Wednesday, December 24, 2008

pelik

Aku terjaga dari tidur. Terjaga dan terfikir terus. Tidakkah kita berasa pelik, bagaimana salah seorang daripada 10 orang militan berani mati yang menyerang Mumbai boleh terlepas dari kematiannya lalu tertangkap begitu sahaja? Tahap kepelikan bertambah-tambah apabila bagaimana dia begitu berani berjalan di stesen keretapi dengan lagak bersahaja bersama raifal di tangan, seolah-olah menyerah diri, dan sanggup menghadapi apa sahaja yang akan diperlaku selepas penangkapannya? Pelik. Dia seolah-olah lebih rela dibelasah seksa daripada mati sebagai seorang ‘pejuang’.

Aku cuba mengaitkan ini semua dengan berita semalam, lelaki-sanggup-kena-seksa itu mengaku bahawa dia berkerakyatan Pakistan dan memberitahu bahawa 9 yang lain turut berasal dari negara yang sama. Kemudian, program berita yang sama turut memaklumkan bahawa tentera udara Pakistan sudah memulakan sesi latihan sebagai persediaan bagi sebarang kemungkinan serangan luar. Perang besar mungkin berlaku.

Pelik. Tidakkah ini pelik? Ia seolah-olah sebuah konspirasi terancang oleh pihak ketiga dalam melaga-lagakan kedua-dua negara seteru ini. Pelik dan pelik lagi, bagaimana pihak ketiga ini boleh membuat suatu konspirasi (jika ia memang konspirasi) sejelas dan terang-terangan seperti ini? Bukankah pihak ketiga ini lebih cekap dan berpengalaman sebagai ‘batu api’ dunia? Bukankah perang Iraq-Quwait suatu masa dahulu juga disebabkan ‘batu api’ ini? Bukankah perang di Afghanistan juga puncanya daripada serangan pengganas 9/11 yang masih boleh diragui siapa angkaranya?

Aku cuba mendalamkan lagi fikir akal-ku, cuba melogikkan soalan yang aku bina ini. Semakin dalam, semakin jauh, aku tersedar suatu hal. Serangan di bandar Bollywood ini hanya berlaku beberapa bulan selepas George W. Bush (baca; celaka) menandatangi perjanjian nuklear A.S-India, yang membenarkan pembangunan industri nuklear mereka kepada 50 hingga 120 atau lebih bom nuklear. Hal ini menunjukkan keberjayaan India dalam melobi Amerika Syarikat sekali gus menjadi negara yang harus digeruni lebih-lebih lagi negara Republik Islam Pakistan.

Tidakkah ini semua bersangkut-paut? Tidakkah ini pelik?

Dan drama selama tiga hari di Mumbai mengingatkan kita. Tanpa ada rasa bersalah, mereka dibunuh begitu sahaja, lagaknya seperti manusia haiwani yang tidak ada perasaan kasih dan belas. Aku hanya diri-ku, mengutuk keras serangan ini. Kerana agama-ku tidak pernah mengajar adab berperang seperti mereka, manusia haiwani.

Biasa-lah, bahasa perli itu kekal.
Agar kekalnya indah, jika cantik,
Kekalnya perit, jika sakit.

No comments: