Wednesday, June 16, 2010

Subsidi; tragedi?

Dalam esei hasil tulisan Cheryl Payer bertajuk The Debt Trap: The International Monetary Fund and the Third World, ada menyenaraikan beberapa cadangan 'penstabilan ekonomi' oleh IMF kepada negara-negara yang menjadi ahlinya yang gagal membayar hutang, atau ingin menambah jumlah pinjaman sebelum selesai membayar hutang (termasuk ciri-ciri lain). Cadangan ini lebih bersifat syarat dan lebih ditekankan kepada hanya negara-negara Dunia Ketiga dengan menggunakan kuasa yang terdapat dalam Artikel IV-nya. Cadangan 'penstabilan ekonomi' itu adalah seperti berikut;

1.abolition or liberalization of foreign exchange and import controls;
2.exchange rate devaluation;
3.anti-inflationary domestic programmes, including: (a) control of bank credit and higher interest rate; (b) lower state budget deficits through curbs on government spending, increases in taxes, abolition of subsidies; (c) controls on wage increases; and (d) dismantling price controls; and
4.greater hospitality for foreign private investment.

Saya tidak berminat untuk membincangkan apa yang terkandung dalam cadangan ini dan bagaimana ia dilaksanakan. Dalam entri kali ini, saya lebih tertarik untuk melihat kepada kesan dan impak yang terbit daripada cadangan 'penstabilan ekonomi' ini berdasarkan bukti-bukti sejarah yang berlaku di seluruh dunia. Ia berkisar tragedi yang berlaku kepada negara-negara Dunia Ketiga dan lebih menjurus kepada kesan daripada pemansuhan subsidi. Hal ini kerana polisi tersebut dilihat bertindak secara langsung kepada rakyat dan memberikan impak yang sangat cepat kepada mereka.

Pada bulan Januari 1977, kerajaan Mesir telah memansuhkan subsidi bahan makanan ruji dalam usahanya untuk mengurangkan kadar hutang dan defisit negara. Usaha pemansuhan subsidi ini disokong penuh oleh IMF, kerajaan Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Kuwait. Berikutan pemansuhan ini, rakyat telah melakukan beberapa siri tunjuk perasaan di bandar-bandar besar di Mesir, menentangnya. Bagi menyekat tunjuk perasaan tersebut daripada terus merebak, pasukan tentera terpaksa mengambil tindakan, mengakibatkan 24 orang terbunuh.

Pada 1 Julai 1981, kesatuan sekerja tempatan telah mengadakan mogok besar-besaran di Casablanca berikutan pemansuhan subsidi ke atas bahan makanan ruji oleh kerajaan Maghribi. Subsidi itu ditarik balik bagi memenuhi syarat pinjaman IMF berjumlah USD 1.2 billion. Jumlah wang sebanyak itu diperlukan untuk membayar hutang negara pada institusi luar, selain cubaan menstruktur semula aktiviti pinjaman luar negara. Pemansuhan ini mengakibatkan kenaikan harga bahan makanan secara mendadak. Seperti dalam buku 'Unholy Trinity; The IMF, World Bank and WTO' ada menyebut; 'The removal of subsidies caused the price of butter to go up by 76%, wheat flour by 40%, sugar by 37% and cooking oil by 28%'. Mogok tersebut bertukar rusuhan golongan muda, bermula dari pekan-pekan kecil membawa kepada bandar-bandar besar. Hal ini memaksa pasukan polis dan tentera melepaskan tembakan kepada kumpulan rusuhan yang akhirnya mengakibatkan 66 orang terkorban (berdasarkan laporan rasmi kerajaan) atau 673 orang, kebanyakannya kanak-kanak dan golongan remaja (berdasarkan laporan Gerakan Sosialis tempatan).

Boleh disemak, banyak lagi protes, mogok dan rusuhan berlaku berpunca dari permasalahan yang sama, yakni pemansuhan subsidi seperti apa yang berlaku di Republik Dominika pada tahun 1984, di Nigeria pada tahun 1988, di Venezuela pada tahun 1989 dan di Indonesia pada tahun 1998. Kebangkitan rakyat dalam menentang kemiskinan dan pengangguran dibalas dengan pembunuhan kejam pihak kerajaan dan tentera. Mutakhir ini, perihal yang sama berlaku di Kyrgystan, dan ini membuatkan saya lebih yakin untuk menolak cara 'penstabilan ekonomi' ala IMF tersebut.

Pada Isnin, 14 Jun 2010, dilaporkan sekurang-kurangnya 117 orang telah terbunuh, 1500 telah cedera dan 75 000 yang lain telah melarikan diri ke Uzbekistan dalam konflik etnik antara etnik Uzbeks dan Kyrgyz yang meletus di bandar Osh, Kyrgyzstan. Konflik bermula pada hari Khamis yang semakin memuncak menjelang hujung minggu, bukan suasa baru dalam masyarakat negara tersebut. April lalu, kekacauan berlaku di bandar Bishkek yang mengorbankan 85 orang dalam masa dua hari, ketika rakyat berusaha untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Kurmanbek Bakiyev (baca; Revolusi Tulip), dan sebagai penggantinya, mereka menerima Roza Otunbayeva, seorang wanita untuk mengapalai kerajaan sementara.

Berikutan konflik tersebut, para pemikir International Crisis Group, dalam kaji selidik umumnya bertajuk 'Kyrgyzstan: A Hollow Regime Collapses' menyalahkan kelemahan kredibiliti dan kepimpinan dalam kerajaan sementara Otunbayeza yang seterusnya membawa kepada meletusnya konflik etnik kali ini. Mungkin benar telahan tersebut, tetapi adakah itu merupakan satu-satunya punca kepada konflik dahsyat ini?

Dr. Balihar Sanghera, seorang pensyarah dalam bidang Sosiologi dan pengarah Sains Sosial di Britain's University of Kent berpendapat, punca sebenar kepada konflik etnik kali ini adalah berpunca daripada ketidakseimbangan pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan Kyrgyzstan, yang berasal daripada reformasi pertanian neoliberalism, yang dipelopori oleh IMF, World Bank dan WTO. Dalam esei bertajuk 'Why are Kyrgyzstan’s slum dwellers so angry?', beliau menulis;

'The International Monetary Fund, World Bank and World Trade Organisation have imposed upon Kyrgyzstan and many other developing countries a package of neo-liberal economic policies. Powerless to resist, governments have had to sign up to these structural adjustment programmes in return for international loans, foreign direct investment and other financial support. Since independence in 1991, Kyrgyzstan has undergone an extensive programme of liberal marketisation and privatisation: privatisation of land and property, a break-up of kolkhozes, reductions in subsidies and import tariffs, liberalisation of commodity prices, cuts in state expenditure, relaxation of foreign ownership rules in key sectors (such as gold mines), opening up of home markets to imports, floating the exchange rate and so on. The shock therapy approach to the ‘transition’ to a market economy has had negative consequences on the Kyrgyzstani agricultural sector and land invasions.' (sumber; http://www.opendemocracy.net)

Jelas sekali, kesan kepada pelaksanaan 'penstabilan ekonomi' ala IMF ini sangat buruk dan busuk. Ia jelas perlu dijauhi dan perlu dihindari, jangan sampai tragedi yang berlaku di negara luar itu berlaku di negara kita, Malaysia. Sesungguhnya kita maklum bahawa menghindari lebih baik daripada mengubati. Dalam kapasiti kesedaran tersebut, perlulah kita menyelidiki, meneliti dan memberi respon kepada apa sahaja tranformasi ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan Najib, selari dengan konsep demokrasi kini; Government of the people, by the people, for the people, shall not perish from the Earth (Abraham Lincoln).

Najib telah melakukan banyak perubahan ekonomi. Pada awal pemerintahan beliau, liberlisasi ekonomi telah pun dilakukan; menghapuskan garis panduan FIC, menaikkan had pegangan asing dalam syarikat broker saham dan segmen runcit pengurusan dana saham amanah kepada 70%, pemilikan asing dalam segmen runcit industri pengurusan dana pula dibuka bagi pegangan sehingga 100 peratus dan meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan. Kerajaan Najib juga nampak komited ingin melaksanakan sistem cukai GST walaupun mendapat bantahan daripada beberapa pihak. Pelbagai cadangan tranformasi ekonomi juga diutarakan, antaranya termasuklah cadangan pengurangan atau pemansuhkan subsidi tol, bahan api dan tenaga serta gula, tepung dan minyak masak, serta cadangan pelaksanaan Model Ekonomi Baru bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru yang dipelopori oleh bapa Najib sendiri, Razak.

Kesemua yang disebut di atas perlulah diperhatikan dengan teliti dan telus oleh rakyat agar kerajaan tidak tersalah pilih jalan untuk memajukan dan memakmurkan negara yang kita cintai ini. Banyak sekali contoh yang boleh kita lihat dan pelajari dari negara dan masyarakat luar, perkara yang ternyata buruk dan busuk perlulah dijauhi segera. Adakah mustahil Malaysia akan bersua hari berdarah seperti negara-negara yang saya sebutkan di atas? Sudah tentu tidak.

TITIK2

Walaupun mungkin itu mata pencarian mereka, katakan tidak pada 'vuvuzela'. Benda itu bikin telinga gua panas!!

Tuesday, June 1, 2010

Keseimbangan; jalan keluar

Sejak kebelakangan ini, melihat kepada politik di Malaysia, ia makin mengarah kepada memperkecil kemampuan dan kebijakan rakyat. Bahasa mudahnya, semakin lama semakin lagaknya seperti memperbodoh rakyat. Kebejatan berleluasa dipertonton secara terangan, tanpa ada segan silu malu. Maruah rakyat seolah dipijak dihinjak, institusi yang diharapkan, dijahanamkan sewenang-wenangnya, duit rakyat diguna dan dibohongi, hilang ketulusan dalam pentadbiran dan pelbagai lagi kerja jahat dilakukan.

Saya kira, semua pengkhianatan dan penganiyaan ini menjadi sebab kukuh kepada masyarakat untuk mencari jalan meloloskan diri dari terus tersepit dalam kebobrokan ini. Usaha itu pelbagai, ada yang menunggu selang lima tahun untuk membuang undi, berhasrat ingin ubah kerajaan. Ada yang keras dan bersemangat, berdemonstrasi menunjuk perasaan, tanda benci dan perlukan perubahan kadar segera. Semua usaha itu harus dipuji kerana mereka membuktikan bahawa segala kezaliman harus dibanteras dan dihapuskan.

Dalam usaha tersebut, walaubagaimanapun masih memerlukan kesederhanaan dan keseimbangan dalam segala hal, lebih-lebih lagi prinsip dan cita-cita perjuangan. Ia tidak boleh terlampau kurang dan tidak boleh pula terlampau berlebih-lebihan, tidak terlampau pengecut, tidak terlampau berani. Hal ini penting agar tidak ada yang tertipu menganut agama baru ciptaan manusia yang berbunyi moden dengan isme-isme yang pelbagai atas kesan kurang pembacaan atau obsesi. Pengakhiran yang paling digeruni adalah apabila segala usaha menjadi-jadi sia-sia dan masih terperangkap dalam belenggu yang sama tanpa apa-apa hasil selepas sekian lama.

Kesederhanaan dan keseimbangan merupakan elemen penting dalam pencarian jalan keluar kepada kezaliman ini. Elemen ini boleh diterjemahkan dengan sifat keterbukaan dan saling menerima pendapat lain sebelum membuat kesimpulan dan pegangan akhir. Keseimbangan mampu dicapai dengan melakukan banyak pembacaan dan perbincangan, yang mana bakal mewujudkan silang idea antara maklumat-maklumat yang diterima. Penolakan keras terhadap sesuatu pendapat sebelum penelitian yang sempurna dilakukan hanya akan merugikan. Tambah rugi dan rosak jika penolakan itu dibuat hanya atas dasar persepsi dan pandangan majoriti.

Agama yang saya anuti mengajarkan, malah menyatakan sifatnya yang terbuka dan anjal dalam segala hal kebijakan, selagi ia tidak menghampiri seterusnya melanggar sempadan yang telah disiapkan. Juga agama saya mengajarkan, walaupun sesuatu pendapat itu bersifat minoriti tetapi dalam masa yang sama mempunyai hujah yang kukuh, ia masih boleh diterima pakai malah kadangnya wajib diterima. Hal ini boleh disemak dengan mempelajari bagaimana cara cendiakawan Islam menentukan hukum yang tidak terkandung dalam al-Quran dan Sunnah. Juga ia boleh disemak melalui pensejarahan Islam iaitu ketika zaman Nabi Muhammad dan kegemilangan kerajaan Islam dalam melesaikan permasalahan harian.

Dalam buku tulisan Haji Abdul Hadi Awang bertajuk Islam & Demokrasi ada menyebut tentang keterbukaan Islam dalam banyak hal, termasuklah kebijakan politik atau kebijakan mengurus masyarakat pada zaman kegemilangan Islam. Beliau menulis;

Apabila Nabi Muhammad menulis surat kepada Raja Habasyah, Raja Mesir dan Raja Rom (Bizantin) yang menganut agama Kristian, beliau bersifat terbuka..... Menyentuh mengenai ciri kebijaksanaan, Nabi Muhammad berkata, 'Kebijaksanaan itu barang tercicir kepunyaan orang yang beriman, maka di mana sahaja dia menemuinya, dialah yang berhak mengambilnya.'”Selain itu, beliau juga ada membicarakan tentang tindakan Khalifah Uthman bin al-Khattab meniru beberapa perkara dalam pentadbiran kerajaan Rom dan Farsi yang mana dilihatnya sesuai dan baik.

Ia jelas menunjukkan sifat keterbukaan dan keanjalan Islam dalam menerima apa jua kebijakan, tidak kira ia berasal dari dalam dunia Islam mahupun dari luar. Dalam konteks hari ini, apa jua jenis kebijakan, tidak kira ia dibuahkan dari minda masyarakat Shiaah mahupun Sunni, harus diselidik sebaik mungkin sebelum diambil dan diaplikasi. Selain itu, pendapat luar seperti pendapat dari dunia demokrasi mahupun komunis harus juga diambil perhatian. Hal ini perlu dilakukan tanpa ada persepsi buruk terhadap satu-satu kumpulan atau masyarakat yang mana bakal mendorong penafian keras dibuat sebelum ada penyelidikan telus dibuat.

Dalam masyarakat Islam Melayu di Malaysia kini, tidak saya katakan semua, tetapi majoritinya akan menolak keras apa jua idea mahupun pendapat daripada dunia komunis, dan percaya hanya dunia demokrasi sahaja jalan yang terbaik. Malah pandangan daripada masyarakat Shiaah turut dilayan sebegitu rupa. Jika hal ini terus-menerus menjadi adat dalam masyarakat Melayu, ia hanya akan memundurkan dan merugikan.

Saya cuba aplikasikan keseimbangan dan kesederhanaan ini dalam diri saya sendiri. Oleh yang demikian, saya cuba melebarkan pembacaan kepada kedua-dua dunia, demokrasi dan komunis. Dalam usaha tersebut, saya dapati kedua-duanya ada kelemahan dan kekuatan masing-masing. Dan ada yang saya rasa perlu dimuatkan dalam entri kali ini.

Dalam buku jenis autobiografi Fidel Castro, hasil wawancara cendiakawan Perancis, Ignacio Ramonet, menceritakan pelbagai perkara termasuklah tentang kehidupan, perjuangan, fahaman dan pemikiran Fidel Castro khususnya dan masyarakat Cuba amnya. Beliau yang mendambakan Karl Marx jelas berfahaman Komunisme membina negara Cuba dalam aliran dan ideologi sosialisme, malah menyatakan dalam perlembagaan mereka bahawa Cuba ialah sebuah negara Sosialis, hanya dengan suatu rampasan kuasa sahaja status itu boleh ditanggalkan dari bumi Cuba. Hal ini menunjukkan betapa kukuh dan yakinnya pegangan beliau dan rakyat terhadap komunisme dan sosialisme.

Masyarakat Melayu Islam di Malaysia tentunya membenci ini, katanya komunis tidak percaya tuhan dan sesat. Saya juga bersetuju dengan itu, kerana itulah dia komunisme dan sosialisme. Tetapi waspada, jangan disebabkan itu, kita tidak melihat idea-idea bernas mereka. Di Cuba, mereka berjaya memberikan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan (daripada pra-sekolah hingga universiti) secara percuma kepada seluruh rakyat mereka dalam suasana sekatan ekonomi semakin kuat dilakukan oleh Amerika Syarikat. Bukankah ini suatu kebijakan? Mampukah Malaysia, yang mana rakyatnya juga pemimpinnya majoriti Islam yang percayakan tuhan lakukan ini?

Dalam wawancara tersebut, sempat Fidel Castro menyebut tentang judi di negaranya. Beliau berkata; “Only a tiny percentage of the population use drugs, and we are resolutely fighting against that problem. Lotteries and other forms of gambling were prohibited after the first year of Revolution so that no one would stake his or her hopes of personal progress on chance.

Beliau tidak percaya tuhan, dan beliau tidak beragama. Rakyatnya juga. Tetapi mereka boleh bersepakat menolak judi. Bukankah ini suatu kebijakan yang tidak ada pada masyarakat Malaysia?

TITIK2

Mengutuk tindakan keras Yahudi Zionis, membunuh aktivis menyekat bantuan. Tidak sabar lagi menunggu perang besar-besaran di sana, kerana mungkin itu sahaja jalan keluar buat rakyat Palestin. Demonstrasi dan mesyuarat tidak berkesan lagi.