Thursday, April 22, 2010

Zaki si Pencuri Perlembagaan

Saya cuba menggunakan selang tengah ini sebaik mungkin.

Bukan niat saya untuk membuat permulaan yang berbaur provokasi, tetapi mungkin ia berguna dan bakal menjadi nota tambahan kepada mereka yang terlibat. Jika kita lihat secara meluas atau lihat dari atas, kita bakal lihat kitab teragung yang dipersetujui oleh semua rakyat Malaysia, tidak kira agama, bangsa mahupun fahaman politik, ialah kitab Perlembagaan dan kitab Akta, bukan kitab Al-Quran mahupun kitab Hadith Muslim dan Bukhari. Jika diletakkan keempat-empat kitab tersebut di depan mata, maka tangan akan memilih kitab Perlembagaan dan kitab Akta, di dunia lagi. Itu rakyat Malaysia, itu kita sekarang. Ini bukan sangkaan, ini kenyataan. Mungkin ramai yang menyangkalnya secara teori, tetapi secara praktikalnya, belum tentu.

Mari kita lihat contoh yang dikaburkan segala watak dan jalan cerita, tetapi tetap menjurus kepada pernyataan di atas; Zaki mengalihkan kedudukan kamera Canon Digital IXUS dari almari baju kawan Zaki yang berkunci tanpa kerelaan kawan Zaki tersebut, tujuan pengalihan kamera tersebut adalah untuk memilikinya dan Zaki mempunyai niat untuk melakukan perbuatan tersebut dan menjadikan kamera tersebut sebagai hak Zaki, walaupun buat sementara waktu. Zaki dituduh mencuri dan dia tidak mengaku bersalah atas perbuatan tersebut. Zaki dihadapkan ke muka pengadilan yang berhampiran.

Zaki dengan beraninya, ketika berada di dalam kandang, mengangkat kitab Al-Quran di tangan kanan dan mengangkat kitab Kanun Keseksaan (Akta 574) di tangan kiri. Zaki malah dengan berani menjerit sekuat hati ke arah hakim, dalam masa yang sama menyuruh hakim Mahkamah Majistret itu memilih kitab mana yang beliau akan guna untuk perbicaraan kali ini. Beliau dengan teragak-agak dan penuh alasan, memilih yang di tangan kiri Zaki. Dengan alasan, pertama; saya takut dikatakan ekstrimis, kedua; saya tidak belajar apa-apa prosedur dalam al-Quran atau mana-mana kitab berkaitan Hudud, ketiga; Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan mana-mana undang-undang lain yang bertentangan atau tidak selari dengannya dijadikan sumber rujukan, dan keempat; agama Islam adalah sekadar agama rasmi Persekutuan.

Selepas mendengar alasan tersebut, Zaki diam dan terus tersenyum. Misi Zaki berjaya dan Zaki berpuas hati, walaupun Zaki sedar pada mulanya Zaki telah melakukan aktiviti pencurian, tetapi Zaki berjaya menunjukkan kebenaran yang hakiki. Zaki selepas itu mewasiatkan agar kamera yang diambilnya itu diletakkan semula ke dalam almari kawan Zaki yang tadi, seterusnya berasa lega. Kerana pada Zaki dia telah mendapat pahala.

Itu dia contohnya, jelas bukan Perlembagaan lebih tinggi tarafnya dari al-Quran di Malaysia ini? Buat yang faham atas apa yang saya tulis, saya gembira dan ingin mengucapkan tahniah. Buat yang tidak, mungkin salahnya atas saya kerana menulis ayat yang berpusing-pusing. Sesungguhnya niat saya hanya ingin meletakkan seluruhnya dalam satu.

Peranggan akhir tidak ada kena-mengena dengan provokasi ‘Perlembagaan dan al-Quran’, tetapi lebih kepada provokasi kes curi. Zaki, terima kasih, kerana saya percaya saudara tidak terlibat.

Monday, April 5, 2010

Tawar

Saya tidak berarak sambil berselawat ketika maulud, jadi saya tidak berlebih-lebihan menyambut ulang tahun kali ini. Cumanya saya berasa sangat bertanggungjawab dengan usia yang diberi, oleh itu saya fikir renung, lalu memuntahkan segala hasil melalui tulisan, jika termampu, hanya sekadar catatan untuk masa depan.

Amat tajam kejatuhan yang saya hadapi, menikam hati seluruhnya, bukan saya sahaja. Disebabkan usia saya panjang, saya berkesempatan untuk merasa tikaman dan ludahan kahak dari pertanggungjawaban atas perlakuan. Saya tumpas, hati saya keluarkan lalu saya carik cincang hati itu menjadi banyak. Agar nampak terang darah merah terpercik memancut keluar.

Tidakkah kamu terlihat? Tidakkah kamu melihat?

Agar usia ku panjang, agar ia mampu berputar ke atas, atau paling kurang ia mampu seimbang dengan masa lalu. Jalannya pelbagai untuk ia menjadi nyata, dan saya nampak itu. Cuma belum tersampai dan termampu untuk digapai. Tawar, sekarang ini tawar dan sedikit-sedikit pahit pada hujung rasa.

Tipu dan saya menipu diri sendiri, perkara itu tidak boleh hilang luput dari bayang mata dan wajah. Apa yang terpalit terus melekat, cuma kebijakan untuk meyembunyikannya atau kelemahan melihat sahaja menjadi sempadan. Jaga wajah tidak sesukar menjaga hati, menjaga nafsu lapar dahaga tidak sesukar menjaga air mata. Kerana apa yang di dalam itu lebih kekal, lebih mudah diserang.

Jika bukan orang luar, hati ini sendiri ada tenteranya. Bahagian yang siap siaga memukul hingga patah riuk tubuh sendiri, seperti lagaknya orang gila dan mabuk, mencedera menzalimi anggota tubuh. Tentera ganas garang sentiasa ada tugas, menanti saat kehancuran tubuh sendiri.

Dan saat itu sudah sampai buat saya, malah mungkin sudah berlalu. Kelahiran baru, manusia mula muncul dari kehancuran dan kejatuhan.

Salam dari abang; Rebut 5 perkara sebelum 5 perkara! Salah satu masa muda sebelum masa tua mu, life aint about how hard you hit but how hard you can get hit and keep moving forward... Selamat hari lahir.

Wednesday, February 10, 2010

Perak dan Liwat

Winston Churchill pernah berkata; ‘the farther backward you can look, the farther forward you can see’.

Keputusan mahkamah persekutuan tidak menggemparkan kami. Sehari sebelum keputusan itu dibacakan oleh hakim, pelbagai unjuran idea dilakukan, tetapi lebih kepada yang ringan-ringan sahaja. Ada yang masih positif dengan meletakkan harapan tinggi kepada kemenangan Nizar, dan ada juga yang terus menempelak kerajaan dan institusi kehakiman negara dengan melemparkan kata-kata keji berdasarkan prestasi sebelum ini. Saya termasuk dalam golongan kedua.

Dan ternyata, selepas keputusan kerajaan dan mahkamah dibacakan, dengan keputusan sebulat suara (5 berbalas 0), nizar tumpas. Banyak juga spekulasi yang dilakukan selepas itu, juga idea-idea radikal mula muncul dari pihak yang kecewa terhadap keputusan tersebut. Mungkin yang paling terkesan di kalangan kami ialah rakyat Perak sendiri. Sehingga ada salah seorang dari kami bercadang untuk baring dihadapan kereta bernombor pendaftaran Perak, tanda menunjuk kasih. Tetapi idea itu hanya jadi bahan ketawa, menunjukkan ketidak seriusan kami.

Pada sudut yang lebih serius, idea saya yakni kudeta bersenjata mula dipandang oleh salah seorang dari kami, beliau mula bertanya-tanya adakah mungkin perjuangan bersenjata di Malaysia mampu dilakukan. Dan ini, saya kira suatu petunjuk positif, saya girang, hanya ketawa tanpa menjawab soalan beliau.

Memandangkan saya bertanggungjawab untuk menarik seberapa ramai untuk tidak mengundi pada pilihanraya akan datang, paling kurang seluruh ahli keluarga saya, isu Perak ini membuatkan saya teruja. Saya bersungguh ingin menjadikannya salah satu penguat hujah kepada idea anti-demokrasi. Saya percaya dan yakin, hal ini bakal menjadi titik tolak kepada kehancuran sistem memandangkan wujudnya terlalu banyak campur tangan badan asing dalam sistem keseimbangan (check and balance) yang terkandung dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Saya tidak berminat untuk menghurai apa yang dilakukan bapak-bapak tua di luar sana, tetapi saya ingin membawa penulisan saya kepada suatu pendapat yang juga melihat bahawa sistem demokrasi ini suatu sistem keji hina.

Plato bermuram durja selepas guru kesayangannya mengambil keputusan untuk berjuang dengan meminum racun Hemlock selepas ditekan dan dituduh menghasut dan menyebar idea-idea sesat kepada golongan muda. Socrates dengan berani memilih untuk mati daripada terus menjadi bangkai hidup, tidak menyebarkan kebenaran yang beliau dapati. Kerajaan yang menekan beliau ialah sebuah kerajaan demokrasi. Socrates dibunuh dengan zalim, dan perihal peristiwa ini ada dinukilkan dalam karya agung Plato, Republic.

Dalam Republic juga ada mencetuskan lima idea bentuk negara yang pada penulisnya bakal wujud di disebabkan keadaan semula jadi jiwa manusia. Dan penulis telah menyusun bentuk negara tersebut daripada yang paling baik baginya, kepada yang paling buruk. Susunan tersebut ialah seperti berikut ; aristokrasi, timokrasi, oligarki, demokrasi dan tirani. Sistem demokrasi hanya diletakkan pada tangga keempat kerana pada beliau, demokrasi memang pada mulanya nampak seperti sebuah sistem yang menjanjikan, tetapi awas, sistem itu hanya akan membawa kepada kebebasan tanpa batasan serta hanya akan meletakkan kuasa yang terlampau besar kepada ketua selepas sistem ini gagal dalam pusingan pertama.

Pada waktu tuanya, Plato terus menghasilkan karya untuk ditinggalkan kepada generasi akan datang, dan mungkin dengan kesedaran itu, maka muncullah Politicus. Dalam buku tersebut juga ada menyebut tentang bentuk-bentuk negara, yang pada beliau perlu diubah agar lebih realis. Penulis sebelum itu telah mencadangkan pembahagian dua golongan, iaitu golongan yang mengenal undang-undang dan golongan yang tidak mengenal undang-undang dan seterusnya menyusun bentuk negara bagi kedua-dua golongan, setiapnya terkandung tiga bentuk.

Dalam golongan mengenal undang-undang, bentuk terbaik ialah monarki, diikuti aristokrasi dan demokrasi. Dalam golongan tidak mengenal undang-undang pula, bentuk terbaik ialah demokrasi, diikuti oligarki dan tirani.

Menarik bukan?

Memandangkan undang-undang merupakan pelajaran utama saya kini, saya amat tertarik untuk mengikuti perkembangan kes liwat Anwar. Unjuran idea juga dilakukan ke atasnya, dan jikalau Anwar gagal mempertahankan diri, ia merupakan suatu peluang terbesar untuk konsep anti demokrasi muncul. Maka dari sekarang, kita harus bersedia.

Saturday, January 9, 2010

Pati Demokrasi

Tidak lama lagi Pilihan Raya Kampus akan berlangsung. Seperti sifat pengundinya sendiri, pilihanraya tersebut menjanjikan kebosanan yang berada pada tahap dewa. Mungkin sekali kebosanan bertahap dewa Zeus, siapa tahu.

Seperti pengalaman sebelum ini, pilihanraya majlis perwakilan pelajar KMS (kolej persediaan pelajar ‘elit’ keluar negara) mensajikan manifesto hambar seperti janji payau untuk menambah bilangan mesin basuh, menambah bilangan kerusi dan meja, dan tidak ketinggalan, memperbaiki pendingin hawa yang usang. Nah, itu dia manifesto sekumpulan wakil pelajar ‘elit’!

Saya tidak memandang rendah potensi pelajar di sini, tetapi apa akan daya, melalui survey yang telah dilakukan, keputusannya seperti menyuruh saya untuk berjaga-jaga, jangan sampai saya sekali ditarik masuk dalam kancah ketidak pedulian yang membusuk. Oleh itu, saya jangkakan, manifesto (jika ada) sebelum pilihan raya kampus ini bakal menjanjikan perkara lebih hambar dan bosan.

Apabila sebut tentang pilihanraya (baca; pungutan suara/pendapat), di Malaysia khususnya, tentu sahaja dikaitkan dengan demokrasi, termasuklah pilihanraya kampus murahan seperti ini. Tidak dapat tidak, ia memang berkait antara keduanya. Perkaitan ini mungkin sekali boleh disemak melalui pensejarahan dari segi saat terciptanya sistem demokrasi itu sendiri.

Selepas Solon, salah seorang daripada tujuh cendiakawan paling agung dalam cerita Yunani kuno dilantik sebagai ketua arkon, beliau dengan berani dan berstrategi menyisipkan idea demokrasi dalam pemeritahan negara Athens. Hal ini muncul dengan pembahagaian warganegara kepada empat golongan, dan masing-masing diletakkan dalam ‘dewan’ mengikut kedudukan. Dengan mengikut hieraki, dari yang paling tinggi, dewan yang wujud pada ketika itu ialah Areopagus, Boule (Dewan Empat Ratus) dan Ekklesia.

Secara langsung, keempat-empat golongan tersebut terlibat dalam pemerintahan negara, dan antara jasa terbesar Solon adalah ‘berhasil membentuk suatu perwakilan rakyat yang memperoleh hak dan kuasa untuk mengangkat penjabat-penjabat negara, membuat undang-undang dan mengambil keputusan untuk berperang atau berdamai’ (Falasafah Politik Plato, J.H Rapar). Dan selepas itu, secara ringkasnya, di Athens, selepas Solon meninggalkan jabatannya dan merantau ke luar negara, idea beliau terus dikembangkan oleh Cleisthenes dan seterusnya, Pericles.

Dan jelas, idea asal beliau sehingga kini masih bertahan. Tahniah buat Solon, dari seorang yang anti-demokrasi seperti saya.

Persoalannya, adakah bakal-bakal calon yang akan bertanding pada PRK (baca; Pilihan Raya Kampus) tidak lama lagi tahu benar tentang sistem yang mereka sedang tiduri? Bagaimana mampu mereka untuk lihat kehodohan atau kecantikan sistem tersebut, jika mereka tidak menelanjangi sistem tersebut sehingga ke tahap dewa?

Telanjang sampai tahap dewa Aphrodite mungkin, siapa tahu.

Monday, December 28, 2009

PAS dan Demokrasi

Saya sekarang ini berminat benar menyiasat tentang sistem Demokrasi. Oleh yang demikian, saya banyak juga mentelaah buku, agar saya berjaya membuat silang idea kepada segala fakta yang saya peroleh. Sesetengah itu ada yang boleh disimpan rapi dalam minda, dan setengah yang lainnya malah perlu dihapuskan terus. Alangkah!

Saya sekarang ini sedang sedikit sibuk menghabiskan buku ‘Tumit Achilles dan lain-lain esei’ tulisan Khalid Jaafar yang berharga RM 15 yang saya dapati dari kedai ‘indie’ Ricecooker yang kini dipercayai telah berpindah dari Pasar Seni ke Pudu. Buku yang dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk bahagian agama, politik, terorisme & perang dan Anwar lawan Mahathir cukup pada saya untuk menambah ilmu pengetahuan tentang dunia kepolitikan yang pernah dan sedang berlangsung di Malaysia.

Saya tertarik hati kepada beberapa pendapat beliau dan berasa perlu untuk saya menaip semula di antaranya pada laman ini. Dalam eseinya bertajuk ‘Politik sebagai dharmaksetre’, ada tersisip;

“Dalam perjuangan untuk mencapai kebebasan dan persamaan, demokrat bukan sahaja akan bergelut dengan musuh-musuh kebebasan, kuasa-kuasa anti demokrasi tetapi juga bergulat dalam diri mereka dengan ide, nilai-nilai dan sikap yang tidak serasi dengan cita-cita demokrasi. Demokrasi yang sebenar tidak akan lahir tanpa lahirnya terlebih dahulu demokrat. Pilihanraya mungkin menaikkan suatu golongan yang menamakan diri mereka sebagai pejuang demokrasi. Tetapi kalau beliau itu bukan demokrat tulen maka selepas menang beliau akan menghakis dan menggasir intitusi demokrasi. Pertama yang akan menjadi sasaran adalah media yang bebas dan golongan minoriti atau kelompok yang menentangnya tetapi tewas kerana kurang sokongan.”

Menarik bukan? Lebih menarik jika pendapat ini dibuat silang idea dengan berita dari http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/47702-pas-mahu-kawal-kenyataan-media-elak-imej-negatif yang ada menyebut tentang ini;

“PAS akan menggunakan mekanisme khas yang hanya membolehken sesetengah pemimpinnya mengeluarkan kenyataan media, dipercayai usaha terbaru parti itu untuk mengawal impak kerosakan akibat liputan media massa.

Di bawah mekanisme itu hanya pemimpin tertentu dalam PAS sahaja yang akan dibenarkan mengeluarkan kenyataan media.

Perkara itu dinyatakan oleh timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa ketika sesi soal jawab pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS-55 PAS Pengkalan Chepa, malam tadi.”

Cantik bukan? Nasihat saya, jikalau takut bertempur dalam dunia demokrasi yang semakin membusuk dan menghapus itu, lupakan sahaja.

Demokrasi itu kakinya media, akarnya putar-belit fitnah-menfitnah. Demokrasi itu bukan pilihanraya sahaja!

Thursday, December 24, 2009

Dalam ingatan, adik Nurin Jazlin


Rakyat diam, rakyat pengecut.

Rakyat tak peduli, rakyat hina.

Rakyat bukan itu. rakyat berani.

Berani dan perlu angkuh.

Keadilan itu hak kita.

sudah 829 hari berlalu, selepas penemuan jenazah adik NURIN JAZLIN BINTI JAZIMIN, Polis di Raja Malaysia dan Kerajaan Persekutuan masih belum menemui penjenayah yang terlibat. Polis diRaja Malaysia dan Kerajaan Persekutuan yang dikepalai parti Barisan Nasional pada saya perlu berasa malu. Polis diRaja Malaysia dan Kerajaan Persekutuan pada saya perlu bertanggungjawab penuh ke atas kes ini. Polis diRaja Malaysia dan Kerajaan Persekutuan pada saya zalim.

lebih zalim jika kita rakyat, berdiam diri dengan perbuatan Polis diRaja Malaysia dan Kerajaan Persekutuan yang tidak bertanggungjawab dan memalukan ini. saya tahu polis dan kerajaan tidak pernah tutup kes, tetapi sampai bila? sampai bila?

BANGKIT, BANGKIT

ini bukan soal tahanan ISA, ini bukan soal PPSMI.

mengapa rakyat tidak menunjuk kasih pada yang ini?

ludahkan saja demokrasi jahanam jika begini..masing-masing di Parlimen sana tidak tahu malu..

Friday, December 11, 2009

2012

Saya baru sahaja usai menonton filem 2012, semua pasti tahu, semua mungkin tahu akan filem tersebut.

Seperti Komunisme meletakkan harapan untuk berkembang pada Internasionalisme, Kapitalisme pula bergantung harap pada Globalisasi. Globalisasi ringkasnya boleh diertikan sebagai proses ingin menghasilkan sebuah dunia kepada suatu yang berbentuk glob, bukan sekadar dunia fizikal, tetapi juga dunia tak ternampakkan. Dan di antaranya saling bergantungan antara satu sama lain pada tahap yang maksimum, supaya ia mematuhi teori domino, agar ketuanya terus agung.

Mungkin contoh paling mudah untuk kita lihat apa itu Globalisasi ini adalah dengan melihat kasut Nike dan rujuk pula kepada tagnya, jika ia tertulis ‘made in Thailand’ atau ‘made in Taiwan’, makanya itu adalah globalisasi. Mudah bukan?

Seperti semua tahu, China mengamal suatu bentuk ekonomi yang berlainan dengan apa yang diamalkan di Amerika Syarikat. Apa yang mungkin diragukan ialah walaupun begitu, China tetap merupakan antara 5 negara paling kukuh ekonominya dalam dunia. Dan selepas kejatuhan ekonomi disebabkan sistem hutang dalam perbankan dunia kapitalis sejak akhir tahun 2008 hingga kini menyerang dunia, banyak negara mula berkira-kira untuk mengubah cara pandang mereka kepada apa yang dilakukan China yakni ekonomi jenis domestik.

Ini merupakan cabaran terbesar Amerika, bukan terhadap negara tersebut mungkin, tetapi kepada kepala-kepala besar bisness mereka termasuklah David Rockeffeller dan anak-anaknya. Banyak lagi bidang yang berteraskan kemewahan bisness seperti sukan, pakaian, kereta mewah akan roboh, serta tidak lupa bidang perfileman (Hollywood) juga akan menerima impaknya jika ekonomi jenis domestik atau lebih keras, ekonomi Komunisme menggantikan tempat ekonomi Kapitalisme.

Adam Smith mungkin sekali kecewa dengan apa yang terjadi sekarang, sistem yang direkanya seolah-olah tidak menghormati kemanusiaan, lebih dahsyat dari itu, memijaknya. Hamba hutang berlambakkan di dunia ini, walaupun salah seorang rakyatnya (baca; Amerika) dahulu menolak perhambaan!

Saya baru selesai menonton filem 2012, saya dapati ia bersifat sangat provokatif, dari segi ekonomi politik dan sosial, keseluruhannya. Lihat sahaja kepada jalan cerita, dalam hal tempat duduk setiap satu dalam bahtera berharga 1 billion USD, dan tempat di mana terbinanya kapal-kapal tersebut. Ia seolah-olah ingin memaparkan China telah memperakui sistem ekonomi Kapitalisme pada tahun 2012 dan sanggup mengenepikan nyawa hampir 1 billion rakyatnya dengan hanya kerana ingin memberikan layanan ‘istimewa’ kepada golongan kaya-raya yang datang dari seluruh dunia. Ini dia sistem Kapitalisme, ini dia Globalisasi, dan China seolah-olah telah berjaya ditundukkan untuk turut sama bersekongkol dengan Amerika Syarikat dalam hal bahtera, bahtera yang menampung permulaan tahun 0001 dunia.

Yang lebih menggugat ialah, propaganda bahawa hanya sistem Kapitalisme yang bakal terselamat, dan sistem inilah yang akan memacu dunia baru kelak. Kerana apa, kerana di dalam bahtera itu majoritinya adalah mereka yang kaya-raya, mereka golongan Kapitalis!

Saya juga tertarik kepada adegan armada Amerika yang tertulis nama Kennedy di atasnya merempuh keras Rumah Putih. Saya tersenyum ketika menonton aksi itu, menarik.