Friday, December 11, 2009

2012

Saya baru sahaja usai menonton filem 2012, semua pasti tahu, semua mungkin tahu akan filem tersebut.

Seperti Komunisme meletakkan harapan untuk berkembang pada Internasionalisme, Kapitalisme pula bergantung harap pada Globalisasi. Globalisasi ringkasnya boleh diertikan sebagai proses ingin menghasilkan sebuah dunia kepada suatu yang berbentuk glob, bukan sekadar dunia fizikal, tetapi juga dunia tak ternampakkan. Dan di antaranya saling bergantungan antara satu sama lain pada tahap yang maksimum, supaya ia mematuhi teori domino, agar ketuanya terus agung.

Mungkin contoh paling mudah untuk kita lihat apa itu Globalisasi ini adalah dengan melihat kasut Nike dan rujuk pula kepada tagnya, jika ia tertulis ‘made in Thailand’ atau ‘made in Taiwan’, makanya itu adalah globalisasi. Mudah bukan?

Seperti semua tahu, China mengamal suatu bentuk ekonomi yang berlainan dengan apa yang diamalkan di Amerika Syarikat. Apa yang mungkin diragukan ialah walaupun begitu, China tetap merupakan antara 5 negara paling kukuh ekonominya dalam dunia. Dan selepas kejatuhan ekonomi disebabkan sistem hutang dalam perbankan dunia kapitalis sejak akhir tahun 2008 hingga kini menyerang dunia, banyak negara mula berkira-kira untuk mengubah cara pandang mereka kepada apa yang dilakukan China yakni ekonomi jenis domestik.

Ini merupakan cabaran terbesar Amerika, bukan terhadap negara tersebut mungkin, tetapi kepada kepala-kepala besar bisness mereka termasuklah David Rockeffeller dan anak-anaknya. Banyak lagi bidang yang berteraskan kemewahan bisness seperti sukan, pakaian, kereta mewah akan roboh, serta tidak lupa bidang perfileman (Hollywood) juga akan menerima impaknya jika ekonomi jenis domestik atau lebih keras, ekonomi Komunisme menggantikan tempat ekonomi Kapitalisme.

Adam Smith mungkin sekali kecewa dengan apa yang terjadi sekarang, sistem yang direkanya seolah-olah tidak menghormati kemanusiaan, lebih dahsyat dari itu, memijaknya. Hamba hutang berlambakkan di dunia ini, walaupun salah seorang rakyatnya (baca; Amerika) dahulu menolak perhambaan!

Saya baru selesai menonton filem 2012, saya dapati ia bersifat sangat provokatif, dari segi ekonomi politik dan sosial, keseluruhannya. Lihat sahaja kepada jalan cerita, dalam hal tempat duduk setiap satu dalam bahtera berharga 1 billion USD, dan tempat di mana terbinanya kapal-kapal tersebut. Ia seolah-olah ingin memaparkan China telah memperakui sistem ekonomi Kapitalisme pada tahun 2012 dan sanggup mengenepikan nyawa hampir 1 billion rakyatnya dengan hanya kerana ingin memberikan layanan ‘istimewa’ kepada golongan kaya-raya yang datang dari seluruh dunia. Ini dia sistem Kapitalisme, ini dia Globalisasi, dan China seolah-olah telah berjaya ditundukkan untuk turut sama bersekongkol dengan Amerika Syarikat dalam hal bahtera, bahtera yang menampung permulaan tahun 0001 dunia.

Yang lebih menggugat ialah, propaganda bahawa hanya sistem Kapitalisme yang bakal terselamat, dan sistem inilah yang akan memacu dunia baru kelak. Kerana apa, kerana di dalam bahtera itu majoritinya adalah mereka yang kaya-raya, mereka golongan Kapitalis!

Saya juga tertarik kepada adegan armada Amerika yang tertulis nama Kennedy di atasnya merempuh keras Rumah Putih. Saya tersenyum ketika menonton aksi itu, menarik.

No comments: