Monday, November 16, 2009

anti-demokrasi

Segala permasalahan hanya akan membuatkan kita manusia matang. Juga haiwan, tumbuhan dan segala makhluk di dunia. Juga tidak terlepas daripadanya, sistem rekaan manusia, yang mudah contohnya seperti politik, ekonomi dan sosial. Segala yang ada hubungan dengan masalah dugaan, ia akan matang, dengan lain kata, lebih bagus dan hebat dan kukuh.

Lihat sahaja bagaimana hancur luluhnya sel-sel ringkas bumi, yang akhirnya tertimbun dan saling menindih antara satu dengan yang lain, dipaksa dipadatkan sepadu-padunya dengan tekanan dan suhu tinggi menakutkan, yang akhirnya menghasilkan sungai hitam yang bertenaga, lagi kukuh kedudukannya. Manusia berakal dan beremosi sehingga sanggup berperang berbunuhan kerananya, hanya kerana kehebatannya, kerana kematangannya, kerana kekukuhannya.

Nah! Lagi, lihat sahaja api panas membakar gunung, lahar memuntahkan lava panas melecur menghancur seolah berkuasa menghapus segala yang dilanggar. Walau tanah serasa mampu bertahan, tetapi tetap ia panas, tetap ia melecur, tetap itu suatu permasalahan. Tetapi lihat sahaja kesannya, aluvium subur menghijau, mengalpa setiap mata memandang, memenuh setiap perut yang kekosongan. Dan lebih besar letupannya, lebih besar permasalahannya, lebih itulah, kematangan kehebatan kekukuhannya.

Pada sistem pula, lihat sistem pengadilan manusiawi yang dicipta tangan-tangan makhluk. Walaupun masih belum benar matang, tetapi semua bergerak kearah itu, dan ini benar bukan tipu-tipuan. Lihat sahaja mereka mula mencipta undang-undang yang lebih adil dan saksama, undang-undang yang lebih sesuai dengan kewujudan masyarakat, berdasarkan kes-kes yang pelbagai rupa dan bentuk, berlaku sebelumnya. Pengadilan yang sebenar, tanpa proksi, betul menyerlah kebenarannya.

Ini contoh mudah. Lihat pelbagai masalah yang dihadapi kita sekarang, rakyat Malaysia dari sudut dunia kepolitikan kini. Seperti sampah sarap membukit, bercampuran sifat-sifat buruk hodoh, sehingga sukar kita lihat, yang mana diamnya, zat yang boleh dikitar semula dan diguna pakai lagi.

Politik Malaysia, sampah. Sistem politiknya juga sampah. Itu pada saya. Tetapi harus diingat, menjadi sampah ini tidaklah akan mengandung sifat buruk hodoh selama. Ia bakal berubah, dan bakal mengubah, dari membusuk kepada mengharum. Walaupun Najib dan Anwar asyik menarik selimut yang mereka kongsi bersama, agar salah satunya terbuka aib, agar selimut menjadi hak milik satu, kita yang menonton ini hanya mengikut. Kerana suatu ketika nanti, kedua-duanya bakal bergomol mesra, mengahasilkan suatu kematangan, kehebatan dan kekukuhan.

Saya, anti-demokrasi. Kerana agama saya tidak pernah mengajar yang itu. Juga agama saya tidak mengajar curiga.