Monday, December 28, 2009

PAS dan Demokrasi

Saya sekarang ini berminat benar menyiasat tentang sistem Demokrasi. Oleh yang demikian, saya banyak juga mentelaah buku, agar saya berjaya membuat silang idea kepada segala fakta yang saya peroleh. Sesetengah itu ada yang boleh disimpan rapi dalam minda, dan setengah yang lainnya malah perlu dihapuskan terus. Alangkah!

Saya sekarang ini sedang sedikit sibuk menghabiskan buku ‘Tumit Achilles dan lain-lain esei’ tulisan Khalid Jaafar yang berharga RM 15 yang saya dapati dari kedai ‘indie’ Ricecooker yang kini dipercayai telah berpindah dari Pasar Seni ke Pudu. Buku yang dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk bahagian agama, politik, terorisme & perang dan Anwar lawan Mahathir cukup pada saya untuk menambah ilmu pengetahuan tentang dunia kepolitikan yang pernah dan sedang berlangsung di Malaysia.

Saya tertarik hati kepada beberapa pendapat beliau dan berasa perlu untuk saya menaip semula di antaranya pada laman ini. Dalam eseinya bertajuk ‘Politik sebagai dharmaksetre’, ada tersisip;

“Dalam perjuangan untuk mencapai kebebasan dan persamaan, demokrat bukan sahaja akan bergelut dengan musuh-musuh kebebasan, kuasa-kuasa anti demokrasi tetapi juga bergulat dalam diri mereka dengan ide, nilai-nilai dan sikap yang tidak serasi dengan cita-cita demokrasi. Demokrasi yang sebenar tidak akan lahir tanpa lahirnya terlebih dahulu demokrat. Pilihanraya mungkin menaikkan suatu golongan yang menamakan diri mereka sebagai pejuang demokrasi. Tetapi kalau beliau itu bukan demokrat tulen maka selepas menang beliau akan menghakis dan menggasir intitusi demokrasi. Pertama yang akan menjadi sasaran adalah media yang bebas dan golongan minoriti atau kelompok yang menentangnya tetapi tewas kerana kurang sokongan.”

Menarik bukan? Lebih menarik jika pendapat ini dibuat silang idea dengan berita dari http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/47702-pas-mahu-kawal-kenyataan-media-elak-imej-negatif yang ada menyebut tentang ini;

“PAS akan menggunakan mekanisme khas yang hanya membolehken sesetengah pemimpinnya mengeluarkan kenyataan media, dipercayai usaha terbaru parti itu untuk mengawal impak kerosakan akibat liputan media massa.

Di bawah mekanisme itu hanya pemimpin tertentu dalam PAS sahaja yang akan dibenarkan mengeluarkan kenyataan media.

Perkara itu dinyatakan oleh timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa ketika sesi soal jawab pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS-55 PAS Pengkalan Chepa, malam tadi.”

Cantik bukan? Nasihat saya, jikalau takut bertempur dalam dunia demokrasi yang semakin membusuk dan menghapus itu, lupakan sahaja.

Demokrasi itu kakinya media, akarnya putar-belit fitnah-menfitnah. Demokrasi itu bukan pilihanraya sahaja!

1 comment:

Wan Joe aka BAGONG said...

Ya..seperti ayam dan telor...mana satu kehadirannya tetap menjadi misteri.. patah balik,patah hait, semua tak menjadi...