Friday, July 17, 2009

Dia Islam [a(i)]

Dalam mabuk, dia tutup pintu rumahnya, ingin tidur terus, tidak muntah, tidak meracau, tidak bersama, dia cuma tidak sedarkan diri. Dia nampak samar-samar, tilam di lantai rumahnya, jauh. Dia berjalan, cuba, cuba pergi, ke tilamnya, untuk merebahkan badan. Dia jatuh, lalu, tidak sedar akan diri, terus tertidur. Dia tidur, hampir benar dengan pintu rumah.

Dia kalah berjudi, mungkin dia silap meneka, nombor itu. Sambil merokok, dia cuba-cuba meneka, nombor mana yang mungkin buat dia kaya. Dia kalah, selepas keputusan diumumkan, ternyata dia tiada bakat, juga nasib. Dia pulang dengan wang hampir kosong, dan, di celah jari-jarinya, ada rokok. Dia merokok.

Sedut sedalam mungkin, cuba menikmati asap ditekak, sedut dan nikmati benar-benar asap dari batang rokok Dunhill, dari kotak 20 berwarna hijau itu. Tekaknya segar, rasa pedih juga kadangnya, kalau dia sedut terlampau banyak. Habis, terbakar semua, dia sedut lagi sampai bibir rasa panas, dia buang. Habis. Dia kalah judi.

Dia ditipu kawanan, mereka kata, judi tidak buat orang ketagih. Mereka tipu, dia pun mula berjudi, menang, dia suka. Dia ingin menang lagi, dia berjudi lagi. Dia kalah, dia ingin menang, dia berjudi lagi. Tetapi kali ini, dia benar-benar, kalah dan kalah dan kalah. Dia tertekan, dia ingin mabuk, tidak mahu ingat lagi dan tidak mahu mengaku, dia kalah. Kalah.

Dia buka mata, nampak pintu rumah. Dia tertidur rupanya, dia bangun, apa yang terjadi semalam? Ahh, dia tidak mahu ingat, dibiarkan. Masuk tandas, buka paip air, takung air. Dia lihat telefon bimbit, tiada mesej atau panggilan tidak berjawab. Dia berpaling, mula rasa diri tidak sudah-sudah berharap, pada benda yang tiada. Dia kecewa dengan diri.

Dia perlu bergegas, pergi kerja. Sudah jam 0805, dia terlambat lagi nanti, dia perlu cepat. Dia buka telefon bimbit hitamnya, hari ini hari Selasa, 11 September 2001. Dia perlu cepat, mandi, basuh mulut busuknya, basuh cuci. Siap. Dia buka pintu rumahnya, ingin bertugas lagi, di WTC, seberang jambatan.

Jalan, jalan laju-laju, cuba tidak terlepas kereta api kelabu. Tidak, dia tidak tertinggal, lihat orang ramai, seperti hari sebelumnya. Dia teringat kehidupan di kampungnya, dahulu. Ibu bapanya bangga benar, anaknya berjaya, dapat kerja terjamin. Dialah anak yang terbaik, dialah anak kebanggaan, dapat kerja terjamin. Lagi pula, dia seorang sahaja dari kampungnya, berkerja di Amerika!

Dia tiba, tepat, jam 0846, lihat jam di telefon bimbitnya. Tiba-tiba, dia rasa, panas benar, dan telinganya, pekak benar. Bunyi itu, cukup kuat, pada dia. Orang ramai, tidak sepeti biasa, mula lari lintang pukang, tetapi ada juga yang seperti dia, ternganga, terpinga-pinga. Ya Tuhan, kau masih selamatkan dia. Dia lihat atas, dia pasti, ada letupan!

Ya Tuhan, kau masih selamatkan dia.

No comments: