Friday, May 21, 2010

Masjid; bantah negara Islam?

Seperti kebiasaannya, saya pergi ke masjid hari ini untuk menunaikan kewajipan mendengar khutbah dan solat bersama-sama, rapat satu saf seperti satu keluarga. Harmoni. Khutbah hari ini berkisar tentang guru, adab berguru, guru itu perlu dihormati, seharusnya tidak ada ruang untuk murid langsung berdabik dada dihadapan gurunya walaupun sudah memegang jawatan tinggi, Perdana Menteri sekali pun. Khutbah disampaikan bersempena sambutan hari guru 16 Mei tahun ini, yang bertemakan 'Guru Pembina Negara Bangsa'.

Khatib tidak segan-silu membaca khutbah, bukan memberi khutbah yang mana tanggungjawab sebenar beliau. Beliau baca secara buta-tuli, sehinggalah mungkin terbaca tema hari guru tahun ini iaitu 'Guru Pembina Negara Bangsa' secara terbuka di dalam masjid. Walaupun beliau sedar beliau berada di atas mimbar dan semestinya berada di dalam masjid, Rumah Allah, beliau tetap menyebut idea sesat yang jauh terpesong dari ajaran agama itu.

Pendengaran saya terus tertangkap pada tema tersebut, dan minda saya terus bertanya-tanya, mengapa tema itu tidak ditukar menjadi 'Guru Pembina Negara Islam' atau jika ia mustahil dan tidak relevan dan mungkin tema itu hina dan sungguh jijik di mata rakyat Malaysia sekalipun, sekurang-kurangnya buang terus tema tersebut daripada teks khutbah, tanda hormat kita pada Rumah Allah.

Pada mereka yang mengenali saya, tentunya tahu bahawa saya langsung tidak layak untuk memperjuangkan negara Islam, ataupun mengeluarkan apa-apa pendapat tentang negara Islam mahupun agama Islam itu sendiri. Saya terima segala aggapan dan persepsi tersebut secara terbuka dan rela hati, tetapi sebagai seorang yang masih memeluk agama Islam, saya kira entri ini masih perlu.

Negara bangsa ialah suatu idea hina dan jijik, dari idea inilah tumbuhnya semangat nasionalisme yang saling memecah-belahkan kita orang Islam. Dengan semangat nasionalisme dan idea negara bangsa yang lahir ekoran meletusnya Revolusi Inggeris 1988, Perang Kemerdekaan Amerika 1776 dan Revolusi Perancis 1789 inilah, sedar atau tidak sistem khalifah Islam berjaya dijatuhkan yang mengakibatkan umat Islam hilang punca dan kini berada dalam kegelapan serta penafian masyarakat luar. Malah hasil daripada idea ini juga, Baitulmaqdis berjaya dirampas Yahudi, masyarakat Islam Palestin di hina, anak lelaki mereka dipijak dipenjara, anak perempuan mereka ditelanjang diaibkan. Tidak nampakkah kita, walau pelbagai kerja durjana Yahudi-Zionis Israel diperlaku ke atas orang Islam-Palestin yang berbangsa Arab, negara-negara jiran yang lain tetap tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang. Hal ini tidak lain dan tidak bukan hasil kerja idea hina ini kerana mereka lebih sayangkan kepentingan negara mereka berbangding saudara se-Islam mereka di negara lain.

Idea negara bangsa, idea yang sama terhambur di masjid. Alangkah!

Walaupun kerajaan mungkin akan mengatakan idea ini baik yakni mampu menghasilkan sebuah masyarakat yang bersatu-padu antara pelbagai kaum di Malaysia, ia tetap terhad dalam kepompong Malaysia sahaja. Ia tidak mampu berkembang, idea ini tidak boleh dipegang oleh orang Islam di Malaysia dan orang Islam di Singapura contohnya dalam satu masa yang sama. Ia mustahil sama sekali, kerana modus operandi idea ini hanyalah satu, pecah dan perintah.

Bila menyebut tentang idea negara Islam, sungguh banyak pendapat tentangnya dilontarkan, samada dari yang berkelayakan mahupun tidak. Tetapi di sini saya hanya tertarik pada dua pendapat untuk dimuatkan dalam entri kali ini. Pertama, pendapat Mahathir, kerana pendapat beliau lawak. Ketika berucap di Seminar Kebangsaan “Memahami Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam” di Dewan Jubli, Selangor Darul Ehsan, pada hari Selasa, 17 September 2002, beliau berpendapat bahawa label negara Islam mampu dicapai semudah persepsi dan pandangan majoriti, bukan dicapai melalui perlaksanaan Syariat Tuhan. Beliau menyebut;

"Malaysia diakui oleh dunia, samada Islam atau tidak Islam, sebagai negara Islam. Orang Islam Malaysia adalah orang Sunni atau Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bererti mereka berpegang kpeada Sunnah Nabi dan juga kepad apendapat atau pegangan yang diterima dan diamal oleh jamah Islamiah iaitu masyarakat umum. Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud, 'wajiblah ke atas kamu berpegang dengan al-Jamaah, kerana Allah Ta'ala tidak mentakdirkan al-Jamaah berada dalam kesesatan'......Jamaah di sini bermakna kumpulan yang terbesar atau majoriti"

Beliau menyambung, “ Jumlah yang terbesar daripada umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam. Ini sahaja sudah mencukupi untuk Malaysia diterima oleh orang Islam di Malaysia yang akur kepada pendirian Ahli Sunnah Wal Jamaah, sebagai negara Islam. Alasan lain sebenarnya tidak perlu.”

Lawak bukan? Ia lawak bodoh, yang membodohkan rakyat.

Seterusnya, pendapat kedua daripada Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor, yang pada ketika itu merupakan Yang Dipertua PAS Pusat. Beliau berucap dalam Muktamar Tahunan Pas kali ke-37 di Dewan Besar Markaz Tarbiyyah Pas Pusat, Taman Melewar, menyebut tentang negara Islam yang bagaimana partinya hasratkan dan idam-idamkan selama ini. Beliau berkata;

Saya ingin nyatakan bahawa apabila kita mengajar masyarakat dan umat kembali kepada al-Quran dan Sunnah atau dengan ungkapan yang lain kembali kepada keunggulan zaman Rasulullah s.a.w ertinya kita mengajak supaya ciri-ciri keunggulan zaman itu dihayati dan dilaksanakan; zaman yang menggambarkan suatu tamaddun dan peradaban insani yang tinggi dan sempurna; zaman yang menjadi hasrat dan cita-cita dalam seluruh sejarah peradaban serta falsafah hidup kemanusiaan; zaman masyarakat unggul di mana keadilan menjadi tunggak kehidupan dan mempertahankan perlaksanaan syariat berlaku dengan sempurna dan adil; tidak terdapat percanggahan dalam pembangunan antara kebendaan, dan kerohanian, zaman yang melambangkan satu konsep kehidupan dan pembangunan insan yang sempurna dan padu; zaman yang terbaik dalam sepanjang sejarah kemanusiaan dan peradaban. Zaman yang telah dapat dengan izin Allah melahirkan satu generasi yang unik yang kemudiannya bertindak merubah wajah manusia dan dunia ini; bertindak menegakkan satu peradaban insani yang mengagumkan; zaman yang telah berjaya menukar dunia yang gelap dengan kekufuran dan kebatilan kepada dunia yang terang dan bercahaya dengan keimanan dan kebenaran. Inilah ertinya kita mengajak umat dan masyarakat kembali kepada keunggulan zaman yang mereka cemuh itu.

Terdapatnya percanggahan yang nyata antara kedua-dua idea ini, negara Islam dan negara bangsa mustahil sekali wujud dalam satu masa yang sama. Disebabkan bilangan majoriti rakyat ialah beragama Islam dan agama rasmi persekutuan ialah agama Islam, seharusnya yang menjadi pilihan ialah idea negara Islam, dan penolakan secara keras ke atas idea negara bangsa. Jikalau penolakan ini segan dibuat, atau malu dikatakan keterbelakang dan jumud, sekurang-sekurangnya jangan sampai idea hina ini terhambur di atas mimbar.

Ramai pihak termasuk ketua agama Islam di negara ini mengharamkan cara berpolitik ala Nik Aziz di masjid, tetapi dalam masa yang sama seolah-olah menghalalkan cara berpolitik ala Otto Eduard Von Bismarck dalam khutbah Jumaat. Bravo!

No comments: