Thursday, April 22, 2010

Zaki si Pencuri Perlembagaan

Saya cuba menggunakan selang tengah ini sebaik mungkin.

Bukan niat saya untuk membuat permulaan yang berbaur provokasi, tetapi mungkin ia berguna dan bakal menjadi nota tambahan kepada mereka yang terlibat. Jika kita lihat secara meluas atau lihat dari atas, kita bakal lihat kitab teragung yang dipersetujui oleh semua rakyat Malaysia, tidak kira agama, bangsa mahupun fahaman politik, ialah kitab Perlembagaan dan kitab Akta, bukan kitab Al-Quran mahupun kitab Hadith Muslim dan Bukhari. Jika diletakkan keempat-empat kitab tersebut di depan mata, maka tangan akan memilih kitab Perlembagaan dan kitab Akta, di dunia lagi. Itu rakyat Malaysia, itu kita sekarang. Ini bukan sangkaan, ini kenyataan. Mungkin ramai yang menyangkalnya secara teori, tetapi secara praktikalnya, belum tentu.

Mari kita lihat contoh yang dikaburkan segala watak dan jalan cerita, tetapi tetap menjurus kepada pernyataan di atas; Zaki mengalihkan kedudukan kamera Canon Digital IXUS dari almari baju kawan Zaki yang berkunci tanpa kerelaan kawan Zaki tersebut, tujuan pengalihan kamera tersebut adalah untuk memilikinya dan Zaki mempunyai niat untuk melakukan perbuatan tersebut dan menjadikan kamera tersebut sebagai hak Zaki, walaupun buat sementara waktu. Zaki dituduh mencuri dan dia tidak mengaku bersalah atas perbuatan tersebut. Zaki dihadapkan ke muka pengadilan yang berhampiran.

Zaki dengan beraninya, ketika berada di dalam kandang, mengangkat kitab Al-Quran di tangan kanan dan mengangkat kitab Kanun Keseksaan (Akta 574) di tangan kiri. Zaki malah dengan berani menjerit sekuat hati ke arah hakim, dalam masa yang sama menyuruh hakim Mahkamah Majistret itu memilih kitab mana yang beliau akan guna untuk perbicaraan kali ini. Beliau dengan teragak-agak dan penuh alasan, memilih yang di tangan kiri Zaki. Dengan alasan, pertama; saya takut dikatakan ekstrimis, kedua; saya tidak belajar apa-apa prosedur dalam al-Quran atau mana-mana kitab berkaitan Hudud, ketiga; Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan mana-mana undang-undang lain yang bertentangan atau tidak selari dengannya dijadikan sumber rujukan, dan keempat; agama Islam adalah sekadar agama rasmi Persekutuan.

Selepas mendengar alasan tersebut, Zaki diam dan terus tersenyum. Misi Zaki berjaya dan Zaki berpuas hati, walaupun Zaki sedar pada mulanya Zaki telah melakukan aktiviti pencurian, tetapi Zaki berjaya menunjukkan kebenaran yang hakiki. Zaki selepas itu mewasiatkan agar kamera yang diambilnya itu diletakkan semula ke dalam almari kawan Zaki yang tadi, seterusnya berasa lega. Kerana pada Zaki dia telah mendapat pahala.

Itu dia contohnya, jelas bukan Perlembagaan lebih tinggi tarafnya dari al-Quran di Malaysia ini? Buat yang faham atas apa yang saya tulis, saya gembira dan ingin mengucapkan tahniah. Buat yang tidak, mungkin salahnya atas saya kerana menulis ayat yang berpusing-pusing. Sesungguhnya niat saya hanya ingin meletakkan seluruhnya dalam satu.

Peranggan akhir tidak ada kena-mengena dengan provokasi ‘Perlembagaan dan al-Quran’, tetapi lebih kepada provokasi kes curi. Zaki, terima kasih, kerana saya percaya saudara tidak terlibat.

Monday, April 5, 2010

Tawar

Saya tidak berarak sambil berselawat ketika maulud, jadi saya tidak berlebih-lebihan menyambut ulang tahun kali ini. Cumanya saya berasa sangat bertanggungjawab dengan usia yang diberi, oleh itu saya fikir renung, lalu memuntahkan segala hasil melalui tulisan, jika termampu, hanya sekadar catatan untuk masa depan.

Amat tajam kejatuhan yang saya hadapi, menikam hati seluruhnya, bukan saya sahaja. Disebabkan usia saya panjang, saya berkesempatan untuk merasa tikaman dan ludahan kahak dari pertanggungjawaban atas perlakuan. Saya tumpas, hati saya keluarkan lalu saya carik cincang hati itu menjadi banyak. Agar nampak terang darah merah terpercik memancut keluar.

Tidakkah kamu terlihat? Tidakkah kamu melihat?

Agar usia ku panjang, agar ia mampu berputar ke atas, atau paling kurang ia mampu seimbang dengan masa lalu. Jalannya pelbagai untuk ia menjadi nyata, dan saya nampak itu. Cuma belum tersampai dan termampu untuk digapai. Tawar, sekarang ini tawar dan sedikit-sedikit pahit pada hujung rasa.

Tipu dan saya menipu diri sendiri, perkara itu tidak boleh hilang luput dari bayang mata dan wajah. Apa yang terpalit terus melekat, cuma kebijakan untuk meyembunyikannya atau kelemahan melihat sahaja menjadi sempadan. Jaga wajah tidak sesukar menjaga hati, menjaga nafsu lapar dahaga tidak sesukar menjaga air mata. Kerana apa yang di dalam itu lebih kekal, lebih mudah diserang.

Jika bukan orang luar, hati ini sendiri ada tenteranya. Bahagian yang siap siaga memukul hingga patah riuk tubuh sendiri, seperti lagaknya orang gila dan mabuk, mencedera menzalimi anggota tubuh. Tentera ganas garang sentiasa ada tugas, menanti saat kehancuran tubuh sendiri.

Dan saat itu sudah sampai buat saya, malah mungkin sudah berlalu. Kelahiran baru, manusia mula muncul dari kehancuran dan kejatuhan.

Salam dari abang; Rebut 5 perkara sebelum 5 perkara! Salah satu masa muda sebelum masa tua mu, life aint about how hard you hit but how hard you can get hit and keep moving forward... Selamat hari lahir.