Tuesday, July 7, 2009

jalan-jalan jalanan

Ini catatan keanakanakkanku, kebudakbudakkanku.

Sehari selepas saya berdemo 7 Mac yang lalu, membantah dasar PPSMI, puas mencari di akhbar-akhbar, termasuk akhbar Cina dan Tamil, gambar saya bersama abang, yang sedang semangat di tengah jalan raya Kuala Lumpur, menunjuk kasih dan menahan pedih mata dan hati. Manalah tahu jika nasib saya baik kali ini (seperti majlis pelancaran ‘Demo 100 ribu’ di Sogo dahulu), terpacul pula wajah-wajah pejuang bangsa (baca; Orang Kampong) di dada akhbar. Namun, ternyata hampa. Saya beralih arah pula ke blog-blog dan laman sesawang yang menkhabarkan tentang peristiwa bersejarah itu, namun keputusannya tetap sama, tiada gambar mahupun kelibat saya untuk pendokumentasian!

Saya baru pulang dari ‘Malam Seni Rakyat’ yang diadakan di Bandar Kajang, yang pada malam itu penuh sesak dengan kereta dan manusia, bergembira di pasar malam berhampiran. Fokus tidak terganggu, terus menuju ke Dewan Cempaka bagi menonton sendiri persembahan penguat jiwa dari kawanan artis kreatif kiri – Meor, Nik, Black, Mei Chern, penyajak unik – Pyanhabib,Rahmat Haron, manusia pelik – Hishamuddin Rais,otai Kajang/Komunis tegar – Uncle Hee Kai, dan tidak lupa, Sasterawan Rakyat – Pak Samad. Ternyata, malam yang penuh bagi-ku, seronok dan gembira.

Walaupun retorik Hishamuddin Rais kurang mengusik jiwa, namun puisi dari Pak Samad ternyata menggugah rasa. Dengan puisi yang bagi beliau agak kasar, ‘Peludah Bahasa’, ia sudah cukup untuk-ku berasa selesa dan bangga berada di dalam dewan bersama yang lain, kendatipun pada mulanya kurang senang dengan fizikal Rahmat Haron yang duduk benar-benar di sebelah-ku. Lirik lagu yang dinyanyikan juga terang dan mampu menaikkan semangat – lagu Revolusi 48, Burhanuddin Helmi, Syuhada Memali dan ISA antara yang melekat dalam jiwa dan fikiran-ku, cumanya belum mampu untuk keluar dari kotak suara.

Seronok, dan terima kasih buat abang yang tidak sesekali putus asa, sentiasa menyokong dan percaya akan daku dalam perjuangan. Biarpun gambar kami (baca; Orang Kampong dan Separasedar) tidak jelas dan terang pada demo sebelum ini, tetapi terbit juga rasa bangga apabila melihat gambar-gambar di cakaprakyat.blogspot. Haha!

No comments: