Wednesday, July 8, 2009

Canaanites

Sakit dan pedih pada mata, wajah, hidung, mulut, lidah, anak tekak, paru-paru serta jiwa ternyata berbaloi. Apakala mereka sang peludah sedang sibuk menjilat semula segala kahak yang mereka palitkan pada bahasa ibunda, seperti biasa, masih ada sisa-sisa yang mereka tinggalkan. Namun, tidak mengapa, selaku rakyat muda, saya akur dan berpuas hati atas usaha pihak kerajaan memansuhkan dasar PPSMI yang berkuat-kuasa tidak serta merta (baca; 2012) itu.

Walaupun sastera bahasa penjajah diperkenalkan bermula dari pelajar sekolah rendah dan langsung melupakan sastera ibunda kita, tidak mengapa, saya masih berpuas hati. Saya ini bukan orangnya yang melawan sahaja, bukan orangnya yang menjunjung sifat Jebat. Biarpun waktu pembelajaran dan pengajaran bahasa penjajah itu ditambah dan langsung mengabaikan bahasa ibunda laras dan ragam tinggi, tidak mengapa, saya masih akur.

Kerana kerja bukan berhenti setakat ini sahaja. Kita perlu pulang ke akar bangsa, bergerak ke arah itu, dengan mengkaji semula pelbagai dasar lain serta meMelayukan segalanya. Bak kata Sasterawan Negara Noordin Hassan, ‘Jika kita salah langkah, kebudayaan melayu mungkin tidak melayu lagi. Kebudayaan Cina tetap kukuh di muka bumi ini selagi ada negara China; begitu juga dengan kebudayaan India’. Jangan nanti kita pula menganga apakala melihat negara jiran Indonesia lebih maju dan membangun. Jangan nanti kita mula terjerit-jerit apabila mereka pula yang mendera anak perempuan Malaysia.

Lihat sahaja perjuangan Fidel Castro dalam menjadikan Cuba sebagai sebuah negara yang cukup merakyat. Walaupun pertumbuhan ekonominya lembap dan pendapatan per kapita rakyatnya cukup rendah, tiga komponen negara sosialis iaitu perubatan,pendidikan dan perumahan sangat diambil berat di sana. Dengan perkhidmatan air, elektrik, sumber makanan dan keperluan asas lain untuk hidup hampir-hampir percuma, tidak hairanlah gaji seorang doktor dan guru di negara tersebut sangat rendah.

Masyarakat Cuba mengamalkan konsep ‘kepercayaan (idea) dan kebudayaan (bangsa) melebihi segala-galanya’. Lihat sahaja semangat orang Yahudi untuk pulang ke ‘tanah yang dijanjikan’, bagaimana mereka menjadikan material hanya sebagai alat, bukan matlamat dan keputusannya, mereka peroleh tanah orang Canaan itu. Ini juga yang cuba diaplikasikan oleh masyarakat Cuba, dengan menjunjung akar bangsa dan idea, seluruh rakyat di sana mula berasa selesa dan boleh menjalankan aktiviti harian sebagai seorang manusia yang sebenar.

Di Malaysia, pada masyarakat orang Melayu contohnya, adakah kita benar-benar selesa berada di Malaysia? Bolehkah kita mendapat hak yang sebenar benarnya untuk beribadat kepada Tuhan (untuk menjadi manusia yang tulen)? Contoh paling mudah, pada televisyen atau surat khabar, mampukah kita beribadat dengan tidak melihat satu pun aurat wanita? Atau pun, bolehkah kita mendapat hak untuk tidak terlibat dengan sistem ekonomi yang berasaskan kepada riba’ dan penganiyaan? Atau bolehkah kita berkarya melalui pekerjaan yang ‘elok-elok’ seperti jurutera, doktor dan ahli ekonomi dengan bertutur dalam bahasa yang benar-benar kita fasih, dalam idea yang benar-benar menjurus kepada agama? Ini antara hak manusia yang dinafikan.

Mungkin dengan cara pulang kepada akar bangsa dan kepercayaan, benar-benar pulang barulah kita dapat merasa menjadi manusia yang benar-benar manusia, benar-benar insan, benar-benar makhluk. Dan dengan pemansuhan PPSMI ini, mungkin ia adalah suatu langkah awal dalam menjadikan kita, saya manusia yang mematuhi tujuan penciptaan-Nya.

No comments: