Monday, September 21, 2009

Dia Islam [a(iii)]

Dia bersama adik, adik isterinya, masih isterinya dan juga masih adiknya. Dia dan adik, dalam kereta menuju kampung kelahiran, di selatan Semenanjung Malaysia, yang telah ditinggalkan hampir sebelas tahun. Tahun itu tahun 2001, umurnya sudah mencecah 38, dia berkahwin pada umur 30, tiada anak, dia cuma ada isteri, yang menghilang. Dia bersama adik, adik isterinya, di dalam kereta, pulang. Mereka diam, sunyi di dalam kereta, radio terpasang.

Radio, radio, radio terpasang, dan penyampai radio membacakan berita, sibuk tentang tragedi yang dia sendiri alami, tragedi 11 September. Penyampai radio itu memaklumkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat sedang menghadapi serangan terburuk, sejak 7 December 1941 - serangan tentera Kamikaze ke atas Pearl Habor. Keningnya berkerut lagi, kerajaan Amerika Syarikat tidak menolak, serangan itu ialah serangan pengganas. Adik senyap sahaja, terus memandu, hati-hati.

Dia lihat luar, banyak perkara dalam minda. Dia fikir perangai buruknya, dia Islam dan dia perokok, kaki judi dan pemabuk. Dia fikir tentang isterinya, yang entah ke mana hilang, hanya tinggal adik, adik isterinya. Dia juga fikir tentang tragedi 11 September itu, yang benar-benar berlaku depan matanya. Sungguh dahsyat, ia benar-benar terjadi depan mata. Minda, pada ketika itu tertarik pada tragedi.

Itu letupan, bukan kapal terbang, orang ramai mula lari lintang pukang, tetapi tidak dia. Dia terpinga-pinga, dengan menahan panas letupan, dia mendongak ke atas. Sungguh panas, dia ingat, sungguh. Dia bergerak perlahan-lahan apabila pegawai keselamatan, bukan polis, tetapi pegawai keselamatan mula menariknya ke suatu tempat yang lebih selamat. Dia bergerak perlahan-lahan, sambil melihat bangunan berkembar WTC, bangunan utaranya terbakar, api marak. Dia tidak dapat meneka tingkat mana, kerana dia benar-benar berada di bawah bangunan tersebut.

Api marak, cukup marak kerana letupan, bukan kapal terbang yang rempuh. Malah, ketika itu, dia langsung tidak terfikir tentang mitos kapal terbang, kerana apa yang dia tahu, bunyi berdengung dan letupan sejurus selepas itu. Dia tidak langsung dengar bunyi enjin kapal terbang terbang rendah, dia berada benar-benar di bawah bangunan, dia tidak dengar. Dalam fikirannya hanya satu, ketika dia lihat api marak itu - ya Tuhan, kau masih selamatkan aku. Dia kaget.

Dia pandang luar, dan mula terfikir tentang perangai buruknya, dan juga sedar bahawa Tuhan masih selamatkan hambanya. Dia mabuk malam itu, dia minum banyak, kerana kalah berjudi, sambil berjudi dia hisap rokok Dunhill pula. Dia minum bukan malam itu sahaja, dari dulu lagi, kalau dia tertekan sahaja, mula dia ingin hilang dari dunia, dia tidak mahu mengakunya.

Dia ego, dia tidak mahu mengaku kalah, bahawa dia gagal. Dia mula mabuk-mabuk ini sejak isterinya, perempuan itu menghilang. Mabuk, kerana kalah, dia gagal menjaga hati isteri tercinta. Mula belajar minum, Belle-Vue, rasa masam-masam, tetapi tidak pula dia mabuk. Rakan kerjanya yang mengajar dia minum, katanya, itu paling ringan untuk ‘orang baik’ macam dia. Sedap, tidaklah begitu enak, dia hanya ingin bersedih gaya orang barat, itu sahaja. Paling sebenarnya, ketika isterinya menghilang, dia minum, hanya sebagai tanda protes, pada Tuhan.

Dia mula menggeleng. Adik lihat sahaja, jalan raya di hadapan, khali, tidak bercakap walau sepatah. Dia menggeleng, dia sedar Tuhan masih mencurahkan nikmat kepadanya, selamatkan orang seperti dia, pemabuk, kaki judi, perokok, juga kaki protes. Dan dia perlu pulang, guna nikmat peluang itu, untuk pulang kepada Tuhan.

Kereta baru adik, meluncur laju, pulang ke kampung halaman. Mungkin mereka sedang menunggu.

No comments: