Friday, December 19, 2008

minggu demokrasi

Minggu ini minggu yang sibuk, aku baru selesai menghabiskan tugasan yang diberikan oleh angah-ku. Bukan tugasan mudah tentunya, tetapi ia sangat seronok dan berguna buat aku yang kurang ilmu serta rendah tahap pembacaan ini. Walaupun aku berasa sangat mual untuk menghabiskan buku-buku politik yang sangat tebal dan banyak, ia tetap menyeronokkan. Tugasan yang meminta-ku membuat perbandingan sistem demokrasi di Malaysia dan Amerika Syarikat serta kebaikan dan keburukannya sangat menduga, aku perlu menghabiskan masa yang cukup panjang di perpustakaan dan di hadapan komputer ini untuk mendapatkan hasil yang lengkap dan separa padu. Waima, aku tetap berpuas hati kerana aku mula tahu dan mengerti pelbagai perkara tentang sistem pentadbiran sesebuah negara termasuklah proses pilihan raya serta cara pengiraan undi di Amerika Syarikat yang mungkin sebelum ini aku terlepas pandang.

Kesimpulan ringkas yang boleh diambil daripada kelelahan ini, sistem demokrasi di negara kita ini boleh dipertingkatkan serta dibaik pulih dalam memperoleh sistem demokrasi yang mantap dan telus tanpa ada sebarang penipuan dan manipulasi dari sesetengah pihak. Cara pengiraan undi di negara kita ini juga agak ketinggalan zaman dan pada hemat saya, tidak benar-benar mengambil kira suara ramai walaupun ia bersifat majoriti. Selain itu, aku juga agak kesal apabila melihat koleksi-koleksi buku di perpustakaan dalam bahagian politik yang penuh dengan buku Bahasa Inggeris sahaja.

Aku tidaklah tergugat dan lemah semangat dalam membaca buku bahasa barat itu tetapi persoalan mula timbul, di mana penterjemah-penterjemah bahasa kita, adakah subjek kepolitikan, Matematik dan Sains serta Teknologi hanya untuk orang yang mengerti bahasa Inggeris? Bagaimana pula dengan orang kampong yang mungkin tidak fasih serta kurang koleksi pembendaharaan kata bahasa Inggeris mereka? Mana yang lebih penting untuk dikuasai terlebih dahulu,bahasa atau isi, sedangkan kita sudah memiliki bahasa kita sendiri? Adakah kita ini kaum paleolitik awal yang tidak mempunyai bahasa dan menggunakan bahasa isyarat sahaja? Adakah Bahasa Melayu darjatnya hanya bahasa khayalan semata yang layaknya untuk angan-angan kosong Mat Jenin?

Hal ini semua walaubagaimanapun tidak melemahkan semangat-ku dalam meningkatkan darjat Bahasa Melayu kerana mana aku tahu dan mengerti, untuk mendapatkan negara yang maju dan membangun, kita perlulah melakukannya dengan cara kita, bukan dengan cara bangsa lain. Aku tidaklah anti Bahasa Inggeris, tetapi aku masih berpegang bahawa aku belum cukup menguasai Bahasa Ibunda-ku ini dan aku sama sekali tidak menginginkan apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Kini, aku hanya perlukan kebijakan stretegi yang mampan dan sokongan yang padu.

1 comment:

NaJib the Avenger™ said...

dah macam esei dah...
semua ade...
peribahase ade...
rajin giler buat tugasan ni...
saye nak jadi macam abang lah...
haha...