Saturday, September 12, 2009

Air-Minum

Saya dan rakan saya, rapat dengan seorang mak cik yang menjual air berwarna-warni juga tidak berwarna di café baru, tempat saya belajar kini. Seingat saya, kami jadi rapat kerana terpikat dengan kecantikan anak dara beliau, yang seperti memanggil-manggil kami untuk bertandang ke gerai tersebut. Jadinya, selepas sahaja lepas proses bergurau senda, kami pun mula berjaya mendapatkan bekalan air berwarna percuma, kadang-kadang Milo, air Lemon, air bandung dan banyak lagi.

Tetapi sejak kebelakangan ini, saya jarang sekali berjaya untuk megurangkan kos membeli air, yang mendapat habuan hanya rakan saya yang seorang itu. Mungkinkah kerana saya kurang kacak, atau muka saya terlalu garang dan tidak sesuai untuk anak dara beliau? Atau salah rambut saya yang sering tidak terurus ini? Ahh, saya pilu, bukan anak beliau yang saya kejarkan, tetapi keadilan itu yang saya perjuangkan.

Lama-kelamaan, saya mula lali, saya abaikan sahaja, isu itu isu yang kelakar, langsung menjadi bahan ketawa kami bersama. Air minum dia, air minum saya juga, kami berkongsi. Bulan puasa kali ini, saya asyik membeli air mineral untuk berbuka, jarang sekali tekak saya merasa air manis atau masam, semua rasanya kosong sahaja. Makcik yang menjual itu juga sudah perasan dengan tabiat saya, juga tidak ketinggalan anak dara beliau. Nampak sahaja muka saya, terus mereka beri air mineral botol besar 1.5L, samada jenama Bleu atau Cactus, yang pasti kedua-duanya bercop halal dan berharga 2 ringgit Malaysia.

Maka, berlambaklah botol air mineral di bilik saya ini, semuanya kosong kering belaka, kerana saya tidak mempunyai duit 20 sen untuk membeli air di mesin air belakang blok sana, juga saya tidak mempunyai ‘water heater’ untuk menjerang air. Saya bertekad malam ini, untuk membawa semua simpanan botol kosong kering saya itu ke bilik rakan yang punyai kemudahan menjerang air, untuk memunggah seberapa banyak liter air. Saya fikir-fikir semula, lagaknya saya sekarang ini seperti orang kampung yang miskin, sehingga air masak pun perlu meminta-minta. Apa kan daya, itu lah hidup gaya kapitalis kini.

Saya masih ingat, pada suatu hari makcik si penjual air pernah bertanya ketika saya ingin membayar harga satu botol air mineral, ‘Iqi minat air mineral ya?’. Saya jawab, dengan tidak mengeluarkan sebarang bunyi, hanya mampu mengangguk tanda setuju dengan pendapat beliau. Sebelumnya, juga rakan saya ada bertanya samada niat saya adakah menjaga badan dan cuba mengelak dari terkena serangan penyakit kencing manis, kerana asyik sahaja berkepit dengan botol besar air mineral, seakan tidak mahu rasa air manis atau masam yang berwarna. Saya cuma menunjukkan aksi yang sama, angguk dan angguk.

Sebetulnya saya tidak mahu sesekali menipu menggunakan lidah. Yang sebenarnya, saya hanya berhajat untuk menyimpan bekalan air mineral tersebut (jika termampu) untuk waktu bersahur atau berbuka keesokan harinya. Jika saya membeli air contohnya Lemon, paling lama ia bertahan hanya untuk malam itu, sukar untuk saya menahan gejolak rasa untuk tidak menghabiskannya waktu itu juga. Jika saya membeli air mineral botol besar itu, sekurang-kurangnya, saya mampu mengurangkan kos mendapatkan bekalan air minum, untuk hari yang seterusnya.

Itu niat saya, tidak tahulah jika cara saya betul atau tidak. Harapnya saya dapat belajar sesuatu daripada kepayahan mendapatkan bekalan air minum ini.

2 comments:

Mat Amin said...

Salam dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat Moderator Laman Orang Kampung sekeluarga dan kepada pembaca blog ini. Maaf Zahir Batin di atas segala keterlanjuran.

Semoga semuanya diberkati Allah Taala.

Yang Ikhlas
Mat Amin
KINI DAN SILAM http://matamin02.blogspot.com

emirhasnan said...

Oo,Anak makcik tu yg aq punya daa..
Hahaha

Aq pown nak jd cam ko minum air mineral je coz ia salah satu tabiat orang cina..
Aq kan AMENG!

Yg palsu
Sudip