Friday, July 3, 2009

pulang balik

Ini catatan saya, saya yang kesesatan.

Kita berjalan ke belakang. Kita malah bergerak ke belakang. Menuju ke satu titik kembali, setiap hari, setiap waktu, kita kembali. Malah, kita kembali kearah-Nya semula. Sejarah, benda yang telah berlaku, kita terbalikkan, kita terbalikkan juga walaupun sejarah itu buruk, walaupun sejarah itu memberi kesan hina, kita tetap mengulanginya. Tidak percaya? Ahh bukan masanya untuk berdalih. Kita ke belakang, bukan ke hadapan. Malah, walaupun sedetik, walaupun sekelip. Kita menyusun langkah, menyusun strategi baru, bukan untuk menempuh yang baru, tetapi menempuh yang sama, pengalaman yang sama, kejadian yang pernah berlaku dalam dunia ini, kerana kita patah ke belakang!

Kita berpatah ke belakang. Apa yang pernah kita lalui, orang lain juga pernah. Makan, minum, tidur, mendapat hadiah, putus cinta, membunuh, berevolusi dan semuanya. Ia pernah berlaku, dan tiada yang baru. Cuma mungkin perlakunya berbeza-beza, tetapi! Kejadiannya tetap sama, tetap pernah terjadi, dan tetap! Patah ke belakang. Tidakkah pernah kita terfikir, semua ini pernah dilalui, dan bukan kita seorang sahaja yang pernah merasainya. Masakan! Sudah berjuta-juta juta-juta manusia hidup dalam beribu-ribu tahun semenjak Nabi Adam jatuh ke bumi, tidak pernah sama dengan apa yang pernah kita lalui?

Maka, mari kita ke belakang, ke belakang benar-benar ke belakang, dari teori Big Bang (siapa tahu bunyinya 'bang'? Ahh orang putih ini gemar menambah), suatu letupan besar-besaran, secara tiba-tiba dari satu titik, yang berpusatnya segala-gala, termasuklah waktu dan ruang. Teori ini tentunya tidak dipercayai adik-beradik Darwin, mahupun keluarganya yang mati-mati untuk mempertahankan ideologi humanisme dan materialisme yang mengangkat tinggi 'kebetulan'! Ahh pedulikan mereka, mereka gila. Jadi, akhirnya, kita akan patah semula ke titik tersebut, semula kita kepada sub-sub-sub-sub-subatomik tersebut. Kita akan menguncup semula selepas berkembang sepuas-puasnya. Saintis malah sudah membuktikan, alam semesta mula berkembang dengan lembab (halajunya mula berkurang).

Kita cuma berjalan kehadapan, menuju ke belakang. Kita ke belakang, kembali semula pada sejarah asal kita, sejarah asalnya manusia. Selepas kejadian kesilapan Nabi Adam A.S, kehidupan manusia bermulalah, beranak-pinak di muka bumi, penuh cabaran, mencari jalan pulang, bagaimana menuju pada tempat sebelumnya moyang kita berada. Seperti biasa, ada yang menang, dan ada juga yang berangan-angan menang. Masuk ke syurga, dan masuk ke neraka dan di antaranya. Yang berjaya masuk ke syurga, melakukan apa yang dilakukan oleh Nabi Adam dan nabi-nabi selepasnya, manakala yang berjaya masuk ke neraka pula, melakukan apa yang dilakukan Iblis, Syaitan dan Iblis-Iblis selepasnya. Nampak bukan, apa yang dilakukan setiap ketika, sudah dilakukan sebelum itu, cuma perlakunya berbeza.

Kenyataannya adalah, ‘letupan’ itu sama juga dengan 'kesilapan Nabi Adam'. Cuma perlakunya berbeza. Selepas berlakunya letupan, maka bermulalah era ruang dan waktu. Selepas Nabi Adam termakan pujukan Hawa’,maka bermulah era kehidupan manusia di bumi. Dan ruang itu mula mengecil, dan waktu itu mula mencepat, dan maka itu datanglah ia Hari Agama, Hari Penentuan. Dan manusia itu mula berjalan, ke belakang, menuju jalan pulang, mengikut kelakuan masing-masing, menuju kearah-Nya, dan datanglah ia keputusan, Syurga mahupun Neraka mahupun di antaranya.

Saya percaya, Tuhan tahu saya menulis ini, Tuhan tahu apa isi kandungannya, Tuhan tahu sebelum segala ini keluar menyuruh jari-jari bergerak, Tuhan tahu segalanya, Tuhan tahu segalanya. Tuhan tahu! Tuhan tahu! Saya! Percayalah Tuhan tahu segalanya! Segalanya! Setiap saat, dan setiapnya,Tuhan tahu. Dan apa yang benar itu, Tuhan yang tahu, Tuhan yang tahu kebenaran itu. Tuhan ada beri sedikit, untuk manusia itu tahu, dengan menurunkan kalam-Nya, supaya manusia kembali kepadanya, berpatah semula.

Tunjukanlah daku jalan pulang, lurus menuju-Mu. Benarkanlah daku pulang ke tempat asal moyangku bersama-Mu, dengan selamat.

No comments: