan ulasan-ulasan rakan. jadi, hajat pun terbantut dan terbengkalai, tidak jadi. tahu-tahu sendiri kenapa. siapa yang tidak tahu dan tidak pergi berarak, tidak pergi mengadu kepada sultan, jangan banyak berbicara!

duhai!
tiada guna bercakap!
pada manusia-manusia kuat prasangka!
prasangka tanpa bukti!
ahh!
ahh!
tiada guna!

Sunday, June 7, 2009

OMG!

Catatan kali ini agak skeptikal dan mempunyai tanggapan yang pesimis tetapi dalam masa yang sama masih juga cuba menghampiri akurasi.

Si manusia kelabu itu cuba buat baik. Tentunya untuk sesuatu yang menguntungkan dia dan keluarganya. Dia bercakap di hadapan masyarakat awam Islam di Mesir (tanpa dihadiri Hosni Mubarak tentunya, mungkin kerana ‘demokrasi’) dengan penuh keyakinan dan kreadibiliti sebagai seorang pemimpin sebuah negara Amerika Syarikat (tidak lebih dari itu, hanya sebuah negara) yang mana cuba merubah persepsi buruk dunia Islam terhadap negaranya tercinta. Di bawah ini merupakan sebahagian isi penting tentang ucapannya yang dipetik dari akhbar Utusan Malaysia, Jumaat, 5 Jun 2009 pada muka surat 21.


“Selagi perhubungan kitra dicorakkan oleh perbezaan antara kita, selagi itulah kita akan memperkasakan golongan yang mahu menyemaikan bibit kebencian dan bukannya perdamaian.”

Di dewan besar Universiti Kaherah, Obama menegaskan pertalian AS dengan Israel, yang menjadi punca sebahagian besar kecurigaan Arab terhadap AS, tidak dapat diputuskan dan beliau menolak kata-kata jahil golongan yang menafikan berlakunya Holocaust.

Beliau berjanji untuk memerangi ‘stereotaip negatif’ tentang Islam di mana-mana sahaja.

“Bagaimanapun prinsip yang sama mesti juga digunakan berhubung tanggapan umat Islam terhadap Amerika,” katanya yang menyentuh mengenai isu-isu sensitif di rantau ini seperti demokrasi dan hak-hak wanita.

Dalam kenyataan yang ditujukan khusus kepada golongan muda Islam, Obama berkata: “ Saya tahu ada ramai orang Islam dan bukan Islam yang mempersoalkan sama ada kita boleh menempa permulaan baru ini.

“Sesetengahnya ingin memarakkan api perseteruan dan menyekat kemajuan, sesetengah pula beranggapan usaha ini sia-sia, bahawa kita sudah ditakdirkan akan berbalah, dan pertentangan antara peradaban sudah berlaku.

“ Terdapat perasaan takut dan rasa curiga yang begitu mendalam, tetapi jika kita memilih untuk terus terlikat dengan peristiwa silam, kita tidak akan melangkah ke hadapan.”
Pada muka surat yang sama, sempat juga dipetik;

“Kerajaan baru AS mahu mengubah imej ini. Saya ingin menegaskan perubahan ini tidak akan dicapai menerusi percakapan, ucapan dan slogan,” kata Khamenei di makam Khomenei.

Pada malam hari (hari yang sama petikan di atas dikeluarkan), tidak terlepas peluang, orang Melayu juga berbincang tentang perkara ini (analisis Awani). Antara perkara menarik yang dibangkitkan, jikalau Obama itu mempunyai keyakinan dan kreadibiliti yang cukup tinggi untuk berdialog, siapa pula pemimpin dari sebelah kita orang Islam yang berani menyambut perlawaan tersebut? Selain itu, lawatannya juga dianggap sangat provokatif, yang mana memandang cukup rendah kepada tahap kepemimpinan Islam serta perwakilan agama. Dia juga seolah-olah ingin menunjukkan bahawa masyarakat Islam yang liar dan yang harus dijinakkan.
Orang kampong juga tertanya-tanya, apa darjat si manusia kelabu ini ingin berdialog dengan ketua agama Islam, bukankah Obama itu hanya sekadar ketua sebuah negara? Negara lawan Agama? Adakah sebuah negara AS itu sama darjatnya dengan berbilion masyarakat Islam seluruh dunia? Apa darjat orang Islam di mata mereka?
Lawatan dan ucapan si manusia kelabu ini hanya sia-sia dan omongan kosong (buat orang Islam), tanpa ada jalan keluar dan keadilan yang sejati. Tidak logik dan sungguh tidak masuk akal, orang kafir ingin membantu kita, orang Islam. Mana mungkin, yang batil itu ingin membantu yang hak. Penipu, yang syaitan itu ingin membantu anak Adam.

Thursday, June 4, 2009

UDARA

Orang kampong ada membaca cerpen Uda dan Dara, yang tertarik juga menarik dia (baca; orang kampong) ke beberapa bahagian yang mengusik rasa hatinya.

Dara kadangnya terlintas di benak dan fikiran, menyalahkan ibu yang melahirkannya, dengan lain kata yang agak mudah, dia juga kadangnya ada mempersoalkan takdir tuhan.

Dara menengadahkan mukanya lalu berkata antara sedu-sedannya, “Ah, adakah pintaku yang buruk atau ibu yang salah mengandung?”

Usman Awang mungkin berniat untuk menunjukkan sifat sebenar manusia kaya penziarah tempat suci juga mewarisi idea manusia ala-ala kapitalis.

Pemergian Uda dirasakan benar beratnya oleh ibunya. Kini dia harus membanting tulang di sawah yang selebar kangkang kera itu. Maka, seperti kebiasaan, sebahagian petani yang miskin di kampong itu apabila sampai musim turun ke sawah, ibu Uda pun berkunjunglah ke rumah besar Tuan Haji Alang memohon pinjaman wang bagi belanja turu ke sawah dan belanja sementara padi berbuah.Tuan Haji Alang ini ialah “kedai pajak” tempat mengadukan sesak sukar, tempat meletakkan sebarang cagaran yang masih ada bagi mendapatkan sedikit kepercayan meminjam wang.
Penulis sembunyi-sembunyi terang menayangkan lakonan Uda yang sanggup meninggalkan ibunya di kampong, terkapai-kapai berseorangan demi melansungkan hidup, hingga memaksa dirinya menggadai harta. Uda yang sebenarnya memaksa!

Apakan daya awak sudah tua, tempat pergantungan tidak ada. Si Uda jauh sudah di kota, maka dengan keluhan yang berat dan linangan air mata daripada lubuk jiwa yang terkocak digadaikannyalah sawah pusaka yang amat dicintainya itu kepada Haji Alang. Itulah dayanya sebagai seorang ibu tua yang miskin dalam menghadapi hidup kelilingnya yang kejam lagi bengis itu.

Demi Dara, anak Melayu tumpas. Ramai yang tumpas, orang kampong juga.

Menangis ibunya melihat keadaan puteranya yang dulunya segar-bugar, tangkas dalam silat, gagah dalam gerak, kini hanya sebagai rangka.

Mari, tanpa segan silu, membuka kembali lembaran cerpen pilihan abad, catatan bangsa sendiri. Tidak molek jika mudah sahaja cakap begini begitu tentang kasih Uda dan Dara tanpa membacanya sendiri. Itu pun jika tahu tentang karya ini, mungkin kerana telah dikaburi Romeo dan Juliet.
seperti biasa; gambar sekadar hiasan

Tuesday, June 2, 2009

huruf A dan I


kala kita di atas sana,
selamat datang du-nia-ku.

Sunday, May 31, 2009

aduhai, jangan marah

“Meskipun Islam memperlihatkan kuasanya dalam kebangkitan semulanya pada masa ini, namun hakikatnya agama ini hampir tidak mempunyai daya tarikan di luar kawasan yang memang dari mula lagi tidak jatuh di bawah pengaruh kebudayaan Islam. Nampaknya zaman penaklukan budaya Islam sudah berakhir : pengikutnya yang telah menyeleweng boleh ditarik semula, tetapi agama ini tidak mempunyai makna bagi orang muda di Berlin, Tokyo, atau Moscow. Walaupun hampir satu bilion orang-satu perlima penduduk dunia-berbudaya Islam, namun mereka tidak mampu mencabar demokrasi liberal di kawasannya sendiri pada tahap gagasan. Mereka sudah tentu boleh mencabar demokrasi liberal menerusi bom dan peluru pengganas, suatu cabaran yang bermakna tetapi tidak penting. Malah dunia Islam pasti kelihatan lebih mudah terjejas oleh gagasan liberal dalam jangka panjang dan bukan sebaliknya, kerana liberalisme telah menarik minat ramai orang muslim, dan orang Muslim yang berkuasa juga, sepanjang satu setengah abad yang lalu. Sebahagian daripada sebab bagi kebangkitan fundamentalis yang berlaku kini ialah kekuatan ancaman terhadap masyarakat Islam yang tradisional, yang dapat dilihat daripada nilai Barat yang liberal.”

“ ‘Sains Islam tidak mampu menghasilkan kapal terbang pejuang pengebom F-4 dan kereta kebal Chieftain yang diperlukan untuk mempertahankan Iran di bawah Khomeini, daripada jirannya yang bercita-cita tinggi, iaitu Iraq. Iran di bawah sistem pemerintahan Islam boleh menyerang rasionalisme Barat yang menghasilkan senjata sedemikian kerana hanya Iran mampu membeli senjata itu dengan pendapatan daripada rizab minyaknya. Hakikat bahawa pemerintah Iran boleh melihat sahaja sumber yang berharga itu memancut keluar dari tanah membolehkan mereka memuaskan hati mereka dengan melibatkan diri dalam rancangan seperti revolusi Islam sedunia, sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh negara lain yang tidak dikurniakan sumber yang sedemikian berharga.”

dari The End of History and The Last Man; Francis Fukuyama


Dari dalam kepala orang kampong, yang dihiasi dengan rambut kerinting mengerbang sana-sini, hal ini bukan salahnya itu agama, tetapi tidak syak lagi, para pengikutnya yang tiada benar bekerja – membuat apa yang disuruh ke atas mereka. Tidak tersangkal, orang kampong juga gelagatnya begitu. Tetapi dia (baca; orang kampong) tetap berhajat menyumbang sesuatu kepada dirinya. Tetap bertanya sendiri-sendiri, mengapa tidak kumpulannya Melayu perguna kekuatan diri; adaptis-kreatis?

mereka ini orangnya atas angin, tiadalah bijak mana, tiadalah betul semua.

Thursday, May 28, 2009

Cett! Kalah!

walaupun Manchester United tewas semalam, ada perkara yang lebih menarik minat orang kampong yang tersebar merata di akhbar dan berita yakni 'Chin Peng tak dibenar pulang' (Berita Harian).

apa agaknya rasa mereka, pahlawan yang sering merangkak dalam kebutaan malam, menyembunyikan kepala dari tertusuk lalu pecah dek peluru tajam sang pengikut telunjuk Inggeris, kerana hanya ingin melepaskan belenggu yang merantai tanah air langit junjungan, apabila tidak dibenarkan pulang memijak tanah tertumpahnya darah kawanan pejuang lain?

ketika ini, sangat berguna untuk kita telus dan amanah dalam melihat semula sejarah, jangan tuduh semberono, rujuk bukan hanya buku teks sejarah tingkatan 5, rakaman video mahupun gambar-gambar, malahan lebih lagi.

orang kampong pasti dan pasti, Perdana Menterinya lebih tahu dan tahu sejarah!

petikan ringkas dari buku Islam Melayu Komunis, wawancara dengan Abdullah C.D, Rashid Maidin, Abu Samah.

Rashid Maidin : "..................Cuma satu perkara saja ingin saya tegaskan, iaitu masalah perang dalam negeri dan perdamaian. PKM bukan sebuah parti yang haus perang, bahkan sebuah parti yang cintakan perdamian........Sebab itulah kami pergi ke Baling dulu. Kami bersedia menamatkan perang dalam negeri dengan syarat yang adil dan munasabah........."