Saturday, March 14, 2009

untuk sang-tahu-cakap-sahaja (respon buat kucing anjing)

kenapa kalau sains dan metamatik diajar dalam bahasa inggeris kita anggap bahasa melayu akan hilang dan pupus...kenapa?
siapa yang menganggap jikalau sains dan metamatik diajar dalam bahasa inggeris, bahasa melayu akan hilang dan pupus? orang yang 'menyalak' tak anggap macam tu. orang yang hanya pandai cakap dan tulis dalam blog @ pengecut sahaja yang anggap begitu.

berapa banyak sangat buku-buku ilmiah diterjemah ke dalam bahasa kita?
sebab orang melayu bangga sangat dengan bahasa orang putih yang dianggap 'bahasa global', 'bahasa kemajuan'. siapa hendak maju, siapa hendak dapat kerja, perlu kuasai bahasa inggeris, bodoh alang, sungguh bodoh dan cetek ilmu! mana kau letak ilmu akidah kau? kalau pandai 'goreng' bahasa inggeris, isi macam budak tadika, sampah sahaja layaknya. ini orang yang 'menyalak' dah lama tahu, orang yang pandai cakap saja tak mahu ubah kah? owh terlupa, dia hanya pandai cakap sahaja, tak pandai buat.

sudahlah bangsa melayu malas membaca.
sudah kau baca buku 'mengapa kami bantah PPSMI?' yang jumlah muka suratnya lebih 200 muka dan penyusunnya ialah Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan? profesor emeritus. owh kau hanya lulusan Sijil Pelajaran Malaysia, yang tidak penuh bilangan A1 nya. owh terlupa kau juga melayu, kau juga malas membaca. dan owh kau juga hanya pandai berkata-kata, tak pandai mencari. jikalau tidak bersetuju tidak mengapa, tetapi jangan tunjukkan kebodohan dan kebiadapan kau.

Kalau betul kita hendak memartabatkan bahasa melayu terjemahlah setiap buku ilmiah.
itu cara kau memartabatkan bahasa? ahh culas pemalas. sungguh.

suatu masa dahulu karya Faisal Tehrani dianggap karya picisan.
siapa yang menganggap karya beliau picisan? bacalah buku 'karya nan indah' hasil tulisan beliau sendiri, karya beliau bukan dianggap picisan, tetapi dianggap terlampau berat, terlampau padat dengan isi, sehingga nilai kerehatan pembaca diketepikan. itulah puncanya karya beliau sukar untuk diketangahkan oleh penerbit-penerbit buku. kau sungguh suka menuduh rupanya.

Bagaimana eropah bangkit pada zaman reinasennce?
memang benar mereka belajar bahasa arab, tetapi mereka tidak paksa anak muda mereka belajar matematik dan sains dalam bahasa arab. ketika itu, mereka tidak gunakan bahasa arab dalam kelas, mereka tidak gunakan kemahiran bertutur bahasa arab ketika mencari kerja, mereka tidak menggunakan bahasa arab sebagai penentu. mereka hanya menterjemahkan bahasa itu, dan diajarkan kepada anak muda mereka dalam bahasa inggeris. tetap dengan bahasa ibunda mereka!

janganlah kerana kita tidak mampu menguasai bahasa inggeris kita berselindung di sebalik alasan memartabatkan bahasa melayu.
siapa 'kita' yang kau cakapkan itu? siapa? orang yang kau katakan 'menyalak' itu tidak langsung anti bahasa inggeris. memang aku belum mampu menguasai bahasa inggeris, tetapi aku sedang giat ke arah itu. kau tahu apa permintaan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP)? sudahkah kau membaca memorandum yang dihantar ke istana? tahukah engkau apa permintaan kami selain pemansuhan PPSMI?tahukah engkau? jikalau engkau tidak tahu, layaklah aku gelar engkau, 'sang-tahu-cakap-sahaja'.

Hasilnya adalah yang lemah dibuang dan yang kuat bertambah.
alangkah zalimnya engkau! lemah yang hendak kau buang itu adalah kaum sebangsa kau, seagama dengan kau! teori revolusi mana yang kau ambil? jangan kau kata teori Charles Robert Darwin (1809-1882), 'natural selection; or the survival of the fittest' itu yang kau ambil. kau ingat mereka ini binatang? siapa kau untuk membuang yang lemah? siapa kau? siapa kau? ambilah contoh-contoh revolusi islam, baca dan selidikilah puas-puas. mereka langsung tidak membuang yang lemah. dalam Islam wahai sang-tahu-cakap-sahaja, yang lemah itu perlu kita jaga, perlu kita lindungi mereka. yang batil itu perlu kita buang, bukan yang lemah. owh kau hanya pandai berkata-kata. sungguh!ahh jikalau begini lagaknya, semua orang takut jika engkau mahu berevolusi.

suatu masa dahulu pelajar luar bandar inilah yang memenuhi universiti tanah air kita.
jikalau menulis,boleh letak tahun yang tepat? merujuk perkara di atas, 'suatu masa dahulu' pelajar luar bandar ini belajar matematik dan sains dalam bahasa apa?

kita masih melayu yang sama...melayu yang layu..
engkau berselesa di kolej, orang melayu hampir 70 000 turun ke jalan raya, mengadu kasih, di sembur gas kimia dan air, bertahan, muka terbakar lagaknya, lidah tekak perit, mata pedih, sesak nafas, dada rasa ingin pecah, muntah-muntah, hanya ingin bertemu sultan! kau masih berselesa di kolej, berkata-kata kosong wahai sang-tahu-cakap-sahaja. kau tidak menghadapnya! melayu ini yang kau katakan layu? mereka berperang dengan FRU, kau berselesa di kolej. mereka yang berperang ini melayu, mereka ini yang kau kata kan layu?bila jadi begini, kau mungkin akan kata, orang melayu bodoh, cari nahas. owh, kau memang sang-tahu-cakap-sahaja yang tulen.

100 atau 1000 tahun lagi bangsa kita adalah bangsa yang berjaya kerana kita mampu berubah.
berjaya disebabkan akarnya akar bahasa inggeris. tidakkah kau malu?adakah kau telah memijak maruah kau sebagai seorang melayu? kata orang putih, "owh bangsa melayu sudah maju, kalau tidak mereka kuasai bahasa kita, manakan mampu mereka maju". itu yang kau mahu? jenis bangsa itu yang kau mahu? kau mahu anak-anak kau menanggung malu disebabkan kebodohan bapanya?

Bodohlah kita untuk menebang pokok yang baru separuh umur sebelum memberi peluang untuk ia membesar dan berbuah.
siapa lebih bodoh, menebang pokok yang belum tumbuh buah atau menebang pokok yang sudah berbuah dan berhasil? alangkah berkali-kali bodoh kerana dasar sebelum ini sudah pun menghasilkan ramai cerdik pandai, arkitek,doktor,ahli perniagaan, guru, dan jangan lupa, dasar ini juga telah melahirkan 'angkasawan' Negara (walaupun aku anggap ini misi makan-duit-rakyat). kau gemar kata orang bodoh, sedih beribu kali pilu.

Kesimpulannya jangan jadi bodoh dan jangan jadi anjing yang menyalak kerana terdengar anjing lain menyalak. Fikir dahulu baru menyalak.
sesungguhnya, sungguh kasar bahasa-mu, sungguh, aku tidak tipu.ini kah bahasa yang dapat kau lontarkan? inikah contoh manusia islam yang menyokong penuh pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa inggeris? adakah ini kesannya?adakah ini impak kau melupakan bahasa melayu dalam metematik dan sains?sehingga kau tidak dapat lagi mengeluarkan kata-kata yang lebih lembut? sungguh, aku malu! sungguh, tidak ku sangka! ini cara kau menegur.

jikalau memarah,
marah yang lembut,
jikalau menegur,
tegur beralas.

dari Usman Awang.

*bahasa agak kasar tetapi tiada maaf dipinta.
walaupun begitu, tidaklah layak untuk aku tidak menghormati pandangan kau wahai manusia sang-tahu-cakap-sahaja. dan aku akui bahasa kau sesungguhnya kasar, dan tidaklah aku katakan bahasa ku lembut. aku juga telah menghambur kata-kata yang tentunya menyentuh hati manusia normal. aku meminta maaf secara terbuka, walaupun aku kecewa. aku mohon maaf, kerana ini cara orang melayu. aku memohon maaf kerana aku yakin, ini bukan salah kau, tetapi salah tidak lain dan tidak bukan sistem orde dunia baru.

sesungguhnya, bukan bahasa itu yang aku utamakan, tetapi aku utamakan dan perjuangkan manusia. manusia yang bahasa mereka bahasa ibunda-ku. bahasa melayu!

No comments: