Thursday, April 22, 2010

Zaki si Pencuri Perlembagaan

Saya cuba menggunakan selang tengah ini sebaik mungkin.

Bukan niat saya untuk membuat permulaan yang berbaur provokasi, tetapi mungkin ia berguna dan bakal menjadi nota tambahan kepada mereka yang terlibat. Jika kita lihat secara meluas atau lihat dari atas, kita bakal lihat kitab teragung yang dipersetujui oleh semua rakyat Malaysia, tidak kira agama, bangsa mahupun fahaman politik, ialah kitab Perlembagaan dan kitab Akta, bukan kitab Al-Quran mahupun kitab Hadith Muslim dan Bukhari. Jika diletakkan keempat-empat kitab tersebut di depan mata, maka tangan akan memilih kitab Perlembagaan dan kitab Akta, di dunia lagi. Itu rakyat Malaysia, itu kita sekarang. Ini bukan sangkaan, ini kenyataan. Mungkin ramai yang menyangkalnya secara teori, tetapi secara praktikalnya, belum tentu.

Mari kita lihat contoh yang dikaburkan segala watak dan jalan cerita, tetapi tetap menjurus kepada pernyataan di atas; Zaki mengalihkan kedudukan kamera Canon Digital IXUS dari almari baju kawan Zaki yang berkunci tanpa kerelaan kawan Zaki tersebut, tujuan pengalihan kamera tersebut adalah untuk memilikinya dan Zaki mempunyai niat untuk melakukan perbuatan tersebut dan menjadikan kamera tersebut sebagai hak Zaki, walaupun buat sementara waktu. Zaki dituduh mencuri dan dia tidak mengaku bersalah atas perbuatan tersebut. Zaki dihadapkan ke muka pengadilan yang berhampiran.

Zaki dengan beraninya, ketika berada di dalam kandang, mengangkat kitab Al-Quran di tangan kanan dan mengangkat kitab Kanun Keseksaan (Akta 574) di tangan kiri. Zaki malah dengan berani menjerit sekuat hati ke arah hakim, dalam masa yang sama menyuruh hakim Mahkamah Majistret itu memilih kitab mana yang beliau akan guna untuk perbicaraan kali ini. Beliau dengan teragak-agak dan penuh alasan, memilih yang di tangan kiri Zaki. Dengan alasan, pertama; saya takut dikatakan ekstrimis, kedua; saya tidak belajar apa-apa prosedur dalam al-Quran atau mana-mana kitab berkaitan Hudud, ketiga; Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan mana-mana undang-undang lain yang bertentangan atau tidak selari dengannya dijadikan sumber rujukan, dan keempat; agama Islam adalah sekadar agama rasmi Persekutuan.

Selepas mendengar alasan tersebut, Zaki diam dan terus tersenyum. Misi Zaki berjaya dan Zaki berpuas hati, walaupun Zaki sedar pada mulanya Zaki telah melakukan aktiviti pencurian, tetapi Zaki berjaya menunjukkan kebenaran yang hakiki. Zaki selepas itu mewasiatkan agar kamera yang diambilnya itu diletakkan semula ke dalam almari kawan Zaki yang tadi, seterusnya berasa lega. Kerana pada Zaki dia telah mendapat pahala.

Itu dia contohnya, jelas bukan Perlembagaan lebih tinggi tarafnya dari al-Quran di Malaysia ini? Buat yang faham atas apa yang saya tulis, saya gembira dan ingin mengucapkan tahniah. Buat yang tidak, mungkin salahnya atas saya kerana menulis ayat yang berpusing-pusing. Sesungguhnya niat saya hanya ingin meletakkan seluruhnya dalam satu.

Peranggan akhir tidak ada kena-mengena dengan provokasi ‘Perlembagaan dan al-Quran’, tetapi lebih kepada provokasi kes curi. Zaki, terima kasih, kerana saya percaya saudara tidak terlibat.

No comments: