Saturday, December 20, 2008

mengapa 'orang kampong' dipilih

Antara buku yang menjadi kegemaran ku pada tahap yang paling ialah buku Memoir Pak Sako, Putera Gunung Tahan yang ku beli di Pesta Buku Antarabangsa, di PWTC (tidak syak lagi, buku ini bertaraf antarabangsa). Malang bagiku jika aku tidak mampu mengkhatamkannya. Selepas habis selesai buku ini ku kunyah isinya (bak kata Pak Samad), aku mula berangan untuk menjadi orang kampong yang sejati, cuba membuktikan orang kampong lebih terbuka mindanya, tidak jumud, seperti labelan kebanyakan orang bandar di luar sana terhadap orang kampongan seperti saya mungkin. Cukuplah sekadar saya meletakkan kata pendahuluan pada buku ini sebagai bukti bagaimana sifat Pak Sako yang ku kagumi.

“Dalam memoirnya ini dia banyak menceritakan hal kampungnya, tentang kaum keluarganya, tentang kehidupan orang-orang kampung yang dikenalinya dan kerjayanya sebagai seorang pegawai pentadbir di bawah Inggeris....memang Sako sebenarnya tebal dengan nilai-nilai tradisi, masih kuat berpijak kepada nilai-nilai kampung walaupun dia begitu lama berkeliling di bandar dan di kota seluruh Tanah Melayu. Tetapi jiwanya masih terikat di kampung. Hatinya masih bertaut kepada kampung halamannya. Nilai-nilai ini semakin jelas manakala Sako menjangkau umur yang lanjut. Falsafah hidupnya jelas daripada tulisan-tulisannya di Utusan Melayu dan Utusan Zaman serta di Utusan Malaysia. Tulisan-tulisannya ‘Di Simpang-Simpang Jalan’ dengan memakai nama pena ‘Pak Pandir Moden’ dan ruangan ‘Ini, Itu dan lain-lain’ dengan memakai nama penanya ‘Hantu Raya’ membayangkan Sako sebenarnya adalah seorang tradisionalis.....orang-orang melayu sekarang tidak makan pucuk ubi, tidak makan ikan-ikan sungai, anak-anak muda sekarang tidak pernah melihat kijang dan pelanduk melainkan di kebun binatang, Sako selalu merungut.”

Kata pendahuluan oleh Tan Sri A. Samad Ismail, Memoir Pak Sako Putera Gunung Tahan

Dalam buku ini juga terdapat banyak lagi bukti yang menunjukkan kita boleh membangun dengan cara bangsa kita sendiri, dengan cara ‘orang kampongan’(pulang kepada akar bangsa), bukan terikut-ikut rentak Barat yang belum tentu baik buruk mereka.

‘Bangsa membaca, bangsa membangun’

No comments: