Saturday, August 29, 2009

Jeneral Hantu Raya

Saya baru selesai membuat rumusan, kepada sebuah buku yang pada hemat saya, semua orang berbangsa dan berbahasa Melayu harus memilikinya. Harus dan mesti. Itu pada saya, kerana terlalu banyak perkara yang boleh dilihat dan dikaji semula. Dan ini, hasil rumusan saya, maaf jika ada berlakunya kesilapan di mana-mana, termasuklah fakta yang kurang tepat. Saya hanya merujuk kepada buku Memoir Pak Sako Putera Gunung Tahan, tulisan beliau sendiri;

Latarbelakang diri
Allahyarham Ishak bin Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako telah dilahirkan pada awal subuh, hari Isnin, dalam pertengahan bulan September 1909 (tidak ada tarikh akurat kerana beliau tidak mempunyai surat beranak) di Kampung Segentang, dalam mukim Perak, Daerah Temerloh, Pahang. Beliau merupakan anak ke tiga hasil daripada perkongsian hidup Haji Muhammad bin Haji Maasum dan Hajah Fatimah binti Abdul Jamal. Beliau telah dibesarkan di kampung tersebut (Kampung Segentang) yang beliau percayai nama tersebut berasal dari nama Bukit Saguntang di Sumatera Selatan.

Alam persekolahan
Ketika beliau berumur 10 tahun (tahun 1919), beliau telah dimasukkan ke sebuah Sekolah Melayu di Kampung Tengah yang terletak hanya setengah batu dari rumah beliau. Selepas lulus peperiksaan darjah empat dengan mendapat kepujian dalam semua mata pelajaran, beliau telah dicadangkan memasuki sekolah beraliran Inggeris di Kuala Lipis. Walaupun mendapat tentangan hebat dari masyarakat sekeliling, keluarga beliau tetap dengan keputusan untuk mendaftarkan beliau di Clifford School Kuala Lipis pada tahun berikutnya yakni tahun 1924. Pada bulan Ogos 1927, beliau telah dicadangkan oleh guru besar sekolah tersebut (V. N Bartlett) untuk mengambil peperiksaan Junior Cambridge untuk terus melompat dari darjah tujuh ke darjah sembilan. Namun, beliau gagal dan hanya berjaya lulus dalam peperiksaan tersebut pada akhir tahun 1929. Selepas itu, beliau meneruskan pembelajaran dalam darjah sembilan (Senior Cambridge) dan mengambil peperiksaan Senior Cambridge pada tahun yang sama.

Alam pekerjaaan
Sambil menanti keputusan peperiksaan Senior Cambridge dari London diumumkan, beliau telah menjadi wakil penjual akhbar Mingguan dan Warta Negeri di kampung beliau sehingga beliau mendapat surat arahan supaya melaporkan diri mula bekerja sebagai guru pelatih di Sekolah Inggeris Kuantan. Dalam bulan April 1930, beliau telah dipanggil untuk ditemuduga di Kuala Lumpur untuk jawatan dalam Perkhidmatan Pentadbiran Melayu (MAS) dan beliau telah berjaya. Beliau dihantar ke Malay College Kuala Kangsar selepas itu untuk menjalani latihan selama setahun sebagai Probationary Malay Officer. Setahun kemudian, beliau secara rasmi telah memulakan perkerjaan sebagai seorang pegawai di Pejabat Daerah Temerloh. Kemudian beliau ditukarkan ke Bentong (naik pangkat) sebagai Pemangku Timbalan Penolong Pegawai Daerah (DADO). Pada Julai 1932, beliau telah ditukarkan pula ke Rembau, Negeri Sembilan. Beliau mula rasa bosan dengan pekerjaan ‘makan gaji’ yang tidak sehaluan dengan prinsip hidup beliau dan bertekad untuk meninggalkan pekerjaan tersebut, membawa diri ke Pekan Tumpat secara rahsia. Seluruh Semenanjung telah gempar dengan kehilangan beliau, sehubungan dengan itu akhbar Inggeris dan Melayu telah mengeluarkan berita tentang beliau dan telah dipujuk (akhbar Majlis) untuk kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambung semula pekerjaan beliau. Beliau akur dan pulang ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai Majistret Kelas Tiga (selepas menghadiri kelas undang-undang bersama Tuan Adams). Selepas bekerja sebagai majistret untuk suatu jangka masa (tidak diberitahu) beliau nekad untuk meninggalkan pekerjaan buat kali kedua. Kali ini, beliau menuju ke Pantai Timur (Muar, Johor) dan menjadi guru bahasa Inggeris (selepas mendapat sijil dan kebenaran mengajar dari Tuan Taylor, guru besar Sekolah Inggeris Muar) di sana. Dalam masa yang sama, beliau mula meminati bidang penulisan dan kewartawanan. Beliau kemudiannya berpindah pula ke Kemaman dan menjadi seorang peguam selepas berjaya mendapatkan lesen (pleader) daripada Kerajaan Terengganu. Di samping bekerja sebagai seorang peguam, beliau juga menjadi pemberita khas untuk akhbar Warta Malaya, Warta Jenaka, dan Warta Ahad di samping turut menjadi wakil penjual akhbar. Beliau akhirnya mencapai cita-citanya untuk bekerja sebagai seorang wartawan di Syarikat Warta Malaya di Singapura. Beliau meneruskan minat dalam bidang tersebut dengan banyak menyertai syarikat akhbar lain termasuklah Utusan Melayu dan Utusan Zaman.

Karier politik
Beliau pernah mengangotai Kesatuan Melayu Singapura dan kemudiannya menjadi ahli dalam Kesatuan Melayu Muda dan berkawan rapat dengan Ibrahim Hj Yaakob (selepas Ibrahim membeli Syarikat Warta Malaya). Beliau juga antara pencetus idea kepada pengabungan akhbar Utusan Melayu dan Warta Malaya untuk menjadi Berita Malai ketika hampir dengan zaman penjajahan Jepun. Tetapi beliau mula berasa kecewa apabila melihat layanan pemerintahan Jepun terhadap masyarakat Tanah Melayu ketika itu, dengan tidak menjalankan dasar pro-Melayu dan tidak menubuhkan Dewan Rakyat seperti mana yang terdapat di Jawa. Beliau membawa diri ke Pulau Bintan selepas itu, sebagai tanda protes, bersama-sama petani-petani Singapura. Ketika beliau di sana, beliau dan isteri telah jatuh sakit (badan berkudis dan malaria) dan terpaksa di bawa pulang ke kampung. Selepas zaman Jepun tamat, beliau mula bergiat aktif dalam politik berhaluan kiri menentang penjajahan kerajaan British dengan menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu, menjadi pemimpin kepada Parti Buruh dan seterusnya menjadi ketua bagi Barisan Sosialis. Beliau telah ditahan dan dipenjara beberapa kali oleh pihak pemerintah, yakni ketika sebelum perang dunia ke-2 berlangsung, ketika Undang-undang Darurat 1948 dikuatkuasakan dan ketika Konfrontasi Malaysia – Indonesia.

Bidang penulisan
Pada 29 Jun 1973, beliau telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya dan pada tahun 1976 pula, beliau telah menerima Hadiah Pejuang Sastera daripada Kerajaan Malaysia. Beliau telah menghasilkan banyak karya dalam pelbagai genre termasuklah pantun, sajak, novel dan rencana selain turut menulis pojok-pojok yang tajam dan keras. Antara karya beliau termasuklah Anak Dukun Deraman, Satay Saloon, Yang Mewah dan Yang Miskin, Norita, Tijah Tukang Cukur, Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila, Di Simpang-Simpang Jalan dan banyak lagi. Beliau juga tersohor dengan nama pena termasuklah Pak Sako, Hantu Raya, Jeneral Hantu Raya, Pak Pandir Moden dan IBHAM.

Sifat peribadi (menurut pendapat A. Samad Ismail)
Beliau merupakan seorang yang tidak pandai mengata orang lain, tidak kira kawan mahupun lawan, tetapi beliau gemar merajuk dan sangat sensitif. Beliau sangat bersifat tradisionalis dan berani menolak modenisme dan juga tidak begitu senang dengan pembangunan negara dengan alasan pemodenan hanya akan menghakis nilai-nilai hidup orang Melayu. Beliau gemar berpantun dan bergurindam dan sering merungut akan orang melayu kini yang ‘tidak makan pucuk ubi, tidak makan ikan-ikan sungai, anak-anak muda sekarang tidak pernah melihat kijang dan pelanduk melainkan di kebun binatang’ (zoo).

No comments: