Sunday, May 31, 2009

aduhai, jangan marah

“Meskipun Islam memperlihatkan kuasanya dalam kebangkitan semulanya pada masa ini, namun hakikatnya agama ini hampir tidak mempunyai daya tarikan di luar kawasan yang memang dari mula lagi tidak jatuh di bawah pengaruh kebudayaan Islam. Nampaknya zaman penaklukan budaya Islam sudah berakhir : pengikutnya yang telah menyeleweng boleh ditarik semula, tetapi agama ini tidak mempunyai makna bagi orang muda di Berlin, Tokyo, atau Moscow. Walaupun hampir satu bilion orang-satu perlima penduduk dunia-berbudaya Islam, namun mereka tidak mampu mencabar demokrasi liberal di kawasannya sendiri pada tahap gagasan. Mereka sudah tentu boleh mencabar demokrasi liberal menerusi bom dan peluru pengganas, suatu cabaran yang bermakna tetapi tidak penting. Malah dunia Islam pasti kelihatan lebih mudah terjejas oleh gagasan liberal dalam jangka panjang dan bukan sebaliknya, kerana liberalisme telah menarik minat ramai orang muslim, dan orang Muslim yang berkuasa juga, sepanjang satu setengah abad yang lalu. Sebahagian daripada sebab bagi kebangkitan fundamentalis yang berlaku kini ialah kekuatan ancaman terhadap masyarakat Islam yang tradisional, yang dapat dilihat daripada nilai Barat yang liberal.”

“ ‘Sains Islam tidak mampu menghasilkan kapal terbang pejuang pengebom F-4 dan kereta kebal Chieftain yang diperlukan untuk mempertahankan Iran di bawah Khomeini, daripada jirannya yang bercita-cita tinggi, iaitu Iraq. Iran di bawah sistem pemerintahan Islam boleh menyerang rasionalisme Barat yang menghasilkan senjata sedemikian kerana hanya Iran mampu membeli senjata itu dengan pendapatan daripada rizab minyaknya. Hakikat bahawa pemerintah Iran boleh melihat sahaja sumber yang berharga itu memancut keluar dari tanah membolehkan mereka memuaskan hati mereka dengan melibatkan diri dalam rancangan seperti revolusi Islam sedunia, sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh negara lain yang tidak dikurniakan sumber yang sedemikian berharga.”

dari The End of History and The Last Man; Francis Fukuyama


Dari dalam kepala orang kampong, yang dihiasi dengan rambut kerinting mengerbang sana-sini, hal ini bukan salahnya itu agama, tetapi tidak syak lagi, para pengikutnya yang tiada benar bekerja – membuat apa yang disuruh ke atas mereka. Tidak tersangkal, orang kampong juga gelagatnya begitu. Tetapi dia (baca; orang kampong) tetap berhajat menyumbang sesuatu kepada dirinya. Tetap bertanya sendiri-sendiri, mengapa tidak kumpulannya Melayu perguna kekuatan diri; adaptis-kreatis?

mereka ini orangnya atas angin, tiadalah bijak mana, tiadalah betul semua.

Thursday, May 28, 2009

Cett! Kalah!

walaupun Manchester United tewas semalam, ada perkara yang lebih menarik minat orang kampong yang tersebar merata di akhbar dan berita yakni 'Chin Peng tak dibenar pulang' (Berita Harian).

apa agaknya rasa mereka, pahlawan yang sering merangkak dalam kebutaan malam, menyembunyikan kepala dari tertusuk lalu pecah dek peluru tajam sang pengikut telunjuk Inggeris, kerana hanya ingin melepaskan belenggu yang merantai tanah air langit junjungan, apabila tidak dibenarkan pulang memijak tanah tertumpahnya darah kawanan pejuang lain?

ketika ini, sangat berguna untuk kita telus dan amanah dalam melihat semula sejarah, jangan tuduh semberono, rujuk bukan hanya buku teks sejarah tingkatan 5, rakaman video mahupun gambar-gambar, malahan lebih lagi.

orang kampong pasti dan pasti, Perdana Menterinya lebih tahu dan tahu sejarah!

petikan ringkas dari buku Islam Melayu Komunis, wawancara dengan Abdullah C.D, Rashid Maidin, Abu Samah.

Rashid Maidin : "..................Cuma satu perkara saja ingin saya tegaskan, iaitu masalah perang dalam negeri dan perdamaian. PKM bukan sebuah parti yang haus perang, bahkan sebuah parti yang cintakan perdamian........Sebab itulah kami pergi ke Baling dulu. Kami bersedia menamatkan perang dalam negeri dengan syarat yang adil dan munasabah........."

Wednesday, May 27, 2009

FT

huh, lega.
akhirnya orang kampong selesai menghabiskan dua novel FT, Ketupat Cinta dan Saasatul Ibaad (selepas ditunda beberapa purnama). kejayaan ini juga atas jasa seorang rakan baik yang berani bertindak, dan memberikan masa yang begitu banyak kepada dia (baca; orang kampong), khas untuk menghabiskan masa hidupnya dengan buku, dengan izin Dia. banyak isu yang menarik minatnya dalam novel yang boleh dibincangkan dengan hanya dirinya sendiri, kerana dia pasti, tiada yang lain berminat terutama bakal-bakal guru yang pernah dia kenali di atas bukit dulu.


Tuesday, May 26, 2009

big-bank

Bank telah ditubuhkan di negara-negara Barat sebelum penggunaan wang kertas lagi. Pada ketika itu emas merupakan hasil kekayaan yang dikumpulkan oleh orang-orang barat. Emas itu disimpan di dalam bank untuk simpanan. Penguasa bank itu membuat catatan berkaitan dengan nama pemilik emas, jumlah yang disimpan dan perkara-perkara penting yang lain sebagai bukti simpanan.

Dalam jual beli, surat catatan itu tadilah yang digunakan sebagai emas. Surat itu jugalah yang beredar dari satu tangan yang lain. Oleh kerana surat itu lebih ringan, maka ia lebih digemari penggunaanya dalam perniagaan daripada penggunaan emas itu sendiri. Emas itu tetap terus disimpan di bank, cuma pemiliknya sahaja yang berubah-ubah melalui kenyataan surat tersebut. Penguasa bank pula amat mudah menjalankan urusan simpanan emas kerana hanya sedikit sahaja daripada emas yang dikeluarkan oleh penyimpannya. Bank mendapat keuntungan melalui dua cara; pertama dengan mengenakan bayaran tertentu sebagai upah dalam bentuk emas dan kedua mengenakan bunga kepada peminjam emas tersebut melalui surat simpanan.

Memberi pinjaman sememangnya merupakan kegiatan bank yang utama pada ketika itu kerana penguasa bank mengetahui bahawa emas yang disimpan hanya 10 % sahaja yang akan dikeluarkan oleh penyimpan, yang bakinya digunakan untuk mendapatkan bunga melalui pemberian pinjaman.

Sistem bank peringkat awal ini maju setapak lagi dengan pengeluaran surat-surat yang seimbang dengan jumlah emas yang disimpan. Sekeping surat menyamai satu paun dan seterusnya. Bank yang menyimpannya mendapat keuntungan yang banyak melalui penipuan. Walaupun pada teorinya ia boleh dibawa ke hadapan pengadilan, tetapi undang-undang ketika itu tidak berupaya untuk memberi keadilan kerana sama ada raja, pembesar atau rakyat nsemuanya meminjam wang daripada bank.

Penguasa bank akhirnya membentuk satu kelas masyarakat yang dikenali sebagai golongan kapitalis atau borjuis. Kekuasaannya tidak dapat digugat oleh sesiapa walaupun raja kerana bendera atau tentera negara-negara Barat dikuasai oleh golongan ini. “Gold Smith” ialah nama seorang pengasas bank dan nama itu juga dikenali sebagai kerajaan yang sangat berkuasa dan berpengaruh di barat pada satu masa dahulu. Penyokong-penyokongnya terdiri daripada ahli-ahli falsafah, asaterawan, ahli-ahli sains dan sebagainya. Siapakah yang mampu mempertikaikannya jika ia melakukan penipuan melalui bank? Malahan undang-undang ketika itu terpaksa akur kepada keputusan mereka. Pada masa pemerintahannya, penguasa-penguasa bank dibenarkan mengeluarkan wang kertas sebagai alat pertukaran dalam perdagangan sebagai ganti kepada emas.

Pemikiran politik dan ekonomi al-Maududi; Mustafa Haji Daud

Saturday, May 23, 2009

siapa tahu cerita sebenar?

Dialog Socrates

“Perbualan antara dua orang berkenaan sesuatu perkara penting, umpanya sifat semula jadi kebaikan atau makna keadilan. Perbincangan sedemikian rupa diselesaikan mengikut dasar prinsip percanggahan; yakni pihak yang kurang bercanggah kendiri akan menang; atau jika dalam perbualan kedua-dua pihak didapati bercanggah, maka muncul satu sudut pandangan ke tiga yang bebas daripada percanggahan; yakni pihak yang kurang percanggahan yang wujud dalam dua kedudukan awal. Akan tetapi kedudukan ketiga ini mungkin dengan sendirinya mengandungi percanggahan baru yang tidak dapat diramalkan, lantas menimbulkan satu lagi perbualan dan satu lagi penyelesaian.”

“G.W.F Hegel menyatakan konsep ini lebih dari sekadar perbincangan falsafah,ia juga boleh dibuktikan dalam ekonomi.”

Sumber; Francis Fukuyama, The End of History and The Last Man

Pada hemat orang kampong, hal ini lebih lagi, terutama pada mereka yang mempunyai kuasa untuk membenarkan percanggahan. Contoh paling mudah, serangan dua burung besi terhadap dua tiang konkrit di pulau pelabuhan yang dibuka oleh para samseng. Melalui kuasa yang ada, pertuduhan dan kemenangan di pihak yang mempunyai paling banyak percanggahan (selepas beberapa kajian yang telah dilakukan), dan melalui percanggahan ini, mereka menjadikannya alasan kepada hirupan air sungai hitam di negara teluk serta penguasaan negara ‘gay’ dunia. yang paling banyak percanggahan itu yang menang, dan mereka tidak memerlukan pihak ketiga seperti PBB untuk mengajar mereka.

Wednesday, May 20, 2009

1Malaysia



'One People, One Nation, One Leader!'

sumber dari; bbc.co.uk/history

Tuesday, May 12, 2009

selamat pagi guru

Selepas menonoton Prison Break dan cerita bersiri yang lainnya, orang kampong mendapat kesimpulan kepada cara bagaimana mereka mampu mengikat minat penonton menonton ceritera mereka hingga bebarapa musim, beratus episod.
Cara mereka mudah, menyisipkan rasa ingin tahu penonton pada setiap pengakhiran episod, pada setiap pengakhiran episod. Mereka menggunakan teknik ini sebaik yang mungkin, dan juga mengkaji benar2 tabiat penonton serta minat mereka.

TITIK2

Setiap tahun, pelajar mempelajari silibus baru, tetapi guru mengajar silibus yang sama untuk bebarapa tahun lamanya, sama dan sama. Kebanyakan pihak yang gemar berprasangka, sering mengataka bahawa kerja itu sangat mudah, sediakan bahan bantu mengajar hanya sekali, boleh guna untuk lima atau enam tahun.

Benarkah ia mudah? Jikalau difikirkan secara selari, ia nampaknya memang mudah. Dan memang benar, juga telah diakui ramai guru bahawa mengajar perkara yang sama setiap tahun adalah perkara yang mudah.

Tetapi ada juga pihak lain mengatakan bahawa kerja guru ini, kerjanya berat benar, sang pembentuk masa depan dan sebagainya. Sejauh mana ketelusannya?
Ramai cerdik pandai mengakui, untuk berjaya dalam pelajaran, rasa ingin tahu, intuisi diri yang tinggi adalah sangat diperlukan. Mereka termasuklah salah seorang pemenang hadiah Nobel tahun, Roger D. Kornberg yang mengatakan bahawa tekanan peperiksaan, dalam kata lain, pelajaran berorientasikan peperiksaan adalah suatu perkara yang sangat tidak sihat. Untuk berjaya, menurut beliau lagi, perlulah ada rasa ingin tahu yang tinggi dalam diri dan hal ini tentunya telah diaplikasikan oleh beliau sendiri dalam proses sebelum memperoleh hadiah Nobel (jika gelaran ini diperakui kehebatannya).

TITIK2

Pada hemat orang kampong, mengapa guru2 jarang (baca; tidak) menyisipkan nilai rasa ingin tahu pada setiap penghujung kelas, sebaliknya memberikan bagai suatu bebanan kepada pelajar. Tidak disangkal, latihan menjana kefahaman pelajar tetapi bagaimana pula dengan sisi sifat ingin tahu, tabiat dan minat pelajar? Adakah sekolah tempat untuk melahirkan robot? Dan guru pula, apabila kerja rumah yang diberikan mereka tidak diselesaikan, seperti biasa, ada saja yang merajuk sana sini.

Adil, jika guru, bersusah berpayah untuk membuatkan pelajarnya minat akan subjek yang diajari, sambil memberikan kerja rumah yang selari dengan usahanya.
Benarlah, apa-apa pekerjaan ada sisi susah dan sisi mudah-nya.
Tidak keterlaluan jika orang kampong meletakkan tanggungjawab membentuk masyarakat pada bahu guru2 sekolah, seawal pra-sekolah.

Thursday, May 7, 2009

teknologi-manja?

Ahh panas, kolej, panas, aku panas. Petang, selepas gagal dalam percubaan menghadiri kelas kira-kira, aku pulang, bukan kerana aku malas, tetapi tiada apa yang boleh aku lakukan kerana bekalan elektrik terputus. Ahh, aku panas.

Aku baring-baring di bilik Blade, cuba mencari ruang gembira, ruang kesejukan. Tetapi angin sekejap-sekejap saja bertiup. Aku terfikir, dan mula bercakap pada Blade.

Kenapa kita panas?
Sebab kita ada kipas mungkin.

Aku kepanasan.

Monday, May 4, 2009

benar selagi ia baik

Sejauh mana sejarah boleh dikatakan benar?

Sesungguhnya sejarah itu suatu alat yang boleh dimanipulasi sebaiknya dalam menetukan hala tuju hadapan. Contoh paling mudah, apabila bayi kecil hendak dipisahkan dari menyusu badan. Jelas terang kanak-kanak sudah mula mempelajari sejarah.

Penulisan sejarah itu berpunca dari pelbagai sumber yang terkandung dalam sumber pertama dan kedua. Tetapi, sejauh manakah bahan-bahan itu boleh dipercayai dan dianggap benar? Bagaimanakah kita mampu pastikan bahawa lukisan-lukisan lama di dinding gua ialah lukisan pengalaman mereka, bukan sebagai daya kreatif mereka menilik masa depan? Atau sejauh manakah kebenaran setiap tulisan penulis sejarah tentang sesuatu perkara tanpa bias atau kesilapan interpretasi?

Pada hemat penulis, sejarah itu akan ia benar selagi mana ia dapat memberikan kebaikan kepada si penerima sesuatu sejarah. Contohnya, jika kita semak punca kepada bagaimana berlakunya peperangan Jamal, kedua-dua pihak nampaknya benar, dan kedua-dua belah pihak sukar hendak dikatakan telah melakukan kesilapan (sila rujuk pensejarahan Islam – kematian Saidina Uthman serta permulaan pentadbiran Saidina Ali). Persoalan mula timbul, cerita siapa yang benar, cerita dari pihak mana? Oleh yang demikian, pendekatan kepada bagaimana ‘punca’ itu memberi kesan baik kepada manusia jagat haruslah ditekankan. Sebagai contoh, jika ‘sejarah’ itu mengkhabarkan bahawa ‘kesilapan’ isteri nabi, keluar dari mesyuarat, tanda tidak bersetuju dengan tindakan ketua baru, sebagai punca peperangan, maka carilah kebaikan di situ, berdasarkan sumber-sumber agama yang kita pegang, yakni seperti, sentiasa menghormati ketua dan bertindak tidak mengikut emosi semata. Dan hal ini boleh diaplikasi kepada cerita di pihak yang satu lagi.

Mari kita cuba teknik ini dalam cerita-cerita sejarah yang lain, contohnya punca berlakunya peperangan dunia pertama, kelahiran manusia bernama Karl Marx, Stalin, Lenin dan seangkatan, dalang 9/11 dan sebagainya.

Penerimaan kepada ini, mungkin boleh menyelesaikan permasalahan puak Syiah dan Sunni yang telah merugikan Islam setelah sekian lama.

Komen kepada sesi kelas TOK selam tiga minggu, yang membuatkan lidah tersekat-sekat dalam berkata-kata, kerana kebiasan sukar melepaskan.