Tuesday, September 8, 2009

Jangan Fikir (?)

Saya gemar benar melihat dan menjenguk semula falsafah yang sedia disajikan oleh Tuhan, falsafah serta idea yang terselit di sebalik peristiwa tersungkurnya nabi Adam dan kekasihnya, Hawa’ dari syurga ke muka bumi. Nampak benar jelas, peristiwa itu suatu peristiwa yang paling besar, dan tentunya membawa falsafah juga idea yang padat juga tepu.

Saya sering melihat kepada mengapa Tuhan menjadikan Adam dan Hawa’ di syurga, bukan terus di bumi? Juga, mengapa terdapatnya suatu sekatan kepada mereka berdua, sedangkan mereka ketika itu sedang berada di syurga, yang mana semua tahu, di syurga, apa sahaja yang diinginkan, bakal dapat dan ada? Dan juga, mengapa Tuhan ciptakan buah tersebut, jika ia tidak boleh dihampiri dan dimakan?

Jadinya, berdasarkan zat Tuhan itu sendiri, saya mampu menjawab (sekurang-kurangnya membuatkan saya bertambah yakin) persoalan yang saya bangkitkan sendiri. Antara zat Tuhan ialah, kuasa atau kebebasan penuh untuk mengadakan atau tidak mengadakan, kuasa untuk membuat atau tidak membuat sesuatu. Nah, itu jawapan akarnya,tetapi masih belum cukup menyeluruh.

Maka, manusialah yang perlu berfikir, dengan mengarahkan fikiran kepada hikmah, yakni sudut positif kepada setiap apa yang diadakan atau tidak diadakan oleh Tuhan. Manusia sesungguhnya tidak akan mampu untuk menentang apa yang dibuat atau tidak dibuat oleh Tuhan, kerana itu zat Tuhan, Tuhan punyai kuasa.

Antara persoalan lain (terima kasih buat Azhzurin), yakni berdasarkan kepercayaan dan keyakinan setiap muslim dan mukmin bahawa Tuhan mampu melakukan semua perkara, juga mampu menciptakan segalanya. Bahasa mudahnya, Tuhan maha berkuasa atas segala sesuatu juga maha mencipta. Jadi, mampukah Tuhan menciptakan sesuatu (contohnya batu) yang begitu berat, sehingga Tuhan sendiri tidak mampu mengangkatnya?

Jadi, apakah jawapan kepada semua persoalan ini? Saya sangat tidak bersetuju apabila ada golongan yang mengatakan kepada saya, janganlah terlalu berfikir dan janganlah terlalu mempersoalkan. Golongan inilah, pada saya yang membuatkan agama saya mati, agama saya seperti tanah perkuburan, mati tidak berkembang. Lebih dasyat lagi, golongan ini juga ada mengatakan saya sesat dan bahaya. Yang peliknya, saya hanya bertanya, belum lagi membuat apa-apa kesimpulan atau pegangan.

Saya sendiri ada jawapan kepada golongan seperti ini, yang sebenarnya, mereka sendiri tidak mampu dan tidak cukup ilmu untuk memberikan jawapan, langsung menuduh orang begitu begini. Itu pada saya, saya tidak meminta orang lain untuk menerima apa yang saya fikir, tetapi bantulah saya untuk menjawab persoalan. Janganlah terus mencantas, dengan berprasangka hodoh terhadap keperibadian saya. Saya harap benar, orang yang pernah berkata saya sesat itu, membaca catatan saya yang ini.

No comments: