Wednesday, July 1, 2009

Kerat Jari

Ini hanya catatan peribadi, yang mengandung pelbagai cita-cita besar. Selepas menyembah Tuhan 4 rakaat semalam, otak dan hati mula mampu bergerak secara normal, dan mula berjalan dengan lebih tersusun dan lestari.

Selepas presiden Obama dilantik, banyak sekali perbincangan dilakukan berhubung strategi dan tindakan yang sesuai untuk diambil bagi memulihkan kejatuhan ekonomi di seluruh dunia atas akibat kejatuhan ekonomi di Amerika Syarikat. Antara pandangan yang masih segar dalam ingatan saya, ialah pandangan Dr. Abu Hasan Hasbullah, yakni seluruh dunia kini, termasuk Amerika Syarikat sendiri perlu beralih arah dari ekonomi berbentuk lingkaran (yang mematuhi teori domino) kepada ekonomi yang lebih berbentuk persisir, yakni domestik atau berkumpulan skala kecil seperti Kesatuan Eropah. Menurut beliau lagi, sudah tiba masanya kita menggunakan segala kekuatan yang kita ada (kekuatan dalaman) untuk membangunkan ekonomi masing-masing, tanpa ada pergantungan tinggi terhadap kuasa asing (luar).

Semalam juga, Perdana Menteri Malaysia ada memaklumkan beberapa perkara;

  1. menghapuskan garis panduan FIC (yakni mewajibkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO)) yang berkaitan pembelian kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan seperti aktiviti meraih dana dan pembelian tanah
  2. memperkenalkan garis panduan penyenaraian baru; syarikat penyenaraian awam tidak lagi tertakluk kepada syarat pegangan ekuiti Bumiputera, sebaliknya hanya perlu menawarkan 50% daripada 25% saham tebaran awam kepada pelabur Bumiputera
  3. menaikkan had pegangan asing dalam syarikat broker saham dan segmen runcit pengurusan dana saham amanah kepada 70% daripada 49% sebelum ini.
  4. pemilikan asing dalam segmen runcit industri pengurusan dana pula dibuka bagi pegangan sehingga 100 peratus.
  5. kerajaan komited untuk memastikan Program Transformasi GLC terus dilaksanakan
  6. akan menubuhkan Ekuinas dengan modal RM500 juta

Pada April lepas juga, Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta (21 April) tanpa sebarang syarat ekuiti 30% tempatan dikenakan. Antara subsektor adalah dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan.

Ini semua dari akhbar Utusan dan Berita Harian, bukan Harakah mahupun Suara Keadilan. Mungkin kerana Ketua Pembangkangnya minat benar dengan idea ini, maka lidah-lidah pembangkang pun mula jadi kelu, telinga-telinga mereka jadi tuli.

Mengapa dia minat benar? Sebab dia kaya, ada syarikat besar, ada bapa kapitalis nun jauh di sana, yang mampu melabur. Tidak macam orang Melayu, duit dalam bank pun jikalau ada, duit simpanan daripada pinjaman! Mana ada syarikat melayu yang benar-benar kukuh, dapat mengawal lebih 50% ekonomi di Malaysia ini. Jika ada, bak kata ibu saya, kerat jari!

Mahukah kita jadi seperti tahun-tahun 1990-an, yang ada sampai satu ketikanya pertumbuhan BSKL bergantung 70% kepada modal asing dan apabila virus penyangak spekulator bersarang, mula kucar-kacir, mula meminjam sana-sini. Akibatnya nanti? Bukan orang-orang atas sana yang menanggungnya, orang-orang di bawah sini yang memikulnya.

Habis, punah maruah orang bangsa Melayu. Mahu benar mengikut dasar neoliberalisme yang dicanangkan oleh Amerika Syarikat, kesannya? Terimalah kenyataan bahawa orang melayu belum bersedia untuk bersaing dengan pemodal-pemodal luar yang jauh lebih hebat. Sedangkan bagsa Cina pun kita tak terlawankan, inikan pula pemodal-pemodal asing! Ini bukan soal rasisme, ini soal kelansungan hidup. Ini bukan soal bangsa Melayu, ini soal bangsa yang memikul tanggungjawab Tuhan!

Lihat sahaja bagaimana penduduk-penduduk Palestin suatu masa dahulu, dinyahkan dengan cara, ekonomi mereka disekat, dipaksa dan ditekan sehingga mereka terpaksa bermigrasi untuk mencari sumber makanan, sampai begitu! Tidak mustahil suatu hari nanti nasib kita juga begitu, jangan terlampau yakin, jangan terlampau enak ditiduri dengan semangat Perpaduan Kaum 1Malaysia!

Tidakkah kita nampak?

No comments: