Friday, May 14, 2010

Pecahan Kuasa; masihkah seimbang?

Pilihanraya di Britain telah pun selesai dijalankan, dan perdana menteri baru telah pun diangkat. Kerajaan campuran bakal dibentuk selepas tiada satu parti pun yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Hal ini membawa kepada pelbagai spekulasi dan andaian dari mata-mata yang memerhati di seluruh dunia. Pelbagai pendapat juga diapungkan yang merujuk kepada keputusan pilihanraya tersebut, ada yang mengatakan bahawa melalui analisa ia jelas memaparkan keputusan yang hampir sama berlaku seperti pada pilihanraya presiden Amerika Syarikat 2008, selain mengatakan wujudnya kematangan yang mantap dari rakyat Britain dalam proses penyataan pendapat. Itu semua pendapat yang subjektif, tidak saya katakan itu tepat, kerana apa yang di minda pengundi, tidak siapa kan punyai secara persis.

Perkembangan di Britain ini pada saya mengujakan. Apabila menyebut tentang Britain, bunyinya sangat sinonim dengan Malaysia. Sistem yang dipersetujui di sana juga menjadi anutan di sini. Sistem yang berpaksikan kepada tulisan Montesqieu dalam ‘The Spirit of Law’ dan prinsip Westminster seperti dijadikan cara hidup hakiki kedua buah negara.

Saya katakan sistem itu sama, merujuk kepada sistem pembahagian kuasa atau ‘separation of power’ antara kuasa eksekutif (pemerintahan), legislatif (pembuat undang-undang) dan judisiari (kehakiman). Pembahagian kuasa ini telah diberi didikan kepada rakyat Malaysia sejak dari sekolah menengah lagi, dan sistem ini dipercayai syumul oleh sebab keadilannya. Antara tiga kuasa ini, ia saling mengawal antara satu dengan yang lain agar tidak ada penyelewengan daripada lunas-lunas yang ditetapkan.

Professor Vile, dalam bukunya, ‘Constitutionalism and the Separation of Powers’ ada menyebut tentang definisi sistem pecahan kuasa ini; “A 'pure doctrine' of the separation of powers might be formulated in the following way: It is essential for the establishment and maintenance of political liberty that the government be divided into three branches or departments, the legislature, the executive and the judiciary. To each of these three branches there is a corresponding identifiable function of government, legislative, executive, or judicial. Each branch of the government must be confined to the exercise of its own function and not allowed to encroach upon the functions of the other branches. Furthermore, the persons who compose these three agencies of government must be kept separate and distinct, no individual being allowed to be at the same time a member of more than one branch. In this way each of the branches will be a check to the others and no single group of people will be able to control the machinery of the State.”

Sistem ini yang diasaskan oleh Montesqieu dan pencantuman kuasa antara legislatif dan eksekutif dalam prinsip Westminster diguna pakai dalam pentadbiran negara Malaysia dan Britain, paling kurang secara teorinya ia sama dan serupa. Perkembangan politik di Britain dilihat sangat positif melalui keputusan pilihanrayanya didasarkan kepada beberapa faktor termasuklah sumbangan dari kecantikan sistem yang dibincangkan di atas. Tetapi pada mata saya, ia tidak sama sekali berlaku di Malaysia, sistemnya sama secara teori, tetapi impaknya berbeza malah menghampakan. Mengapa hal ini berlaku dan bagaimana?

Mungkin jawapannya mudah, hal ini berlaku kerana ketidak seriusan, tidak telusnya kerajaan dalam mematuhi segala undang-undang dan hukum yang telah ditetapkan oleh sistem tersebut. Tetapi, di mana titiknya?

Di Malaysia, boleh dikatakan badan eksekutif dan legislatif adalah dua badan yang bergabung, apabila terdapatnya perkaitan antara Parlimen dan Kabinet yang dilantik dari kalangan ahli Parlimen sendiri atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, dalam konsep pecahan kuasa, kuasa yang benar-benar bebas ialah kuasa judisiari.

Kuasa judisiari dan kuasa eksekutif-legislatif ini sama rata, tidak ada yang lebih berkuasa dan sebaliknya. Ini boleh dilihat apabila badan judisiari diberi kuasa untuk mengistiharkan suatu-suatu akta yang diluluskan oleh badan eksekutif sah atau tidak. Dalam masa yang sama, badan eksekutif punyai hak untuk membuat pelantikan dalam Mahkamah Tinggi dan ke atas mengikut hairaki manakala badan legislatif punyai kuasa untuk membuat suatu sistem yang boleh memeriksa keputusan badan judisiari secara tidak langsung.

Secara praktikalnya, sistem ini mula berubah dan ia menjadi tidak seimbang bermula pada tahun 1988, ketika meletusnya isu pengharaman UMNO diikuti pemecatan hakim berjawatan tinggi oleh Mahathir. Walaupun pemecatan itu dilihat melanggar prinsip dalam perlembagaan, Mahathir tetap dengan keputusan itu, sekaligus menunjukkan kuasa legislatif dan eksekutif lebih tinggi dari judisiari.

Berikutan dengan itu, untuk mengukuhkan lagi kedudukan 2 badan tersebut, pindaan ke atas Artikel 121 telah dibuat, bertujuan untuk menyekat kuasa judisiari. Sebelum pindaan dibuat, Artikel 121 adalah seperti berikut;

“the judicial power of the Federation shall be vested in two High Courts of co-ordinate jurisdiction and status....and in such inferior courts as may be provided by federal law”

Selepas pindaan dibuat, Artikel 121 berbunyi;

“There shall be two High Courts of co-ordinate jurisdiction and status.... and such inferior courts as may be provided by federal law; and the High Courts and inferior courts shall have jurisdiction and powers as may be conferred by or under federal law”

Jika diteliti, perkataan 'judicial power' dan 'vested' telah dibuang daripada artikel sebelumnya. Perubahan ini memberi implikasi besar terhadap kuasa judisiari, daripada mempunyai kuasa yang sama rata dengan 2 badan lainnya, ia jauh telah berkurang. Melalui Artikel 121 yang telah dipinda ini, kuasa judisiari hanya akan tertakluk di bawah lingkungan yang ditentukan oleh badan legislatif dan ini jelas bertentangan dengan idea sistem pecahan kuasa yang telah dibincangkan di atas.

Melalui perbincangan ini, boleh disimpulkan bahawa sistem yang dianuti oleh rakyat Malaysia kini adalah suatu sistem yang bobrok, bukan sahaja sistem itu adalah sistem warisan anjing penjajah , tetapi lebih malang diubah menjadi lebih jahanam oleh anak bangsa sendiri. Jika hal ini tidak diberikan perhatian serius serta diubah segera, politik negara tidak akan berkembang, malah akan terus mati. Seperti bangkai, terus membusuk dan menghapus.

No comments: