Thursday, September 10, 2009

Mata tidur, Fikiran tidak

Pada mulanya, saya berhajat untuk menulis surat kepada diri saya sendiri, tetapi bunyinya agak romantis, yang membuatkan saya sendiri mual. Maka, saya mengambil keputusan untuk tidak menulis surat tersebut, malah bertekad untuk menulis di sini, bukan untuk meminta simpati, tetapi supaya catatan ini tidak akan hilang, biar ia melekat di laman ini, sampai saya besar dan matang. Harapnya, pihak-pihak tertentu tidak menggodam atau melakukan onar kepada laman ini, agar catatan ini kekal, tidak hilang dan menghilang.

Ini janji saya, kepada diri saya sendiri. Kepada diri saya sendiri, jika saya langgar, saya hanya akan malu kepada diri sendiri, tidak yang lain.

Saya mengaku di sini, saya kini berada dalam keadaan yang sukar dan susah. Dugaan yang datang membuatkan saya sering menangis seorang diri di bilik, tidak kira masa, kadang-kala ketika hendak tidur, kekadang ketika makan, kadangnya ketika termenung menghadap apartment di hadapan bilik saya, memang tidak tentu masa. Apakala hati ini terusik dan teringat perkara yang lepas, mata mula dibasahi air tangisan, juga pipi sampai ke dagu, cumanya mulut belum lagi mengeluarkan apa-apa erangan. Saya kini sering menjadi anak-anak, tetapi saya masih mampu bertahan di hadapan rakan-rakan.

Kawanan yang saya kenal di sini, ramai juga. Ada yang baik, juga sebaliknya. Pada saya, mereka sama seperti kawanan yang saya pernah jumpa sebelum ini, cuma versinya mungkin berbeza. Antara yang saya rapat, Aiman, Yakan (bukan nama sebenar), Farah, Syida, Alia, Hajar, Kunang (juga bukan nama sebenar) dan tidak lupa Si Comel (saya tidak pasti nama beliau, yang pasti beliau rakan sekelas subjek bahasa Inggeris saya, jantina lelaki dan tersangat comel). Kenalan saya di sini tidaklah melebar, tetapi cukup buat saya, berasa gembira ketika hampa, dan berasa hampa ketika gembira.

Banyak juga yang saya lalui di sini, dan juga banyak perkara yang dulunya saya bebas untuk lakukan, tetapi kini sangat tidak mampu untuk lakukan dan ada yang langsung mustahil untuk direalisasikan. Termasuklah, dahulunya dalam satu bulan, pasti ada satu buku baru yang saya akan beli, tidak kira dari Ricecooker, Popular, kawasan berhampiran Masjid Jamek, MPH mahupun Kinokuniya, pasti ada. Juga, dahulunya saya asyik melepaskan rasa lara ke Kuala Lumpur, selepas sahaja usai Solat Jumaat, saya pun bergegas ke ATM berhampiran untuk ‘cucuk’ duit, dan melayan pemandangan matahari terbenam dari dalam bas Transnasional atau Suasana Edaran. Tetapi kini tidak lagi, sejak dari hari pertama saya masuk ke sini, tidak pernah sekali kelibat bas tempatan muncul di hapadan saya, mungkin saya sahaja yang tidak tahu, tetapi saya pasti kekerapannya sangat kurang, sehingga ramai yang mengadu, bukan saya seorang. Sekarang, saya hanya mampu melepaskan rasa kecewa atau sedih, di dalam bilik ini, seorang diri.

Saya bukan orang yang jenis gemar menjerit ketika dalam keadaan tertekan, juga saya bukan orang yang suka menumbuk dinding tidak tentu hala. Saya masih ingat, kawanan di sini pernah enggan untuk tidur di bilik saya, kerana katanya takut dinding di bilik saya ini runtuh, maklumlah hanya dipisahkan dengan papan-papan rapuh yang dicat putih. Kawanan di sini juga pernah berseloroh, katakan blok atau aras di mana terletaknya bilik saya ini seperti rumah-rumah kongsi, juga ada yang mengambarkan aras saya ini seperti bilik-bilik pelacuran. Saya diamkan sahaja, maklumlah bilik yang berada dalam rumah mereka jauh lebih selesa dan luas, penuh dengan kelengkapan, siap dengan sofa, meja makan, dapur, meja belajar yang luas dan tandas yang selesa untuk kencing dan berak. Saya hanya diamkan sahaja, kerana saya tahu, bukan mereka yang bayar sewa, jikalau bukan kerana berhutang atau duit ibu bapa, jangan harap mereka merasa semua itu. Saya diamkan sahaja, malas untuk mencubit hati siapa-siapa.

Saya mengaku di sini, saya kini berada dalam keadaan yang sukar dan susah. Saya langsung tidak berhajat untuk meminta simpati daripada sesiapa, cumanya saya ingin mengadu kepada diri saya sendiri, agar jikalau suatu hari nanti saya senang, saya tidak kan lupa asal usul saya. Juga saya menulis catatan ini, untuk berjanji kepada diri saya sendiri, untuk tidak sesekali menjadi manusia yang gemar meminta-minta, lebih-lebih lagi soal duit. Tidak akan saya meminta-minta walaupun kepada keluarga saya yang tercinta. Tidak akan, itu janji saya kepada diri saya sendiri.

Namun, saya sangat percaya dan yakin, dugaan buat saya ini tidak lah seberapa. Saya cuma ingin melepaskan rasa sedih dalam hati, yang kian sukar dibendung dari menjalar dari kotak minda ke lubuk hati.

Saya lega. Buat masa ini. Mungkin tidak pada waktu berbuka esok.

No comments: