Saturday, August 29, 2009

Jeneral Hantu Raya

Saya baru selesai membuat rumusan, kepada sebuah buku yang pada hemat saya, semua orang berbangsa dan berbahasa Melayu harus memilikinya. Harus dan mesti. Itu pada saya, kerana terlalu banyak perkara yang boleh dilihat dan dikaji semula. Dan ini, hasil rumusan saya, maaf jika ada berlakunya kesilapan di mana-mana, termasuklah fakta yang kurang tepat. Saya hanya merujuk kepada buku Memoir Pak Sako Putera Gunung Tahan, tulisan beliau sendiri;

Latarbelakang diri
Allahyarham Ishak bin Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako telah dilahirkan pada awal subuh, hari Isnin, dalam pertengahan bulan September 1909 (tidak ada tarikh akurat kerana beliau tidak mempunyai surat beranak) di Kampung Segentang, dalam mukim Perak, Daerah Temerloh, Pahang. Beliau merupakan anak ke tiga hasil daripada perkongsian hidup Haji Muhammad bin Haji Maasum dan Hajah Fatimah binti Abdul Jamal. Beliau telah dibesarkan di kampung tersebut (Kampung Segentang) yang beliau percayai nama tersebut berasal dari nama Bukit Saguntang di Sumatera Selatan.

Alam persekolahan
Ketika beliau berumur 10 tahun (tahun 1919), beliau telah dimasukkan ke sebuah Sekolah Melayu di Kampung Tengah yang terletak hanya setengah batu dari rumah beliau. Selepas lulus peperiksaan darjah empat dengan mendapat kepujian dalam semua mata pelajaran, beliau telah dicadangkan memasuki sekolah beraliran Inggeris di Kuala Lipis. Walaupun mendapat tentangan hebat dari masyarakat sekeliling, keluarga beliau tetap dengan keputusan untuk mendaftarkan beliau di Clifford School Kuala Lipis pada tahun berikutnya yakni tahun 1924. Pada bulan Ogos 1927, beliau telah dicadangkan oleh guru besar sekolah tersebut (V. N Bartlett) untuk mengambil peperiksaan Junior Cambridge untuk terus melompat dari darjah tujuh ke darjah sembilan. Namun, beliau gagal dan hanya berjaya lulus dalam peperiksaan tersebut pada akhir tahun 1929. Selepas itu, beliau meneruskan pembelajaran dalam darjah sembilan (Senior Cambridge) dan mengambil peperiksaan Senior Cambridge pada tahun yang sama.

Alam pekerjaaan
Sambil menanti keputusan peperiksaan Senior Cambridge dari London diumumkan, beliau telah menjadi wakil penjual akhbar Mingguan dan Warta Negeri di kampung beliau sehingga beliau mendapat surat arahan supaya melaporkan diri mula bekerja sebagai guru pelatih di Sekolah Inggeris Kuantan. Dalam bulan April 1930, beliau telah dipanggil untuk ditemuduga di Kuala Lumpur untuk jawatan dalam Perkhidmatan Pentadbiran Melayu (MAS) dan beliau telah berjaya. Beliau dihantar ke Malay College Kuala Kangsar selepas itu untuk menjalani latihan selama setahun sebagai Probationary Malay Officer. Setahun kemudian, beliau secara rasmi telah memulakan perkerjaan sebagai seorang pegawai di Pejabat Daerah Temerloh. Kemudian beliau ditukarkan ke Bentong (naik pangkat) sebagai Pemangku Timbalan Penolong Pegawai Daerah (DADO). Pada Julai 1932, beliau telah ditukarkan pula ke Rembau, Negeri Sembilan. Beliau mula rasa bosan dengan pekerjaan ‘makan gaji’ yang tidak sehaluan dengan prinsip hidup beliau dan bertekad untuk meninggalkan pekerjaan tersebut, membawa diri ke Pekan Tumpat secara rahsia. Seluruh Semenanjung telah gempar dengan kehilangan beliau, sehubungan dengan itu akhbar Inggeris dan Melayu telah mengeluarkan berita tentang beliau dan telah dipujuk (akhbar Majlis) untuk kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambung semula pekerjaan beliau. Beliau akur dan pulang ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai Majistret Kelas Tiga (selepas menghadiri kelas undang-undang bersama Tuan Adams). Selepas bekerja sebagai majistret untuk suatu jangka masa (tidak diberitahu) beliau nekad untuk meninggalkan pekerjaan buat kali kedua. Kali ini, beliau menuju ke Pantai Timur (Muar, Johor) dan menjadi guru bahasa Inggeris (selepas mendapat sijil dan kebenaran mengajar dari Tuan Taylor, guru besar Sekolah Inggeris Muar) di sana. Dalam masa yang sama, beliau mula meminati bidang penulisan dan kewartawanan. Beliau kemudiannya berpindah pula ke Kemaman dan menjadi seorang peguam selepas berjaya mendapatkan lesen (pleader) daripada Kerajaan Terengganu. Di samping bekerja sebagai seorang peguam, beliau juga menjadi pemberita khas untuk akhbar Warta Malaya, Warta Jenaka, dan Warta Ahad di samping turut menjadi wakil penjual akhbar. Beliau akhirnya mencapai cita-citanya untuk bekerja sebagai seorang wartawan di Syarikat Warta Malaya di Singapura. Beliau meneruskan minat dalam bidang tersebut dengan banyak menyertai syarikat akhbar lain termasuklah Utusan Melayu dan Utusan Zaman.

Karier politik
Beliau pernah mengangotai Kesatuan Melayu Singapura dan kemudiannya menjadi ahli dalam Kesatuan Melayu Muda dan berkawan rapat dengan Ibrahim Hj Yaakob (selepas Ibrahim membeli Syarikat Warta Malaya). Beliau juga antara pencetus idea kepada pengabungan akhbar Utusan Melayu dan Warta Malaya untuk menjadi Berita Malai ketika hampir dengan zaman penjajahan Jepun. Tetapi beliau mula berasa kecewa apabila melihat layanan pemerintahan Jepun terhadap masyarakat Tanah Melayu ketika itu, dengan tidak menjalankan dasar pro-Melayu dan tidak menubuhkan Dewan Rakyat seperti mana yang terdapat di Jawa. Beliau membawa diri ke Pulau Bintan selepas itu, sebagai tanda protes, bersama-sama petani-petani Singapura. Ketika beliau di sana, beliau dan isteri telah jatuh sakit (badan berkudis dan malaria) dan terpaksa di bawa pulang ke kampung. Selepas zaman Jepun tamat, beliau mula bergiat aktif dalam politik berhaluan kiri menentang penjajahan kerajaan British dengan menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu, menjadi pemimpin kepada Parti Buruh dan seterusnya menjadi ketua bagi Barisan Sosialis. Beliau telah ditahan dan dipenjara beberapa kali oleh pihak pemerintah, yakni ketika sebelum perang dunia ke-2 berlangsung, ketika Undang-undang Darurat 1948 dikuatkuasakan dan ketika Konfrontasi Malaysia – Indonesia.

Bidang penulisan
Pada 29 Jun 1973, beliau telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya dan pada tahun 1976 pula, beliau telah menerima Hadiah Pejuang Sastera daripada Kerajaan Malaysia. Beliau telah menghasilkan banyak karya dalam pelbagai genre termasuklah pantun, sajak, novel dan rencana selain turut menulis pojok-pojok yang tajam dan keras. Antara karya beliau termasuklah Anak Dukun Deraman, Satay Saloon, Yang Mewah dan Yang Miskin, Norita, Tijah Tukang Cukur, Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila, Di Simpang-Simpang Jalan dan banyak lagi. Beliau juga tersohor dengan nama pena termasuklah Pak Sako, Hantu Raya, Jeneral Hantu Raya, Pak Pandir Moden dan IBHAM.

Sifat peribadi (menurut pendapat A. Samad Ismail)
Beliau merupakan seorang yang tidak pandai mengata orang lain, tidak kira kawan mahupun lawan, tetapi beliau gemar merajuk dan sangat sensitif. Beliau sangat bersifat tradisionalis dan berani menolak modenisme dan juga tidak begitu senang dengan pembangunan negara dengan alasan pemodenan hanya akan menghakis nilai-nilai hidup orang Melayu. Beliau gemar berpantun dan bergurindam dan sering merungut akan orang melayu kini yang ‘tidak makan pucuk ubi, tidak makan ikan-ikan sungai, anak-anak muda sekarang tidak pernah melihat kijang dan pelanduk melainkan di kebun binatang’ (zoo).

Saturday, August 22, 2009

Dia Melompat Tinggi

Nama saya Nur, dan nama isteri saya Nor. Saya berumur 19 tahun ketika mendapat idea untuk membuat catatan ini, dan saya masih muda ketika itu. Begitu juga Nor. Kami berdua masih muda, jadi jika kami menjerit tidak tentu hala sewaktu kami muda dulu, maafkan kami. Tentunya, dulu kami sering menjerit, kerana kami tiada ruang untuk berbisik, malah tiada ruang untuk bercakap dalam nada normal. Jadi kami setuju, untuk menjerit bersama. Saya, Nur dan dia, Nor menjerit dan menjerit. Kami menjerit, tentunya membuatkan orang sekeliling panas hati, jadinya kami mohon maaf, ketika itu kami masih muda.

Saya Nur, dan dia, Nor. Saya suka bermain bola keranjang. Nor pula suka menonton saya bermain bola keranjang. Katanya, saya kelihatan sungguh bergaya apabila mengacah, melompat tinggi dan membaling bola ke arah bakul yang terlekat pada papan di hujung gelanggang. Katanya, waktu yang paling mengghairahkan adalah ketika saya cuba menbuat jaringan 3 mata dengan melompat tinggi dan membaling kuat bola di luar garisan yang membentuk separuh bulatan tersebut.

Kata Nor lagi, dia lebih suka melihat aksi saya, daripada melihat bola itu sendiri kerana dia tidak terkesan sama ada jaringan dilakukan atau tidak. Yang paling penting baginya, dia gemar melihat saya, bukan permainan saya. Kesemua itu telah pun menjawab persoalan yang selama ini saya ragui, terima kasih buat Nor, kerana dia sering berterus-terang dan bersikap jujur di hadapan saya. Ini yang membuatkan saya, Nur dan dia, Nor serasa ingin menjerit sekuat hati, menjerit meluahkan apa yang terdapat dalam hati.

Nama saya Nur. Dari dulu lagi saya rasa sangat hairan, mengapa isteri saya, Nor gemar benar menonton aksi saya ketika bermain bola keranjang. Katanya, dia suka lihat saya, bukan permainan saya. Dan itu menjawab segala persoalan yang bermain di minda selama ini. Padanlah, walaupun kadangnya, saya hanya menjadi pemain atau pemanas bangku simpanan, dia tetap turun menonton saya ‘bermain’ bola keranjang. Dan juga, seingat saya, saya masih belum berjaya melakukan jaringan 3 mata, tetapi pelik, dia gemar benar melihat aksi saya ketika cuba untuk mendapatkan 3 mata tersebut. Ini semua kerana, dia bukan melihat bola itu berjaya dijaringkan atau tidak. Dia melihat saya. Nur.

Nama dia Nor. Dan Nor mengaku, walau teruk mana permainan saya, Nor tetap suka, dan gembira menonton. Kerana Nor tidak terkesan langsung dengan permainan saya, Nor hanya melihat saya, bukan melihat permainan saya. Katanya lagi, mengaku, walau apa pun terjadi, dia, Nor tetap akan suka menonton saya bermain bola keranjang, kerana baginya, saya nampak bergaya sungguh dengan baju tanpa lengan yang dihadiahinya.

Nor dan Nur, sering menjerit selepas sesuatu persoalan terungkai. Kadangnya perit untuk saya terima, tetapi dengan lembut, dia pintar menyisipkan mesej yang hendak dia sampaikan. Itu yang membuatkan saya sering mengajaknya untuk menjerit bersama, biar semua tahu apa yang ada dalam hati kami, saya dan dia, Nur dan Nor.

Lama sudah kami tidak menjerit bersama, serasa perit sungguh. Masanya kan tiba juga dan biar pun saya mungkin menjerit seorang diri sekarang, saya pasti dan pasti. Kala kami di atas sana, kami mampu mengucap selamat datang kepada dunia.

Nama saya Nur, dan nama isteri saya, Nor.

Friday, August 21, 2009

kerajaan bumi 2

Lagi, saya lihat kerajaan bumi tidak menjalankan tugas dengan berkesan dan kadangnya nampak zalim sungguh. Ramai, mereka yang membawa atau memakai baju berwarna hitam/merah dan mempunyai lambang ‘anti-ISA’ ditangkap sebelum melakukan apa-apa. Pada hemat saya, hukum sebelum melakukan kesalahan – itu yang dilakukan pada 1Ogos yang lepas.

Saya tidak mahu dan tidak mahu kerajaan 1Malaysia dianggap sama dengan kerajaan Zionis di negara Palestin sana. Saya rasakan, penganut fahaman Zionisme lebih jahat dari itu, dan tidak mahu pemimpin tertinggi kerajaan seperti Najib, Muhyidin dan Hishamudin terlibat dengan fahaman tersebut.

Tetapi selepas saya membaca dan mencari, gayanya nampak berpotensi besar untuk ke arah itu – arah gaya penganut Zionisme. Saya ada baca buku ‘Dari Beirut ke Jerusalem’ yang ditulis oleh Dr Ang Swee Chai, menceritakan tentang rakyat negara Palestin yang dinyahkan kebebasan mereka sehingga tahap yang sukar untuk dipercayai. Dan ini antara petikan yang sempat saya muatkan dalam catatan saya kali ini;

‘Idea tentang sebuah negara Palestin turut diharamkan. Orang ramai yang ditangkap menyimpan barang-barang yang mempunyai bendera Palestin akan dipenjara, tanpa mengira sama ada mereka penyokong PLO atau bukan. Anak-anak berumur tiga atau empat tahun turut ditangkap kerana dakwaan bersikap anti-Israel.’

Saya tidak mahu dan tidak mahu, pemimpin tertinggi kerajaan 1Malaysia bersikap sedemikian. Jangan dan jangan. Saya berharap benar golongan yang mendambakan fahaman Zionisme ini dijauhkan dari saya dan keluarga.

Jadinya, untuk meneutralkan kembali keadaan, saya tidak mahu berfikiran pesimis atau negatif sahaja setiap masa. Saya juga tidak mahu menuduh tindakan pemimpin tertinggi kerajaan 1Malaysia mula ke arah fahaman Zionisme, terlampau negatif bagi saya. Jadinya, saya mula menjadikan buku Melayu klasik seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa dan lain-lain sebagai sumber kepada pendapat saya.

Saya berpendapat tindakan pemimpin tertinggi pada 1Ogos lalu tidaklah berunsur Zionisme (baca; laknat), tetapi terdapatnya unsur-unsur membabi buta seperti yang dilakukan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Memang masyarakat pada zaman itu tidak ditahan di stesen komuter atau dilarang masuk ke Masjid Negara, tetapi sejak zaman itu lagi, telah munculnya adat menghukum sebelum terbukti melakukan kesalahan.

Dalam buku ‘Kekerasan Dalam Sejarah Masyarakat Dan Pemerintah’ yang diselenggarakan oleh Qassim Ahmad, terdapatnya bab yang bertajuk ‘Kekerasan Pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka : Penelitian Berdasarkan Sejarah Melayu’ yang ditulis oleh Abdul Rahman Haji Ismail. Dan ini contoh yang menyokong pendapat saya;

‘Maka apabila berita tentang rancangan (Seri Maharaja) ‘hendak naik raja’ itu disampaikan pula oleh Laksamana , orang yang ‘terlalu karib’ dengannya dan satu-satunya pembesar kanan yang masih dapat diharap menyokongnya, sultan pun bertindak segera menghapuskan ‘musuhnya’ itu. Walaupun tanpa bukti yang sahih, memandangkan hubungan darah dan persemendaan yang begitu rapat di antara Seri Maharaja denga Penghulu Bendahari dan Temenggung, dan keterlibatan mereka dalam perlakuan ‘jahat’ melanggar adat itu (kes Tun Fatimah), sultan barangkali sudah membuat kesimpulan yang munasabah iaitu pembesar nombor dua dan nombor tiga itu juga telah ‘berpakat’ menghapuskannya, dan ia perlu bertindak cepat.’

Jadinya, saya boleh membuat kesimpulan bahawa, pemimpin tertinggi masih belum boleh menyerupai kepemimpinan Saiyidina Ali Bin Abi Talib, juga mereka tidak mengambil tindakan kerana terpengaruh dengan fahaman Zionisme. Cumanya, saya bersetuju jika dikatakan, sudah menjadi adat di tanah ini semenjak Kesultanan Melayu Melaka lagi, sering menghukum manusia sebelum sebarang kesalahan dilakukan.

Makanya, padan sungguh jika dikatakan kita ini melaksanakan Undang-Undang Rimba.

Nah! Hari ini saya sungguh positif.

Thursday, August 20, 2009

kesatu yang lembut

Hari ini (19.08.2009) saya penat sungguh, saya baru sahaja tersedar dari tidur dan teringat akan saya belum solat lagi. Saya bergegas dan selepas selesai, saya duduk di atas tilam, mengadap komputer riba ini, cuba untuk membuat catatan, yang berguna untuk saya.

Saya pergi ke pekan Kuala Lumpur hari ini, seperti biasa saya bawa dua buku untuk dibaca dalam perjalanan, untuk kali ini saya pilih buku ‘Kekerasan dalam Sejarah’ dan ‘Fidel Castro My life’. Kadangnya saya baca, kadangnya saya cuma termenung melihat keadaan sekeliling, yang masing-masing membuatkan rasa di hati ini bercampur-campur.

Saya kata, saya pergi ke pekan untuk mengambil barang yang tertinggal seperti seluar, baju dan buku di rumah abang berdekatan Bandar Sunway. Tetapi niat di hati ini bukan lain, hanya ingin menghirup kembali udara kenangan lepas yang masih melekat pada dinding-dinding pekan tersebut. Saya akur dengan rasa hati ini, saya tenang memanjakan diri dan buat kali ini saya sambut seorang diri.

Selepas berehat, saya pulang terus, tidak mahu tidur di sana, kerana masa serasa sangat singkat. Dalam perjalanan, terlampau banyak perkara yang berlegar dalam minda, sangat banyak, sehingga kadangnya membuatkan saya mengantuk, langsung terlena. Arah pergerakkan minda saya mula berubah apabila menerima panggilan telefon dari seseorang. Agak terkejut, saya terus sahaja memanjakan diri dengan mengarahkan pemikiran pada perkara berkaitan. Alangkah!

Saya lihat jam, sudah pukul 0103, jadinya hari ini hari Khamis, 20.08.2009.

Selamat Hari Ulang Tahun yang Pertama, dari saya.

Juga selamat menyambut bulan Ramadhan, bulan penuh kenangan.

Saturday, August 15, 2009

kerajaan bumi

Saya diberitahu dan juga menonton beberapa aksi, yang memaklumkan saya akan penangkapan besar-besaran telah dijalankan sebelum berlangsungnya demonstrasi membantah dasar ISA. Mereka yang memakai baju hitam atau merah dan mempunyai lambang ‘bantah ISA’, semua ditangkap.

Yang membuatkan saya rasa hairan, hukum sebelum mereka buat kesalahan. Undang-undang mana yang polis pakai? Adakah salah memakai baju hitam atau merah, dan adakah salah mempunyai lambang ‘bantah ISA’ pada I Ogos? Peruntukan mana yang polis pakai dan kes mana yang mereka rujuk untuk mengesahkan penangkapan seperti itu?

Saya percaya, cumanya tidak yakin. Saya percaya bahawa Najib, Muhyidin dan Hishamudin (maaf jika tersalah dalam ejaan – saya bukan peminat mereka) masing-masing beragama Islam, dan juga pernah terdengar nama Saiyidina Ali bin Abi Talib. Jikalau tidak, serasa saya sungguh malang buat mereka, jadinya saya menganggapkan mereka bertiga ini tahu akan nama besar tersebut dan juga tahu serba sedikit tentang kepemimpinan Saiyidina Ali ketika huru-hara yang berlaku pada zaman pemerintahannya.

Daripada buku ‘Biografi Gemilang Ali Bin Abi Talib (Abu Turab)’ yang ditulis oleh Mahmud Syakir ada menceritakan saat-saat kematian Saiyidina Ali. Saiyidina Ali mengetahui niat Abdul Rahman Bin Muljam untuk membunuhnya, tetapi beliau tidak menangkap atau melakukan sebarang tindakan, atas alasan Abdul Rahman belum lagi membunuhnya.

Dalam buku tersebut ada menyatakan bukti peristiwa (bukti kes)yang boleh dirujuk;

“ Dia (al-Asy’ath) lantas menunggang kudanya pergi menemui Amirul Mukminin. Apabila sampai di hadapan Khalifah dia pun menceritakan perkara itu (niat Abdul Rahman untuk membunuh Saiyidina Ali) kepadanya dan kemudian berkata : “ Saya rasa Basalah (Abdul Rahman) bin Muljam berniat untuk membunuh tuan. (Maka tindakan segera perlulah dilakukan)”. Jawab Ali : “(Tetapi) dia belum lagi membunuhku.”

Pada peristiwa yang lain;

“Sebentar kemudian datanglah beberapa orang sahabatnya mengheret Abdul Rahman. Ali menyambut kedatangan mereka dengan hormat seraya bertanya: “Apakah yang anda semua mahu?”. Sahabat-sahabatnya itu pun memberitahu tentang ucapan Abdul Rahman yang telah mereka dengar (“Demi Allah, nescaya sesungguhnya aku akan membebaskan mereka dari cengkamanmu (wahai Ali)”). Dengan tenang Ali pun berkata: “Dia belum lagi membunuhku, maka lepaskanlah dia.”

Saya percaya dan yakin Najib, Muhyidin dan Hishamudin bukan seperti Saiyidina Ali. Jadinya logik sungguh, mereka sekawan berani menangkap dan memperlakukan rakyat 1Malaysia pada 1Ogos yang lalu dengan sebegitu zalim.

Pada saya itu zalim.

Wednesday, August 12, 2009

Toyol = Zionis

Ini kisah benar yang sebenar.
Mungkin kesabaran saya dibalas Tuhan. Saya lapang hari ini, saya baring-baring dan membuang masa dengan mengubah warna koleksi gambar-gambar dalam komputer riba saya ini, mana yang cantik saya jadikan ia sebagai latar belakang muka hadapan. Saya rasa seronok, dengan apa yang saya lakukan hari ini, malah saya agak tenang selepas peristiwa semalam.

Saya bersiap untuk meninggalkan bilik, ingin memenuhi suatu janji temu. Sedang saya terkial-kial untuk membuka semula pintu kerana tertinggal barang, saya lihat susuk tubuh lelaki ‘lembut’ menuju ke arah saya. Saya lihat wajahnya, dia seperti segan-segan, dan terus masuk ke bilik yang berhadapan dengan bilik 315. Saya mensyaki sesuatu, sambil masuk juga ke dalam bilik, untuk mengambil penyumbat telinga untuk telefon bimbit saya.

Saya terus dan menerus mensyaki sesuatu. Dengan tidak berlengah, apabila sahaja saya sedar lelaki ‘lembut’ itu keluar sebentar dari biliknya dan meninggalkan tidak berkunci, terus saya buka pintu biliknya, untuk mencari selipar hijau saya yang dicuri orang – saya syak dia.

Dengan penuh suspen, saya buka, dan ternampak banyak sekali pasang selipar. Saya tidak mahu berprasangka (walaupun serasa tidak logik untuk dia yang hidup di bilik itu seorang diri) terus saya terbalikkan sepasang selipar. Nah! Saya pasti ini selipar saya, saya pasti. Mungkin seseorang sudah pecah tembelang dengan saya hari ini.

Apa lagi, saya terus ambil dan bawa masuk ke dalam bilik saya, dan kunci. Saya pasti lelaki ‘lembut’ tersebut nampak aksi hangat saya itu – menceroboh masuk tanpa kebenaran. Dan juga mungkin rasa tercabar kerana dai pelajar senior – tahun terakhir. Tetapi saya tidak gentar kerana dia tetap lelaki ‘lembut’.

Di sini, saya ingin tekankan bahawa, hak akan terus menjadi hak. Termasuk hak rakyat Palestin, Lubnan cuma mereka perlu bersabar buat sementara, kerana tentunya tanah itu nilainya cukup tinggi sepadan dengan pengorbanan yang perlu dilakukan. Saya pasti, mereka akan berjaya memperoleh hak mereka semula daripada tangan pencuri si jahanam zionis. Saya doakan, saya harapkan mereka berjaya.

Makanya, saya keluar bilik dengan senyuman di bibir, toyol hijau tertangkap sudah.

Tuesday, August 11, 2009

toyol hijau

Catatan ini khas ditujukan buat para pencuri di luar sana. Dan juga, catatan ini ingin menunjukkan rasa kurang senang saya terhadap golongan seperti ini.

Pulang daripada sembang-sembang kosong hingga tertidur dengan rakan-rakan, saya lihat selipar warna hijau yang saya khususkan untuk dibawa ke tandas sahaja itu lesap, dicuri orang – saya pasti bukan jin, tetapi tidak disangkal mungkin Dajjal.

Saya sungguh pelik, apa tabiat orang jenis ini. Saya sudah banyak kali terkena, hak saya dicuri, diambil tanpa kebenaran. Ahh, sungguh pedih rasanya. Bukan apa, rasa pedih itu makin meluap-luap apabila kerja harian saya mula terusik dan terganggu apabila hak saya, nikmat yang sebelum ini saya dapat dicabut oleh sifat kesyaitanan manusia.

Saya mengambil kesempatan ini bukan ingin menunjukkan yang saya ini berkira atau terlampau bergantung kepada selipar itu, tetapi sebetulnya saya membuat catatan untuk si pencuri-pencuri barang-barang saya yang terdahulu, tanda saya benci anda.

Tidakkah anda segan? Guna bukan hak anda? Penipu jika ibu bapa anda tidak mengajarkan supaya mencuri itu suatu tabiat yang buruk!

Saya tahu, hak yang dicuri dari saya oleh manusia sangat sedikit, jika hendak dibandingkan dengan hak rakyat Palestin, Lubnan yang dirampas oleh si jahanam Zionis. Saya cuma ingin mengingatkan diri saya, supaya jangan cepat marah, melatah.

Makanya, saya keluar bilik dengan hati yang pasrah, selipas tandas ku, dicuri orang.

Thursday, August 6, 2009

Orator

Tiba-tiba saya berangan, saya ingin menyertai ‘debat’. Makanya, saya cuba untuk merealisasikan angan itu dengan menyertai Kelab Orator. Keahlian saya bermula dengan suatu perjumpaan (tujuan perjumpaan - menerangkan serba sedikit tentang kem yang bakal saya sendiri sertai). Saya diminta untuk memperkenalkan diri, dan mengapa ingin menyertai kelab tersebut – soalan maha klise. Jadinya, saya melayan sahaja, kebosanan.

Untuk tidak meneruskan tradisi kebosanan dalam berpersatuan yang diwarisi segenap persatuan-persatuan anak muda kini, saya pun mula mencipta suatu kontrovesi. Kontrovesinya bukanlah besar benar, tetapi biasalah, yang kecil itu dibesar-besarkan juga. Ada yang terasa, dan mula memberi ulasan buruk, begitu begini tentang saya, bukan memberi ulasan tentang apa yang saya katakan.

Saya, biasalah, cepat berang dan mula mempersoalkan tentang keterbukaan anak muda yang mengaku diri mereka ‘matang’. Mula mempersoalkan kelapangan mereka untuk menerima teguran, walaupun teguran yang pedas. Saya juga bertanya pada diri sendiri, mengapa mereka sampai begini sekali?! Saya pun berfikir dan berfikir, mula menilai semula.

Dan, saya telah pun mengambil keputusan sendiri, dengan tidak sama berada dalam kelab tersebut lagi, pada saya ia hanya suatu pembaziran masa dan ruang. Saya juga menyesal kerana telah membazirkan pelbagai perkara dengan berangan-angan pada tempat yang entah apa-apa. Saya mungkin kaget, tetapi itulah kenyataan, saya tidak layak untuk bergaul dengan orang yang sebegitu rupa, mungkin.

Niat saya hanya satu, untuk mempertingkat mana-mana yang rendah tahapnya, dan juga cuba mengalih pandangan para pendebat daripada yang hanya tahu cakap sahaja kepada mereka yang lebih menjadi kuasa penggerak. Yang paling membuatkan hati saya rasa menyampah, apabila terdengar salah seorang daripada pendebat berkata sebegini ketika ingin membalas hujah, ‘demi negara, maka saya berdiri!’. Sumpah, saya menyampah! Pernyataan itu terlampau hiperbola (pada hemat saya – tiada unsur kebenaran).

Saya tidak mahu melakukan kesalahan kali kedua - hanya tahu cakap, tetapi tidak tahu melaksana. Jadi saya kira, tindakan atau pilihan saya ini tepat dan waras untuk meninggalkan kelab tersebut. Bukan kerana saya ini pengecut untuk melakukan perubahan atau gentar dengan kebijakan mereka dalam melontar kata-kata yang berlebih-lebihan, tetapi yang sebetulnya, saya enggan, saya takut laknat Tuhan bertambah-tambah atas bahu saya ini.

Sunday, August 2, 2009

saya yang tertinggal

Bangun tidur, saya baca mesej di telefon bimbit; salam, dgn nama tuhan yg mgerakkan awan dan yg memberi, mencabut kuasa pada siapa shj, atas sedar hati yg lemah ini abg bergerak..doakan. Dan saya bergegas mencari punca internet tanpa wayar, pergi untuk membuat catatan, khas ditujukan kepada mereka yang berani dan berhati maha besar.

Saya mendoakan mereka yang turun melawan ketidak-adilan, mereka yang turun menunjuk rasa berani atas jiwa merdeka, mempertahan hak dan kebebesan diri. Apakan daya, saya jauh, jauh dari lokasi dan jauh juga dari merdeka, saya masih terikat dengan pelbagai ikatan – kekeluargaan, sebagai seorang pelajar, kewangan, dan lain-lain. Ini semua membuatkan hati yang besar mengecut sekecil-kecilnya, maka tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan membuat catatan, khas ditujukan kepada mereka yang berjiwa besar – sang penggempur dasar I.S.A!

Saya berada di celah-celah masyarakat pelajar yang sedang sibuk menjamu selera, ketika ini jam di tangan menunjukkan angka 12 dan 3. Saya tidak lapar, jadi saya tundakan nafsu, dan menulis catatan ini, di samping orator-orator yang tidak berhenti-henti bercakap. Saya hanya mendengar dan menulis di sini, di atas meja dan kerusi di cafe.

Saya doakan mereka yang berani melawan, bukan melawan kerajaan, bukan melawan Najib, bukan melawan Barisan Nasional, tetapi mereka yang berani melawan pengkhianatan, kezaliman, kekejaman dan kebobrokan yang menghancur. Pada hemat saya, niat atau tumpuan adakah hal yang paling penting dari segalanya, makanya, saya berharap penuh, para pejuang sekalian yang turun ke jalan raya hari ini, benar-benar tetap dengan niat masing-masing – bukan melawan kerajaan, tetapi melawan kezaliman.

Percaya atau tidak, rasa marah, takut, dengki, cemburu, benci itu semua puncanya dari si keji syaitan. Dan jika kita menumpukan kepada rasa itu, seolah-olah kita memberi makan kepada syaitan. Dan inilah yang syaitan mahukan, antara manusia, bergaduh dan berkelahi agar rasa-rasa dari hati itu tumbuh segar mekar. Dan ini juga yang ‘mereka’ mahukan, kita bertempur sesama kita, berpecah dan bersedia untuk diperintah dalam orde yang mereka mahukan. Saya pasti ini benar.

Agar para patriot yang menentang dasar I.S.A menentang bukan ketua kerajaan mahupun institusi itu, tetapi melawan kekejaman dan kezaliman yang dikenakan ke atas kita, rakyat. Supaya patriot bertindak dengan lebih waras ketika berkumpul, berjalan dan menunjuk kasih. Agar tidak ada melawan manusia, tetapi melawan kekejaman yang dikenakan ke atas kita, manusia.

Saya berharap demonstrasi itu berjalan dengan aman dan lancar, tanpa ada sifat-sifat kebinatangan ditunjukkan ketika ia berlansung, termasuklah penembakkan gas kimia pemedih mata/hati terhadap kanak-kanak, pemukulan penerajangan tubuh manusia, pemancutan deras air kimia ke arah masjid hingga pecah jam dinding dan sebagainya. Jangan sampai ada sifat-sifat kebinatangan seperti itu terjadi lagi.

Saya mendoakan agar semuanya selamat dan tidak ada pergaduhan. Saya doakan agar hati-hati patriot akan sentiasa besar dan bersemangat, tidak akan mengaku kalah dengan kekejaman dan ketidak-adilan. Saya juga berdoa agar dasar I.S.A yang kejam lagi hina itu dimansuhkan dengan segera, dan tidak dijadikan sebagai alat lagi dalam mencuri kebebesan serta hak individu sebagai rakyat.

Saya masih di atas kerusi dan komputer ribaku masih di atas meja. Saya doakan para pejuang semua selamat.

Percayalah, ‘mereka’ mahukan kita bergaduh berkelahi sesama kita (baca; manusia), ‘mereka’ mahu manusia memijak manusia agar rasa takut, cemburu, dengki, kejam, bobrok, khianat, benci tumbuh segar dalam diri manusia. Percayalah bahawa rasa itu semua ialah makanan ‘mereka’!