Saturday, September 19, 2009

Saya; Binatang

Saya ingin beremosi kali ini, saya tidak hirau, saya ingin juga. Walaupun mungkin tidak susah untuk orang lain, tetapi bagi saya, ini susah, ini menyusahkan. Saya ada baca, dengar dan lihat, dengan wujudnya kebergantungan penuh manusia pada duit dalam zaman ini, para penyimpan modal adalah mereka yang menguasai dunia, mereka yang beruntung. Jadi, dalam proses pencarian jawapan serta gerakan dalam menentang kebergantungan ini, saya diuji sekian banyak dugaan yang benar-benar berkaitan dengan duit.

Saya juga ada membaca sangat sedikit tentang meta-ekonomi, yang pada saya hanya karut yang membuatkan jiwa saya panas, tekak saya mual. Segalanya, di dunia ini duit, cumanya mereka yang mempelopori teori meta-ekonomi ini cuba meningkatkan keuntungan disamping meningkatkan juga kebajikan. Antara cara dan teknik bagi mencapai matlamat ini adalah dengan mereka cuba mengisi kekosongan yang terjadi antara mikro dan makro ekonomi yang wujud ketika ini.

Saya bukanlah pelajar ekonomi, jauh lagi dari pakar, jadi saya tidak begitu faham tentang kekosongan yang bagaimana mereka maksudkan. Disebabkan kekurangan kefahaman ini, saya berhajat sungguh untuk mempelajari subjek ekonomi pada tahap yang lebih tinggi, jikalau boleh bermula dengan ijazah pertama saya hingga ke tahap paling tinggi. Tetapi, sebentar, saya, jangan berangan! Itu semua hanya angan-angan jika saya tidak ada ‘kertas-kertas magis’ itu. Lupakan sahaja!

Adakah saya seorang sahaja yang sedar, atau saya yang tersilap perkiraan? Saya rasa pelik sungguh, mengapa manusia masih mampu berdiam diri dengan golongan kapitalis yang menjual ‘keperluan’ manusia untuk hidup. Antara keperluan yang saya maksudkan ialah pendidikan. Ini soal ‘keperluan’(necessity) manusia, bukan ‘kehendak’(needs) manusia! Keperluan ini jika tidak ada, manusia akan mati. Jadi siapa yang tidak mahu membeli ‘keperluan’? Para kapitalis tidak perlu mempromosi produk, kerana buat mereka, pelanggan memang sudah tersedia. Manakan tidak, jika manusia tidak membeli, manusia mati!

Sistem ini membuatkan kita binatang secara total. Pada hemat saya, dan saya yakin benar, teori survival manusia memang sesuai diaplikasi kepada hanya binatang, bukan manusia. Jadinya, teori ‘survival of the fittest’ yang memang diguna pakai kini, tidak kira di mana, Arab Saudi, Jerusalem mahupun Vatican City, sama sahaja, membinatangkan kita; manusia.

No comments: